Jawapan
12. (a) Taman Cemerlang Di Lebuhraya Thean Teik
Projek ini telah diletakkan di bawah Pegawai Pemegang Harta (O.A) Pulau Pinang yang telah dilantik sebagai Pegawai Penerima bagi projek ini kerana pemaju telah digulungkan pada tahun 1999. Pihak bank pembiaya projek ini iaitu Malaysia Building Society (MBSB) dalam proses mengambil tindakan undang-undang kepada pemaju berhubung dengan kegagalan membayar balik pinjaman yang telah dibuat. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mencadangkan projek ini kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk membuat kajian kemungkinan bagi pemulihan semula projek ini.
(b) Fettes Villa Di Tanjung Tokong
Projek ini telah digulung pada 27 Jun 2001. Projek terbengkalai disebabkan pemaju menghadapi masalah kewangan. Pada masa ini difahamkan pihak bank pembiaya projek iaitu MBSB dan Syarikat Walter Group International dalam proses membuat kajian kemungkinan bagi memulihkan semula projek ini. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga telah mencadangkan projek ini kepada SPNB untuk membuat kajian kemungkinan bagi pemulihan semula projek ini.
(c) Taman Lumba Kuda
Projek ini telah mengalami kelewatan disebabkan berlakunya pertelingkahan antara pemaju dan kontraktor asal projek sehingga perkara tersebut terpaksa dibawa ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Pada masa kini tiga blok bangunan siap 100% sementara dua blok dalam peringkat 75% kemajuan. Projek ini diuruskan oleh receiver manager.
(d) Pangsapuri Seri Semarak di Bandar Baru Air Itam
Projek ini masih terbengkalai. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengambil tindakan kepada pemaju kerana telah gagal mengemukakan laporan kemajuan projek kepada Pengawal Perumahan di bawah Akta Pemaju Perumahan Seksyen 7(e) iaitu mengemukakan laporan Juruaudit beserta dengan penyata kira-kira, di bawah 7(f) mengemukakan laporan kemajuan projek dan di bawah Seksyen 7(g) iaitu kegagalan pemaju menyiapkan projek yang perlu dilaporkan kepada Pengawal Perumahan, bahagian Pengawasan dan Penguatkuasaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
(e) Suria Mutiara Di Jalan Sitiawan, Jelutong
Projek telah dipulihkan.
(f) Taman Widuri Di Sungai Bakap
Projek ini telah 70% siap. Kerja-kerja sedang berjalan tetapi perlahan. Pemaju bagi projek ini menghadapi masalah kewangan dan telah mengalami kelewatan lebih kurang tiga tahun untuk menyiapkan projek. Kontraktor utama iaitu Foo Ban Seng telah mengemukakan cadangan pemulihan projek ini dan masih menunggu kelulusan bank dan pemaju. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diminta membantu dalam perkara ini.
(g) Pangsapuri Widuri Di Butterworth
Projek ini telah 65% siap. Pada masa kini projek telah mengalami kelewatan lebih kurang satu tahun kerana pemaju menghadapi masalah kewangan. Projek ini akan dipulihkan oleh satu syarikat kontraktor yang bertindak sebagai turnkey kontraktor yang mana telah dipersetujui oleh pihak pemaju. Perjanjian antara kedua pihak telah dibuat. Pada masa ini turnkey kontraktor sedang menunggu kelulusan pihak Maybank Finance. Projek dijangka berjalan semula pada bulan Jun 2002 dan akan siap dalam tempoh dua belas bulan.
(h) Taman Cherating Di Jalan Raja Uda, Butterworth
Projek ini telah dipindah milik kepada pemilik baru dan kerja-kerja pembangunan sedang giat dijalankan.
(i) Kompleks Adorna Diamond
Projek ini telah siap dan permohonan untuk sijil kelayakan menduduki belum dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
(j) Sunway Carnival Di Seberang Jaya
Projek Sunway Carnival merupakan sebahagian daripada projek Pusat Bandar Seberang Jaya yang dimajukan oleh Sunway (Penang) Sdn. Bhd. Projek ini terdiri daripada 414 unit ruang perniagaan. Pelan susun atur dan pelan bangunan telah diluluskan. Projek ini dilancarkan pada bulan Januari 1997, pembinaan berjalan sehingga ground floor dan terpaksa ditangguhkan pada pertengahan tahun 1999 kerana krisis ekonomi yang melanda negara. Pada masa ini pihak Sunway sedang meneliti dan mengkaji cara untuk menghidupkan semula projek tersebut namun keadaan ekonomi dan persekitaran perniagaan masih belum mengizinkan untuk projek ini dimulakan semula. Sehubungan dengan itu pihak Sunway telah membayar balik bayaran harga pembelian kepada pembeli-pembeli termasuk faedahnya.
(k) Taman Pekatra Indah Di Simpang Empat, Seberang Perai Selatan
Pihak pemaju berusaha mendapatkan sumber kewangan baru bagi menyiapkan projek ini. Pada masa kini pihak pemaju telah mengemukakan permohonan sijil layak menduduki (O.C) bagi Fasa I yang telah siap kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tetapi masih belum mendapat kelulusan. Pihak pemaju telah melantik kontraktor lain untuk menyiapkan Fasa I yang belum siap serta Fasa II dan III. Manakala Fasa IV belum lagi bermula.
(l) Projek Perumahan Kod Rendah Di Sungai Duri, Seberang Perai Selatan
Projek telah 100% siap tetapi Sijil Kelayakan Menduduki (O.C) belum dikeluarkan oleh sebab pemaju belum menunaikan syarat-syarat jabatan teknikal.
(m) Projek Kuala Muda, Seberang Perai Utara
Mulai 21 Mac 2002 Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) telah melantik kontraktor baru untuk membaikpulih projek. Kerja-kerja pembaikan sedang giat berjalan dan dijangka siap pada bulan Oktober 2002.
(n) Projek Ekor Kuning, Seberang Perai Utara
Mulai 21 Mac 2002 PERDA telah melantik kontraktor baru untuk kerja-kerja pembaikan di projek. Kerja-kerja pembaikan sedang berjalan dan dijangka siap pada bulan September 2002.
(o) Showkhat Ind. Realty
Maklumat tidak lengkap dan projek sebenar tidak dapat dikenalpasti.