Jawapan
4. Dato’ Speaker, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memang penuh sedar dan prihatin tentang hakikat bahawa pembangunan dan kemajuan Negara China akan memanfaatkan Negara kita dan juga Negara-Negara Asean. Dalam 10 tahun kebelakangan ini, ekonomi Negara China telah berkembang dengan amat pesat. Dengan bilangan penduduk berjumlah hampir-hampir 1.3 billion orang atau 1,300 juta orang, Negara China merupakan pasaran yang terbesar di dunia.
Sebenarnya perdagangan dua hala di antara Negara China dan Negara kita Malaysia telah bertumbuh dengan amat pesat dan telah mencapai tahap RM29 billion ataupun RM29000 juta bersamaan dengan US$7.6 billion pada tahun 2001. Negara China merupakan rakan perdagangan atau trade partner yang keempat terbesar bagi Malaysia.
Satu pertiga daripada perdagangan dua hala ini melibatkan bahan-bahan, komponen-komponen dan produk-produk elektronik dan telekomunikasi termasuk komputer. Kebanyakannya adalah bersangkut-paut dengan industri elektronik dan ICT di Negeri Pulau Pinang. Di samping itu, Negara China juga merupakan pasaran pelancong yang amat besar. Dengan meningkatnya pendapatan rakyat Negara China, adalah dianggarkan lebih kurang 100 juta orang rakyat cina sekarang berada dalam kelas pertengahan ataupun middle class yang sanggup keluar melancong ke Negara-Negara lain. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang dan akan terus berusaha untuk mempromosikan lebih ramai lagi pelanvcong dari Negara China untuk melawat Malaysia dan Negeri Pulau Pinang.
Dato’ Speaker, dalam konteks tersebut, kerajaan negeri memang sangat mengalu-alukan lawatan T.Y.T. Encik Hu Jintao, Timbalan Presiden Republik Rakyat China ke Pulau Pinang. Lawatan beliau memang merupakan penghormatan kepada rakyat Negeri Pulau Pinang.
Lawatan T.Y.T. Encik Hu ke Negeri Pulau Pinang merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi beliau ke Negara Malaysia dari 23 hingga 26 April 2002. Program rasminya hampir kesemuanya telah berlangsung di ibu Negara kita iaitu Kuala Lumpur dari 23 hingga 24 April 2002 seperti pertemuan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Y.A.B. Perdana Menteri, Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri, mesyuarat-mesyuarat rasmi, ucapan dasar, majlis makan malam rasmi dan sebagainya.
Lawatan beliau ke Pulau Pinang pada 25 hingga 26 April 2002 merupakan program beristirehat dan melapangkan hati atau rest and relaxation. Program ini ditetapkan oleh kerajaan Republik Rakyat China melalui Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur dan Kementerian Luar Negeri Malaysia yang selanjutnya menghubungi kerajaan negeri untuk membuat dan menyelaraskan segala susunan.
Program lawatan T.Y.T. Encik Hu ke Pulau Pinang meliputi beberapa acara seperti berikut.
(i) Lawatan ke rumah Dr. Sun Yat Sen semasa beliau menginap di Pulau Pinang di antara tahun 1905 hingga 1910 kerana Dr. Sun Yat Sen merupakan Bapa Revolusi China Moden yang dihormati dan diakui oleh rakyat Republik Rakyat China.
(ii) Kedua, lawatan ke Khoo Kongsi yang merupakan satu bangunan warisan yang termasyur bagi kalangan masyarakat Tionghua di Negeri Pulau Pinang yang mencerminkan sumbangan dan usaha nenek moyang keturunan Cina.
(iii) Lawatan ke Taman Rama-rama yang merupakan satu daya penarik pelancongan yang digemari dan telah dikunjungi oleh beberapa pemimpin utama dari Negara China dan Negara-Negara lain.
(iv) Lawatan ke Empangan Telok Bahang yang merupakan satu projek yang ditawarkan kepada syarikat kerajaan Negara China iaitu China International Water and Electric Company (CIWEC). Projek ini merupakan projek antara kerajaan atau G to G (government to government) yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan kita dan dilancarkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri dan dirasmikan oleh Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri. Oleh kerana T.Y.T. Encik Hu dan isterinya merupakan jurutera bekalan air, maka mereka amat kagum dengam empangan ini yang direkabentuk oleh para jurutera China dibantu oleh para jurutera Malaysia dan dibina bersama.
(v) Pertemuan di antara T.Y.T. Encik u Jintao dengan T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Haji Abdul Rahman Abbas di mana mereka bertukar fikiran mengenai perhubungan dua hala dan bersetuju bahawa usaha gigil perlu diteruskan untuk meningkatkan perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan, kebudayaan, pertanian dan lain-lain. Pertemuan tersebut turut diiringi oleh saya, Timbalan Menteri Pengiring dari Malaysia, Setiausaha Kerajaan Negeri, beberapa Timbalan Menteri China, Duta Besar kedua-dua Negara dan pegawai-pegawai kanan yang lain.
(vi) Majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri dan dianjurkan oleh kerajaan negeri di mana beliau dapat beramah mesra dengan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.
Lawatan Timbalan Presiden China ke Malaysia dan Negeri Pulau Pinang ini sebenarnya telah mendapat liputan media massa yang cukup baik. Liputan yang cukup baik diberi bukan sahaja oleh akhbar dan televisyen tempatan di dalam Negara Malaysia kita ini tetapi oleh akhbar dan televisyen di seluruh Negara China seperti Ren Ming Ri Pau, Ming Pau, majalah Yazhou Zhoukan dan juga majalah-majalah Negara lain.
Mengikut maklum balas Duta Besar China kepada saya selepas lawatan itu, rangkaian televisyen China dan Hong Kong (TVBS) misalnya, TVBS dan lain-lain telah melaporkan lawatan T.Y.T. Encik Hu ke Pulau Pinang dalam slot masa keemasan rancangan TV, The Golden Time Slot yang merangkumi lawatan destinasi pelancongan, majlis makan malam dan majlis perpisahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Oleh itu, boleh dikatakan bahawa Negeri Pulau Pinang mendapat pendedahan media massa yang baik dan nama negeri kita memang disebut dan dikenali oleh para penonton T.V. dan para pembaca akhbar dan juga melalui media elektronik.
Di samping itu oleh kerana saya mengiringi T.Y.T. Encik Hu dalam kereta rasmi ke Taman Rama-rama, Empangan Telok Bahang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, maka saya mempunyai peluang memaklumkan kepada beliau beberapa perkara bersangkut-paut dengan Negeri Pulau Pinang.
Yang pertama mengenai perdagangan 2 hala, khasnya dalam bidang elektronik dan ICT di mana Pulau Pinang memainkan peranan yang amat penting.
Baru-baru ini, penerbangan terus MAS Kargo dari Shanghai ke Pulau Pinang sebanyak 2 kali seminggu telah dimulakan. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang berusaha berunding dengan MAS untuk menambahkan lagi kekerapan penerbangan kargo ini untuk terus meningkatkan lagi perdagangan 2 hala dalam bahan-bahan dan komponen elektronik antara Shanghai dan Pulau Pinang.
Yang kedua, mengenai usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan pelancongan 2 hala. Beliau menunjukkan minat terhadap siri televisyen yang telah membuat pengambaran atau filming location di Pulau Pinang dan juga cadangan sebuah syarikat perfileman dari Negara China untuk membuat penggambaran satu movie mengenai kisah-kisah mendiang Dr. Tan Geik San di Pulau Pinang. Memang adalah diharapkan bahawa tayangan siri televisyen dan filem seumpama ini akan dapat mempromosikan pelancongan dari Negara China ke Pulau Pinang dengan lebih berkesan lagi.
Yang ketiga, hasrat Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. untuk bekerjasama dengan badan-badan dan pakar runding bekalan air dari China supaya bersama-sama menerokai peluang usaha sama atau joint venture untuk menjalankan kerja pakar runding dan melaksanakan projek bekalan air di Negara-Negara lain.
Oleh itu, anggapan bahawa kerajaan negeri tidak mengambil peluang ini untuk mempromosikan negeri kita ini adalah tidak benar. Walau bagaimanapun, memang adalah kurang wajar untuk menggunakan kesempatan lawatan rasmi Timbalan Presiden China untuk terlalu menonjolkan Negeri Pulau Pinang. Ini adalah kerana lawatan beliau merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi ke Malaysia dan kita haruslah memahami bahawa urusan dan protokol diplomatik seumpama ini hendaklah dikendalikan oleh Kementerian Luar Negeri, Kerajaan Persekutuan Malaysia bersama dengan Kerajaan Republik Rakyat China dan bukanlah oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Terima kasih.
Dato’ Speaker:
Soalan tambahan.
Ahli Kawasan Jawi (Y.B. Puan Tan Cheng Liang):
Soalan tambahan.
Dato’ Speaker:
Soalan tambahan, Ahli Kawasan Jawi.
Ahli Kawasan Jawi (Y.B. Puan Tan Cheng Liang):
Dato’ Speaker, terima kasih. Saya rasa cukup bangga kerana Negeri Pulau Pinang dipilih sebagai satu destinasi yang dilawat oleh tokoh pemimpin Negara China iaitu Tuan Yang Terutama Timbalan Presiden China, Hu Jin Tao, tetapi sepanjang dua hari lawatan itu, kita iaitu Yang Berhormat back benchers ini tidak dimaklumkan, tidak diberitahu dan majlis jamuan makan malam yang dihoskan oleh T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri kita juga sampai saat yang akhir baru kita terima kad jemputan. Bolehkah saya tanya Y.A.B Ketua Menteri, mengapa? Sekian, terima kasih.
Ketua Menteri:
Dato’ Speaker, seperti yang saya katakan tadi, program ini memang ditetapkan oleh Kerajaan Republik Rakyat China dan oleh kerana ianya masih belum muktamad dan kesemuanya masih belum ada confirmation sehingga saat terakhir beberapa hari sebelum lawatan, maka adalah tidak sesuai untuk kita menjemput dan mengumumkan apa yang telah disusun yang mungkin akan diubah. Hanya selepas ditetapkan dan hanya selepas perundingan dengan Wisma Putra iaitu Kementerian Luar Malaysia baru saja kita menetapkan bilangan jemputan yang akan diundangkan. Oleh itu, ini bukan sesuatu yang luar biasa dan semua ahli yang dijemput untuk menghadiri majlis makan malam itu.
Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boo Chang):
Soalan tambahan.
Dato’ Speaker:
Soalan tambahan, Datok Keramat.
Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boo Chang):
Y.B. Dato’ Speaker, tetapi didapati bukan sahaja lawatan T.Y.T. Hu Jin Tao dari Negara China yang tidak melibati ADUN-ADUN di Dewan ini. Dulu Jiang Zemin, Presiden China melawati Pulau Pinang tetapi ADUN pun tidak dijemput. Zhu Rongji, Perdana Menteri dari Negara China pun tidak dijemput ADUN-ADUN.
Dato’ Speaker:
Minta soalan tambahan, Yang Berhormat.
Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boo Chang):
Soalannya ialah adakah ADUN penting atau tidak penting. Yang Di Pertuan Agong melawat Pulau Pinang pun tidak dijemput. Dulu Allahyarham Yang Di Pertuan Agong melawat secara rasmi Pulau Pinang pun kita tidak dijemput dan tahun ini lagi sekali lawatan Yang Di Pertuan Agong yang baru pun kita tidak dijemput, jadi ini sangat sedihlah untuk ADUN kerana Ketua Menteri dapat sokongan daripada semua ADUN tetapi kalau tidak mahu kerjasama, bukan hanya EXCO yang dijemput, ada banyak ADUN yang mempunyai banyak aduan. Saya pun dapati ada banyak incident bukan satu.
Dato’ Speaker:
Sudah faham soalan itu.
Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boo Chang):
Soalan sudah habis dan jawapan yang ditunggu.
Ketua Menteri:
Dato’ Speaker, izinkan saya membuat penjelasan di sini mengenai lawatan lawatan Allahyarham Yang Di-Pertuan Agong yang lepas, lawatan itu bukan lawatan rasmi tetapi merupakan lawatan beristirahat walaupun pihak kerajaan negeri memang memberi penghormatan yang setinggi-tingginya kepada lawatan itu dengan sambutan di airport tetapi cuma melibatkan Ahli-ahli EXCO sahaja. Yang kedua, lawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sekarang baru-baru ini ke Negeri Pulau Pinang juga bukan lawatan rasmi ke Negeri Pulau Pinang tetapi lawatan rasmi ke Universiti Sains Malaysia kerana upacara Seri Paduka Raja Permaisuri Agong sebagai Canselor USM. Semua program diatur oleh USM dan kerajaan negeri hanya dimaklumkan tentang masa ketibaan dan pelepasan dari segi protokol.
Oleh itu, kami cuma menjemput Ahli-ahli EXCO dan ketua-ketua jabatan untuk sambut di airport. Itulah penjelasan yang harus saya beri kerana mungkin ada akhbar yang melaporkan bahawa ini merupakan lawatan rasmi tetapi bukan lawatan rasmi ke Negeri Pulau Pinang. Kalau lawatan rasmi ke Negeri Pulau Pinang memanglah program sambutan akan diatur secara rasmi dan secara besar-besaran dan untuk maklumat Dewan yang mulia ini, memang Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berdua sering ke Pulau Pinang sebelum mereka menjadi Yang Di-Pertuan Agong dan Permaisuri masing-masing. Oleh itu, mereka juga setiap masa yang ada, mereka akan melawat Pulau Pinang sebagai lawatan peribadi dahulu tetapi oleh kerana status mereka sekarang ini, maka kerajaan negeri mengikut protokol mengadakan sambutan dan membantu dalam mengatur program.
Oleh itu, saya ingin memaklumkan kepada bukan sahaja Ahli Dewan ini tetapi juga kepada pemimpin-pemimpin masyarakat yang mungkin salah faham bahawa ini ialah lawatan rasmi dan mereka tidak dijemput untuk bersama-sama. Oleh itu, program lawatan seumpama ini memang lawatan kerja atau berehat dan seumpamanya ialah program yang terhad, itu yang pertama.
Yang keduanya, mengenai lawatan-lawatan orang kenamaan bukan sahaja dari Negara China tetapi negara-negara lain dan ianya diatur mengikut protokol dan protokol ini mengambil kira ahli-ahli rombongan rasmi mereka, siapa itu. Kalau Presiden dan Timbalan Presiden, maka mereka mestilah mengadakan pertemuan dengan Tuan Yang Terutama kita dan kalau di peringkat menteri bertemu dengan saya atau Ahli-ahli EXCO dan kalau ada Ahli-ahli wakil rakyat daripada pihak negara asing itu di dalam rombongan rasmi mereka, maka kita akan menjemput wakil rakyat. Sebab itu di dalam beberapa lawatan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin seperti Presiden China dahulu, memang 2 Presiden China yang bekas dan sekarang telah melawat Pulau Pinang dan programnya adalah program yang terhad dan program yang merupakan rest and relaxation dan tidak sepatutnya melibatkan terlalu ramai orang terutamanya kunjungan beliau ke tempat-tempat destinasi, supaya tidak begitu sesak dan saya memang faham ada Ahli Dewan dan pemimpin politik yang sangat berkehendakkan publisiti juga dan kalau dapat sambut dengan Presiden China bagus, saya ingat itu memang saya ambil kira tetapi kita tidak boleh dalam segala lawatan melampaui pertimbangan protokol dan juga keperluan pihak pelawat. Terima kasih.
Dato’ Speaker:
Soalan tambahan, satu lagi.
Ahli Kawasan Penanti (Y.B. Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Kadir):
Terima kasih Dato’ Speaker. Saya bukan hendak mempertahankan Y.A.B. Ketua Menteri tetapi saya memahami kedudukan kerajaan negeri tentang sesuatu hal mengenai dengan jemputan dan sebagainya. Pendek kata, pihak pembangkang pun bukan banyak yang tidak dapat jemputan tetapi pihak pembangkang tidak gaduh kerana kita memahami kedudukan dan situasi sesuatu keadaan. Soalan tambahan saya Dato’ Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat ada yang bangkit mengenai yang tidak dapat jemputan. Tetapi saya hendak tanya Y.A.B. Ketua Menteri macam kita panggil Mutiara Ilmu adakah dijemput dan saya difahamkan semua Ahli-ahli Yang Berhormat dijemput tetapi saya nampak yang hadir 2 atau 3 orang sahaja. Mutiara Ilmu itu memberikan ilmu kepada kita tetapi kita tidak hadir, jemputan pun sudah sampai tetapi perkara itu tidak dibangkitkan kerana tidak hadir. Ini saya hendak bezakan antara perkara yang dapat jemputan tetapi tidak hadir dan yang tidak dapat jemputan dibangkitkan. Saya memahami kedudukan tersebut. Sekian, terima kasih.
Ahli Kawasan Jawi (Y.B. Puan Tan Cheng Liang):
Penjelasan. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Mutiara Ilmu pun saya ingin hendak sentuh di sini, saya pun tidak terima jemputan juga.
Ketua Menteri:
Dato’ Speaker, saya difahamkan bahawa jemputan memang di hantar kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri dan kebanyakan tidak dapat menerima, ada saya ingat about, kalau ADUNlah kira 2, 3 orang yang datang termasuk Ahli Penanti dan Ahli Batu Lancang yang hadir, walau ini merupakan bukan satu program yang dikhaskan sebenarnya untuk pegawai-pegawai kerajaan negeri dan Jabatan-jabatan Persekutuan memberi peluang kepada mereka supaya didedahkan kepada pandangan-pandangan dari pemimpin-pemimpin akademik, penyelidik atau sesiapapun kami dapat jemput. Oleh itu ada yang tidak dapat menerima jawapan kita akan cuba hantar kad lebih awal lagi atau melalui fax atau melalui SMS, kita akan cuba beberapa saluran. Tetapi saya berharap kalau dijemput dan ianya akan memanfaatkan Yang Berhormat ahli-ahli dari segi memperolehi maklumat, meningkatkan pengetahuan, maka lebih ramai akan hadir dan bukan sahaja kepada acara-acara yang mempunyai potensi untuk publisiti sahaja. Terima kasih.