Jawapan
5. Cadangan untuk melaksanakan Light Rail Transit (LRT) sebagai satu sistem pengangkutan awam jangkamasa panjang bagi Pulau Pinang dikemukakan dalam Kajian Urban Transport Study In Greater Metropolitan Areas oleh Japan International Cooperation Agency (JICA) pada 1981 dan Penang Urban Transport oleh Halcrow Consultants Sdn Bhd (1997).
Antara laluan yang dicadangkan oleh kedua-dua kajian termasuk:
i) dari Air Itam ke pusat bandar Georgetown;
ii) dari Tanjung Tokong/Batu Feringghi ke pusat Bandar Georgetown; dan
iii) dari Bayan Baru ke pusat Bandar Georgetown
Kajian oleh Halcrow Consultants Sdn Bhd juga telah mencadangkan sistem LRT di Seberang Perai dengan laluan dari Bukit Mertajam ke Butterworth dan terus merentasi laut ke Georgetown.
Buat sementara waktu, Kerajaan Negeri telah menerima cadangan daripada beberapa syarikat swasta untuk melaksanakan sistem Rapid Traffic System (RTS) dan Light Rail Transit (LRT) di Pulau Pinang seperti berikut :
i) Syarikat Business Focus Sdn Bhd pada 23 Disember 1994;
ii) Syarikat Unit Transit Aliran Ringan (UTARA) pada 5 Ogos 1996;
iii) Syarikat Isoluxwat pada 30 April 1999;
iv) Syarikat ALSTOM pada 10 Ogos 2000; dan
v) Syarikat Bambardier (Malaysia) Sdn Bhd pada 26 Februari 2002.
Syarikat Isoluxwat, ALSTOM dan Bambardier (Malaysia) Sdn Bhd hanya mengemukakan hasrat untuk menjalankan kajian daya maju LRT di Pulau Pinang. Syarikat-syarikat tersebut tidak mengemukakan maklumat lanjut mengenai cadangan laluan, kos projek dan cadangan tambang.
Syarikat Business Focus Sdn Bhd (BFSB) pada tahun 1994 mencadangkan pembinaan rel LRT sepanjang 30 km di bahagian pulau sahaja. Syarikat Unit Transit Aliran Ringan (UTARA) telah mengemukakan cadangan sistem LRT pada tahun 1996 yang didokong oleh sistem Guided Light Transit (GLT) yang terperinci antara bahagian pulau dan Butterworth melalui jambatan Pulau Pinang ke Butterworth dengan anggaran panjang jajaran 60 km.
Walau bagaimanapun, selepas kegawatan ekonomi melanda negara kita sehingga sekarang, kedua-dua syarikat tidak lagi menghubungi Kerajaan Negeri untuk mengadakan perbincangan lanjut.
Baru-baru ini Kerajaan Negeri telah menerima dua cadangan hasrat dari Syarikat KL Monorail Sdn Bhd serta Railroad Technical Corporation (KRTC) dan Hyundai dari Korea. KRTC dan Hyundai telah mengadakan sesi lawatan ke cadangan tapak tetapi belum mengemukakan cadangan konkrit.
Sementara, Syarikat KL Monorail Sdn Bhd yang sedang melaksanakan sistem monorail di Kuala Lumpur telah mengemukakan cadangan untuk satu sistem Light Monorail Transit (LMT) dengan bagi jajaran yang lebih spesifik. Komponen-komponen sistem LMT ini adalah keluaran dalam negara local production. Ianya adalah lebih ringan dan kecil serta tidak akan melibatkan kos pembinaan yang tinggi, berbanding LRT dan sistem monorail yang lain.
Bersama-sama dengan sistem LMT ini, syarikat tersebut juga telah mengemukakan satu electric tram bus bagi kawasan warisan di bandaraya dalaman inner-city Georgetown kerana LMT yang beroperasi atas struktur rel yang elevated dianggap kurang sesuai untuk kawasan warisan.
Kerajaan Negeri sememangnya berminat untuk menerokai bagaimana dapat melaksanakan sistem LMT dan tram elektrik bagi menyempurnakan Lebuhraya Jelutong yang sedang dalam pelaksanaan dan projek Lebuhraya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) yang dijangka akan dilaksanakan yang sedang dalam peringkat akhir perancangan. Cadangan mewujudkan sistem LMT dan tram dijangka akan diselaraskan juga dengan sistem pengangkutan bas yang sedia ada supaya untuk dijadikan satu sistem pengangkutan yang bersepadu.
Kerajaan Negeri telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan Syarikat KL Monorail Sdn Bhd. Cadangan yang lebih terperinci dijangka dapat dibentangkan dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang. Sementara itu, Kerajaan Negeri telah mulai perbincangan secara serius dengan Kerajaan Persekutuan mengenai rancangan tersebut kerana kemungkinan besar bantuan kewangan dari Kerajaan Persekutuan diperlukan. Buat sementara waktu, jajaran dan caj masih belum ditetapkan lagi.