MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan 61. Bolehkah Y.A.B. Ketua Menteri memaklumkan apakah tindakan yang telah diambil oleh Majlis Ilmu dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Knowledge-ICT Council) serta maklumat projek e-Kampung dan e-Bandar yang telah dilaksanakan.
Dun -
Exco YAB KETUA MENTERI
Perkara ICT

Jawapan
61. Untuk makluman Yang Berhormat, Majlis K-ICT (Knowledge Information Communication & Technology) yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri telah ditubuhkan pada tahun 2001 di mana Majlis ini telah mengadakan mesyuarat pertama pada 18 Januari 2001 dan sehingga kini 8 mesyuarat telah diadakan.

Visi Majlis K-ICT ini adalah untuk membawa ekonomi Negeri Pulau Pinang melalui satu transformasi paradigma ke arah k-based economy (ekonomi berteraskan pengetahuan) serta menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai intelligent land(I-land) menjelang tahun 2010. Majlis K-ICT ini digerak oleh 5 Jawatankuasa Pemandu K-ICT iaitu :-

(a) Electronic Good Governance (eGG)
(b) Electronic Economy
(c) Digital Equity
(d) Knowledge Worker Development dan
(e) Connectivity

yang akan membantu perancangan, penyelarasan dan pemantauan program dan aktiviti teras strategik utama.

Untuk tujuan tersebut Majlis K-ICT telah siap menyediakan deraf Pelan Induk K-ICT Negeri Pulau Pinang. Pelan Induk yang sedang giat disediakan ini merupakan pelan komprehensif dalam menyediakan Negeri Pulau Pinang ke era k-Ekonomi melalui knowledge enrichment dan ICT excellence. Penyediaan pelan induk ini juga mengintegrasikan strategi-strategi dalam PSDP2, RNPP1 serta Strategi k-Ekonomi Negara (National Knowledge Economy Strategy). Majlis K-ICT telah bersetuju dengan 5 teras strategik yang dikenal pasti dan sedang merumus pelan tindakan dan program-program di bawah setiapnya. Pelan Induk ini dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2002. Selain daripada itu, melalui inisiatif Majlis K-ICT ini juga, satu nod gerbang internet antarabangsa telah diwujudkan di Pulau Pinang oleh Syarikat Telekom Malaysia. Nod ini disambung terus ke TMNet Eastgate yang berpusat di Cyberjaya. Ini sekali gus meningkatkan tahap capaian internet di Pulau Pinang.

Program-program ICT yang sedang dijalankan ketika ini tidak semuanya menjurus secara spesifik kepada projek e-kampung dan e-bandar namun ia dibangunkan sejajar dengan perkembangan pelaksanaan ICT yang dirancang. Projek-projek tersebut adalah :-

(a) Projek-projek e-Komuniti

(i) Projek PKK (Pusat K-Komuniti)
Projek ini bertujuan mempromosikan penggunaan ICT di kalangan masyarakat kampung serta merapatkan jurang digital. Kini projek ini sedang giat dilaksanakan di kawasan perintis iaitu JKKK Bagan Ajam dan JKKK Kongsi, Balik Pulau. Kedua-dua projek ini merupakan projek e-Kampung.

(ii) Portal NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan) iaitu projek pembangunan portal NGO-NGO di Negeri Pulau Pinang bertujuan untuk membawa perkhidmatan dan aktiviti-aktiviti NGO-NGO yang berada di Negeri Pulau Pinang secara lebih mudah dan berkesan (single point of reference) kepada semua rakyat Negeri Pulau Pinang. Projek ini sedang dibangunkan dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2003.

(iii) Portal Penang Library Network iaitu projek yang menjalinkan sumber-sumber dari perpustakaan-perpustakaan, kolej, universiti dan perpustakaan awam di Pulau Pinang untuk capaian online melalui internet oleh orangramai. Projek ini dijangka dimulakan pada Jun 2002 dan dijangka siap pada Julai 2003.


(b) Projek Knowledge Worker Development
Projek ini adalah bertujuan mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat serta membangun dan menyediakan sumber manusia yang diperlukan oleh pasaran. Lima (5) buah projek e-Belajar yang telah dikenalpasti dan dijangka mula dilaksanakan pada Jun 2002 dan siap pada Julai 2003 adalah seperti berikut :-

(i) Penang Knowledge Worker Information System – Penang HRD Exchange The Pilot Project.

(ii) Promotion and Publicity Programme for Penang e-Learning.

(iii) Evaluation Criteria for e-Learning Modules

(iv) Penang Knowledge Worker Portal

(v) Developing Lessonware for Malaysian University English Test (MUET).


(c) Kajian Penggunaan Internet di Kalangan Rakyat Pulau Pinang
Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti tahap penembusan dan corak penggunaan internet di Pulau Pinang. Kajian ini dapat menjadi asas bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membuat perancangan dan menyusun program-program yang sesuai dalam mempromosikan penggunaan internet secara sihat dan merapatkan jurang digital di kalangan rakyat Pulau Pinang. Kajian yang telah dilaksanakan oleh pihak Universiti Sains Malaysia ini merangkumi penggunaan di kalangan orang ramai, pelajar-pelajar sekolah serta kafe siber di Pulau Pinang. Kajian ini telah siap dan akan dihebahkan untuk pengetahuan orang ramai tidak lama lagi.

(d) Inisiatif RosettaNet
Melalui inisiatif Majlis K-ICT dan dengan persetujuan Majlis IT Negara (NITC) yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri, RosettaNet Malaysia telah dilancarkan pada 24 Januari 2002 dan telah mula beroperasi di Pulau Pinang. RosettaNet bertujuan untuk mempercepatkan adaptasi e-Business dalam sektor industri berteknologi tinggi dan sehingga kini 25 agensi dan syarikat telah menjadi ahli RosettaNet Malaysia. Pada masa kini, projek perintis e-Logistik iaitu end-lined global supply chain network yang diluluskan oleh NITC telah dikenalpasti akan dilaksanakan di Pulau Pinang.
Kembali