MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan 7. Adakah kerajaan negeri telah melantik perunding untuk menjalankan kajian komprehensif berkaitan dengan sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang dan jika ada, sila berikan butirannya.
Dun -
Exco Y.B DR.TENG HOCK NAN
Perkara Pengangkutan Awam

Jawapan
7. Bagi tujuan mengatasi kesesakan trafik, kerajaan negeri melalui beberapa kajian telah berusaha untuk menyediakan pelan pengangkutan komprehensif untuk negeri Pulau Pinang yang termasuk bahagian Pulau dan Seberang Perai. Kajian Penang Urban Transport Study oleh Halcrow Consultants Sdn. Bhd. (1997) dan Kajian Pengangkutan Awam oleh Universiti Sains Malaysia (USM) (1996) telah berjaya mengenalpasti masalah pengangkutan di negeri Pulau Pinang terutama di kawasan pusat bandar. Antara masalah pengangkutan yang dikenalpasti ialah:

i) kesesakan lalu lintas;

ii) bilangan bas pengangkutan awam yang tidak mencukupi;

iii) masalah perjalanan dan penjadualan bas. Masalah ini disebabkan:-

(a) kebanyakan bas yang beroperasi tidak mengikut penjadualan dan perjalanan yang telah ditetapkan. Ini menyebabkan kelewatan dan penumpang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan bas; dan

(b) kerosakan bas, kerosakan jalan, kesesakan lalu lintas dan sikap pemandu dan konduktor yang tidak menepati jadual perjalanan.

iv) Liputan dan laluan tersendiri atau bertindih. Masalah ini timbul disebabkan:-

(a) terdapat kawasan yang mempunyai liputan dan laluan pengangkutan awam yang tersendiri. Ini menyebabkan terdapat beberapa laluan yang mendapat khidmat bas kawasan lain terutama kawasan pedalaman tidak mendapat liputan laluan bas;

(b) laluan perkhidmatan bas yang bertindih menyebabkan hanya perkhidmatan bas tertentu mendapat bilangan penumpang yang lebih berbanding dengan yang lain;

v) Kekurangan penumpang

vi) Stesen bas yang kurang sempurna

Kebanyakan stesen bas yang sedia ada tidak melambangkan ciri-ciri kesempurnaan sebagai stesen bas. Terdapat kekurangan kemudahan awam seperti tempat duduk, tong sampah, tandas awam di samping persekitaran yang kurang menarik.

vii) Perkhidmatan teksi, kereta sewa dan kereta sapu

Perkhidmatan awam terutama teksi, kereta sewa dan kereta sapu mengenakan tambang yang berbeza-beza.

Antara langkah penyelesaian yang dicadangkan di bawah kajian ialah:-

i) pelebaran dan pembesaran jalan terutama di pusat bandar;

ii) pembinaan lebuhraya atau jalan lingkaran luar;

iii) mengintegrasikan pengangkutan awam dengan pembangunan luar bandar;

iv) meningkatkan pengurusan lalulintas;

v) mewujudkan pengangkutan awam yang moden;

vi) mewujudkan Unit Perancangan dan Pengurusan Lalulintas dan Pengangkutan Awam Negeri Pulau Pinang yang bertujuan mengadakan dasar, merancang, melaksana dan menguatkuasakan peraturan lalu lintas dan pengangkutan awam di Pulau Pinang;

vii) membina lebih banyak pondok-pondok perhentian bas berbumbung yang lengkap dengan jadual perjalanan untuk makluman dan keselesaan pengguna;

viii) menyedia lebih banyak kemudahan laluan-laluan pejalan kaki yang lebih sempurna untuk mengurangkan keperluan penggunaan kenderaan bagi perjalanan jarak dekat serta meningkatkan penggunaan pengangkutan awam; dan

ix) mengadakan satu sistem pengangkutan yang efisien bagi menghubungkan tanah besar ke pulau dan sebaliknya.

Sebahagian besar daripada cadangan perunding untuk rancangan jangka masa pendek telah dilaksanakan. Tindakan berterusan sedang diambil ke atas sebahagian lagi cadangan tersebut.

Sementara itu, di antara tindakan-tindakan yang sedang dilaksanakan ialah penyediaan laluan dan lintasan pejalan kaki, memperluaskan perkhidmatan bas shuttle, meningkatkan kemudahan pengangkutan awam, menyelaraskan lampu isyarat, mewujudkan jalan-jalan sehala, menyediakan papan-papan tanda arah dan informasi, mententeramkan lalu lintas (traffic calming) dan meninggi taraf persimpangan.


Pelaksanaan langkah cadangan akan dijalankan secara berperingkat berdasarkan peruntukan yang disediakan. Ini adalah kerana kos pelaksanaan melibatkan perbelanjaan yang tinggi sementara peruntukan yang disediakan adalah terhad. Walau bagaimanapun, jadual pelaksanaan telah dibahagikan kepada tiga peringkat seperti berikut:

i) rancangan jangka pendek untuk tempoh 1998 hingga tahun 2000 memberi tumpuan kepada penyusunan semula lalu lintas dan penyediaan laluan pejalan kaki;

ii) rancangan jangka sederhana untuk tempoh 2002 hingga tahun 2005 menggariskan cara-cara meningkatkan keberkesanan pengangkutan awam; dan

iii) rancangan jangka panjang untuk tempoh 2006 hingga tahun 2010 memberi perhatian kepada penyediaan pengangkutan awam yang lebih efisien dan selesa serta pembinaan infrastruktur utama.
Kembali