MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan 70. Bolehkah YAB. Ketua Menteri memberitahu Dewan ini apakah langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri bagi memastikan masalah untuk mendapat bekalan air bagi menanam padi akibat musim kemarau dan kelewatan kelulusan Kerajaan Kedah melepaskan air dari empangan ke dalam Sungai Muda tidak berulang lagi. (a) Apakah perancangan jangka panjang bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk tanaman padi. (b) Berapakah kerugian yang telah dialami oleh petani akibat tidak dapat menanam padi mengikut jadual. (c) Adakah kerajaan negeri bercadang membantu petani yang terlibat. Jika ada, apakah bantuan yang dihulurkan.
Dun -
Exco Y.B DATO' HJ. AZHAR BIN IBRAHIM
Perkara Pertanian/Penternakan/Perikanan

Jawapan
70. Sungai Muda merupakan sumber utama bekalan air untuk pengairan di Kedah Selatan dan Daerah Seberang Perai Utara. Pada tahun ini, hujan yang turun di Negeri Pulau Pinang dan Kedah (kawasan tadahan Sungai Muda) adalah di bawah paras purata untuk bulan Februari dan Mac. Untuk tempoh tersebut, kadaralir di Sungai Muda adalah tidak mencukupi untuk memulakan bekalan air pengairan kepada kawasan sawah di Daerah Seberang Perai Utara dan juga Kedah Selatan. Untuk menangani masalah kemarau tersebut, beberapa mesyuarat khas telahpun diadakan di peringkat Jawatankuasa Penyelarasan Tanaman Padi Negeri Pulau Pinang dan juga Kementerian Pertanian. Antara keputusan yang dibuat ialah mengubahkan Jadual Bekalan Air untuk tanaman padi dari awal Mac 2002 kepada 28.3.2002 kerana Jabatan Kajicuaca telah membuat ramalan bahawa hujan akan mula turun pada hujung bulan Mac. Jadual Bekalan Air baru tersebut adalah bertujuan untuk mengoptimumkan kegunaan air hujan dan mengurangkan sebarang bantuan bekalan air yang perlu dipohon dari pihak MADA yang juga menghadapi masalah kemarau.

Pihak MADA telah mula melepaskan air dari Empangan Muda pada 22.3.2002 dan memenuhi kehendak Jadual Bekalan Air yang ditetapkan memandangkan masa yang diperlukan untuk perjalanan air dari Negeri Kedah ke Pulau Pinang. Oleh itu para petani dapat mengikut jadual tanaman padi baru yang ditetapkan tanpa sebarang kelewatan.

Untuk mengatasi masalah kekurangan sumber air di Lembangan Sungai Muda yang merangkumi Negeri Pulau Pinang dan Kedah, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) bercadang melaksanakan pembinaan infrastruktur seperti Empangan Beris, Empangan Reman dan Jeniang Transfer System. Pada masa ini, pembinaan Empangan Beris (terletak 24 km di Utara pekan Sik, Kedah) sedang dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia dan jadual penyiapan projek asal adalah pada tahun 2003. Kerajaan Negeri Pulau Pinang bercadang untuk mencapai satu persetujuan berkongsi air dengan Negeri Kedah di mana peraturan yang jelas mengenai pengagihan air di antara negeri dan juga di antara pelbagai agensi/pengguna utama dapat dirumuskan.

Memandangkan petani dijangka dapat menanam padi mengikut Jadual Tanaman Padi yang ditetapkan, maka tiada kerugian dari segi pengeluaran hasil padi akan berlaku. Oleh itu, tiada bantuan khas akan dihulurkan.

Kembali