Jawapan
(a) Peristiwa 11 September 2001 dan kelembapan ekonomi dunia telah menjejaskan jumlah keseluruhan ketibaan pelancong pada tahun 2001 di mana dianggarkan sejumlah 3.47 juta para pelancong melawat Pulau Pinang pada tahun 2001 berbanding 3.78 juta dalam tahun 2000. Penurunan sebanyak 8.3% ini telah menyebabkan anggaran pendapatan dari industri pelancongan berkurangan dari RM5.31 bilion (2000) kepada RM4.7 bilion (2001).
Dari jumlah berkenaan kedatangan pelancong asing pada tahun 2001 merosot sebanyak 18.1% di mana pada tahun 2001 lebih kurang 1.92 juta pelancong asing melawat Pulau Pinang berbanding 2.35 juta pada tahun 2000. Namun begitu, pada tahun 2001 kedatangan pelancong domestik telah meningkat sebanyak 7.6% dari 1.43 juta pada tahun 2000 kepada 1.54 juta pada tahun 2001.
Kesimpulannya, semua negara di Asia termasuk Malaysia khususnya Negeri Pulau Pinang mengalami kemerosotan kedatangan pelancong asing khususnya dari barat tetapi ianya tidaklah secara mendadak.
(b) Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha-usaha pemasaran dan promosi di luar negara seperti United Kingdom, Australia, Jepun, Timur Tengah dan Belanda di samping menumpukan perhatian untuk menembusi pasaran di Negara China, Hong Kong, India, Taiwan, Jerman, Negara-negara Nordic serta Negara-negara Asia Tenggara khususnya Singapura, Thailand dan Indonesia. Selain dari itu, pihak kerajaan negeri turut menghadiri pameran pelancongan seperti MATTA International Fair.
Usaha-usaha untuk meningkatkan lagi pasaran domestik akan diteruskan dengan menyertai Perarakan Citrawarna Malaysia, Festival Makanan dan Buah-buahan, Kebudayaan dan Kraftangan serta lain-lain yang dianjurkan oleh pihak swasta seperti hotel-hotel terkemuka dan agensi-agensi kerajaan.
Pasaran niche juga akan terus dimajukan melalui program long stay, lokasi perfileman, bazaar emas serta penggalakan pelancongan kesihatan, pendidikan dan sukan. Pihak kerajaan negeri juga sedang berusaha untuk meningkatkan lagi produk pelancongan yang bersifat eco-tourism dan agro-tourism seperti pembangunan Taman Negara Pantai Acheh, Pulau Jerejak dan Bukit Bendera. Selain dari itu, usaha untuk menembusi pasaran MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran) akan dipertingkatkan.
Untuk menarik lebih ramai pelancong khususnya pelancong asing ke Pulau Pinang, pihak kerajaan negeri turut mengadakan acara-acara pelancongan tahunan bertaraf antarabangsa yang boleh disertai oleh semua peringkat masyarakat contohnya Larian Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang, International Mountain Bike Challenge dan lain-lain.
Selaras dengan perkembangan teknologi sistem maklumat dan untuk memastikan maklumat mengenai aktiviti pelancongan negeri tersebar meluas dan mudah diperolehi, laman web exotic Penang diperkenalkan untuk memuat dan mengiklan artikel-artikel pelancongan tempatan dan antarabangsa. Selain dari itu, pihak kerajaan negeri turut mengeluarkan CD-ROM dan mencetak brosur, iklan pelancongan di dalam majalah-majalah tertentu untuk diedarkan ke tempat-tempat strategik contohnya di lapangan terbang, kiosk pelancongan dan lain-lain.
Bagi menggalakkan lagi aktiviti melancong di kalangan pelajar, pihak kerajaan negeri dengan kerjasama pihak Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan turut mewujudkan Kelab Pelancongan di sekolah-sekolah. Selain dari itu, program pengenalan (familiarization tour) turut diteruskan sebagai usaha untuk mendedahkan agen-agen pelancongan kepada persekitaran Pulau Pinang.
(c) Selepas 11 September 2001, iaitu bagi sukuan keempat (Oktober – Disember 2001), bilangan pelancong yang datang ke Pulau Pinang adalah 827,091 orang iaitu berkurangan berbanding dengan sukuan ketiga (Julai – September 2001) yang berjumlah 966,661 orang. Walau bagaimanapun, jika dibanding dengan sukuan pertama sehingga ketiga pengurangan ini tidaklah mendadak kerana pada suku kedua tahun 2001, bilangan pelancong adalah lebih rendah iaitu 810,000 orang sahaja.
(d) Memandangkan semua pihak mula menyedari akan kepentingan industri pelancongan yang berupaya memberi pulangan yang baik, Pulau Pinang bukan sahaja menghadapi persaingan dari negara luar khususnya Thailand dan Indonesia, malah persaingan juga dihadapi sesama negeri khususnya dari Langkawi (Negeri Kedah).
Walau bagaimanapun, persaingan ini dilihat memberi petanda positif kerana ianya dapat memberi kebaikan kepada masyarakat dan merupakan satu cabaran kepada pihak kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti perkhidmatan dan produk di dalam industri pelancongan negeri. Dengan adanya kerjasama segitiga IMT GT, ketiga-tiga negara (iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia) dapat bekerjasama di antara satu sama lain untuk meningkatkan lagi pembangunan Wilayah Utara. Begitu juga di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (MOCAT), negeri-negeri wilayah utara dapat disatukan dan bekerjasama di antara satu sama lain bagi memajukan industri pelancongan serantau.
Dengan kerjasama ini, Pulau Pinang mendapat faedah kerana lokasi yang terletak di tengah-tengah pusat kerjasama ini membolehkannya bertindak sebagai regional centre. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan negeri berusaha untuk mempertingkatkan lagi kemudahan infrastruktur di pintu masuk sedia ada seperti pembesaran dan baik pulih Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas serta pelabuhan. Di samping itu, pihak kerajaan negeri juga terus berusaha untuk mengenal pasti produk-produk baru serta meningkatkan lagi perkhidmatan dan produk pelancongan sedia ada seperti dinyata dalam (b) di atas.