Jawapan
3. Kerajaan Negeri sedang dan akan terus mengambil langkah-langkah menambahbaik sistem pengangkutan seperti yang dicadangkan oleh juruperunding yang telah menjalankan kajian ke atas masalah lalu lintas dan pengangkutan. Kajian Urban Transport Study In Greater Metropolitan Areas telah dijalankan oleh JICA pada tahun 1981, Kajian Pengangkutan Awam oleh USM pada tahun 1996 dan Penang Urban Transport Study oleh Halcrow Consultants Sdn. Bhd. pada tahun 1997. Kajian-kajian tersebut telah berjaya mengenal pasti masalah pengangkutan di Negeri Pulau Pinang terutama di kawasan pusat bandar seperti:
i. kesesakan lalu lintas;
ii. bilangan bas pengangkutan awam yang tidak mencukupi;
iii. masalah perjalanan dan penjadualan bas yang disebabkan:-
a) kebanyakan bas yang beroperasi tidak mengikut penjadualan dan perjalanan yang telah ditetapkan. Ini menyebabkan kelewatan dan penumpang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan bas.
b) kerosakan bas, kerosakan jalan, kesesakan lalu lintas dan sikap pemandu dan konduktor yang tidak menepati jadual perjalanan.
iv. liputan dan laluan tersendiri atau bertindih. Masalah ini timbul disebabkan:
a) terdapat kawasan yang mempunyai liputan dan laluan pengangkutan awam yang tersendiri. Ini menyebabkan terdapat beberapa laluan yang mendapat khidmat bas awam dengan kekerapan yang rendah sementara kawasan lain terutama kawasan pedalaman tidak mendapat liputan laluan bas;
b) laluan perkhidmatan bas yang bertindih menyebabkan hanya perkhidmatan bas tertentu mendapat bilangan penumpang yang lebih berbanding dengan yang lain;
v. kekurangan penumpang ;
vi. stesen bas yang kurang sempurna. Kebanyakan stesen bas yang sedia ada tidak melambangkan ciri-ciri kesempurnaan sebagai stesen bas. Terdapat kekurangan kemudahan awam seperti tempat duduk, tong sampah, tandas awam di samping persekitaran yang kurang menarik ; dan
vii. perkhidmatan awam terutama teksi, kereta sewa dan kereta sapu mengenakan tambang yang berbeza-beza.
Antara langkah penyelesaian yang dicadangkan di bawah kajian ialah:
i. perlebaran dan pembesaran jalan terutamanya di pusat bandar;
ii. pembinaan lebuhraya atau lingkaran luar;
iii. mengintegrasikan pengangkutan awam dengan pembangunan bandar (intergrasikan fizikal);
iv. meningkatkan pengurusan lalu lintas;
v. mewujudkan pengangkutan awam yang moden;
vi. mewujudkan Unit Perancangan dan Pengangkutan Lalu Lintas dan Pengangkutan Awam Negeri Pulau Pinang bagi mengadakan polisi, merancang, melaksana dan menguatkuasakan peraturan lalu lintas dan pengangkutan awam di Pulau Pinang ;
vii. membina lebih banyak pondok-pondok perhentian bas berbumbung yang lengkap dengan jadual perjalanan untuk makluman dan keselesaan pengguna;
viii. menyediakan lebih banyak kemudahan laluan-laluan pejalan kaki yang lebih sempurna untuk mengurangkan keperluan penggunaan kenderaan bagi perjalanan jarak dekat serta meningkatkan penggunaan pengangkutan awam ; dan
ix. mengadakan satu mod pengangkutan yang sempurna bagi menghubungkan tanah besar ke pulau dan sebaliknya. Pengangkutan awam yang kurang efisien dan sempurna boleh mengakibatkan berlakunya pertambahan bilangan kenderaan persendirian di atas jalan sehingga berlakunya masalah kekurangan tempat letak kenderaan.
Sebahagian besar daripada cadangan perunding untuk rancangan jangka masa pendek telah dilaksanakan. Tindakan berterusan sedang diambil ke atas sebahagian lagi cadangan tersebut. Sementara itu, di antara tindakan-tindakan yang sedang dilaksanakan ialah penyediaan laluan dan lintasan pejalan kaki, memperluaskan perkhidmatan bas shuttle, meningkatkan kemudahan pengangkutan awam, menyelaraskan lampu isyarat, mewujudkan jalan-jalan sehala, menyediakan papan-papan tanda arah dan informasi, mententeramkan lalu lintas (traffic calming) dan meninggikan taraf persimpangan.
Pelaksanaan langkah cadangan akan dijalankan secara berperingkat berdasarkan peruntukan yang disediakan. Ini adalah kerana kos pelaksanaan melibatkan perbelanjaan yang tinggi sementara peruntukan yang disediakan adalah terhad. Walau bagaimanapun, jadual pelaksanaan telah dibahagikan kepada tiga peringkat seperti berikut:
i. rancangan jangka pendek untuk tempoh 1998 hingga tahun 2000 memberi tumpuan kepada penyusunan semula lalu lintas dan penyediaan laluan pejalan kaki;
ii. rancangan jangka sederhana untuk tempoh 2001 hingga tahun 2005 menggariskan cara-cara meningkatkan keberkesanan pengangkutan awam; dan
iii. rancangan jangka panjang untuk tempoh 2006 hingga tahun 2010 memberi perhatian kepada penyediaan pengangkutan awam yang lebih efisien dan selesa serta pembinaan infrastruktur utama.
Perkhidmatan Park and Ride telah dilancarkan untuk kakitangan kerajaan di KOMTAR pada 1 Mac 2001 dengan stesen pertama di Tapak Pesta. Pada 2 April 2001, stesen kedua telah diwujudkan di persekitaran Jalan Masjid Negeri dan Jalan Kennedy. Tujuan utama perkhidmatan ini adalah untuk mengurangkan bilangan
kenderaan yang memasuki pusat Bandar Georgetown dan keperluan menyediakan lebih banyak tempat letak kenderaan. Melalui perkhidmatan ini juga penggunaan perkhidmatan awam ditingkatkan.
Perkhidmatan Bas Shuttle di kawasan pusat Bandar Georgetown telah disediakan mulai 1 Ogos 2001. Ia merupakan langkah awal dan strategi kerajaan untuk meningkatkan dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di Pulau Pinang. Di samping itu, objektif perkhidmatan Bas Shuttle adalah untuk mengurangkan kesesakan, mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, memudahkan pergerakan orang ramai di pusat bandar dan menjadi pelengkap kepada lain-lain rancangan jangka masa panjang kerajaan negeri seperti sistem Park and Ride, sistem pengangkutan awam berintegrasi, sistem transit aliran ringan dan monorail.
Kerajaan juga melalui jabatan dan agensi berkaitan mengambil tindakan berterusan untuk menyediakan terminal, perhentian-perhentian, pondok-pondok bas dan maklumat-maklumat kepada pengguna untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan bas awam. Kerajaan juga menyediakan perhentian-perhentian khas untuk teksi dan kereta sewa serta beca.