Jawapan
1. Cadangan mewujudkan Muzium Perang di Lot 1350 Mk. 12, Daerah Barat Daya sebagai satu produk pelancongan baru telah dikemukakan oleh Syarikat Pacific Style Holdings Sdn. Bhd. pada 29 Ogos 1995.
Ianya akan menjadi satu produk pelancongan baru yang menarik dan unik kerana setakat ini tiada perintis atau inisiatif membangunkan produk seumpamanya di Malaysia. Muzium Perang bakal menjadi aset penting sektor pelancongan di Pulau Pinang kerana ia berupaya menarik terutamanya pelancong asing disamping domestik. Konsep Muzium Perang juga jelas menggabungkan aspek warisan, sejarah dan pendidikan dan konsep seumpamanya telah berjaya diketengahkan sebagai produk pelancongan seperti di Muzium La Defence, Paris, Imperial War Museum di London dan Hiroshima Memorial War di Jepun.
Komponen utama kegunaan Lot tersebut adalah untuk pembangunan Muzium Perang bercorak pelancongan. Antara aktiviti-aktiviti yang dijangka terlibat dibangunkan adalah seperti berikut :
- Pusat penerangan dan pentadbiran
- Tempat letak kereta
- Kemudahan jip
- Artifak sepanjang perjalanan
- Restoran
- Pusat cenderamata
- Pintu masuk utama terowong
- Meriam
- Berek perlindungan perang (War Shelter)
- Chamber tahanan
- Terowong bawah tanah
- Menara pemerhatian
- Patung lilin dipamerkan
- Menara peringatan
- Auditorium
- Pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D)
- Lanskap
- Balai pameran
Secara dasarnya cadangan ini mendapat sokongan daripada agensi-agensi Kerajaan seperti berikut :
i) Kementerian Pertahanan Malaysia
ii) Jabatan Muzium dan Antikuti (JMA)
iii) Jawatankuasa Pemandu Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang (JKP)
iv) Pembangunan Pelancongan Nasional (PEMPENA) Sdn. Bhd. iaitu sebuah anak syarikat Tourism Malaysia
Ekoran daripada itu Majlis Mesyuarat Kerajaan yang bersidang pada 3 Oktober 2001 telah bersetuju meluluskan cadangan mewujudkan Muzium Perang oleh Syarikat Pacific Style Sdn. Bhd. setelah diperakukan oleh Jawatankuasa Pemandu Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang.
State Secretary Incorporated (SSI) akan memegang Golden Share dalam projek ini untuk memastikan konsep projek ini tidak berubah dan tanah berkenaan digunakan semata-mata untuk Muzium Perang. Syarat-syarat pajakan sedang diteliti sebelum satu perjanjian dimeterai.
Cadangan projek ini telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada 18 Mac 2002 bagi mendapatkan persetujuan sebelum dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh 3 tahun dengan kos operasi sebanyak RM28,786,000.00.
Buat masa sekarang pihak syarikat sedang melakukan kerja-kerja asas penyelenggaraan dan pemuliharaan agar bangunan-bangunan sedia ada tidak terus dirosakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab atau rosak akibat faktor alam.
Projek ini tidak memerlukan kajian EIA (Environmental Inpact Assessment) kerana aktiviti tersebut tidak tertakluk kepada undang-undang sedia ada iaitu Perintah Kualiti Alam Sekitar (Perintah Kesan Keatas Alam Sekitar 1987). Walau bagaimanapun kerajaan akan memastikan semasa projek dijalankan ianya tidak mengakibatkan kesan ke atas alam sekitar. Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan MPPP akan sentiasa memantau dengan teliti projek tersebut.