Jawapan
Dato’ Speaker, kerajaan negeri sedar bahawa terdapat pasar malam yang terletak di tepi jalan memang menimbulkan masalah kesesakan lalu lintas. Di sebelah Pulau Pinang terdapat 35 buah pasar malam dalam kawasan MPPP, 26 buah darinya terletak di kawasan perumahan yang tidak dinafikan menimbulkan masalah. Di Seberang Perai juga terdapat hanya 8 buah pasar malam sahaja di kawasan perumahan berbanding 60 buah pasar malam di seluruh Seberang Perai iaitu sebanyak 13% sahaja.
Kedua-dua majlis perbandaran memantau dan mengawal secara rapi aktiviti-aktiviti pasar malam ini. Perbincangan diadakan dengan pihak penganjur pasar-pasar malam sama ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung iaitu JKKK, Rukun Tetangga, Persatuan Penduduk dan Persatuan Penjaja Pasar Malam bagi membincangkan masalah-masalah yang timbul. Hasil daripada perbincangan terdapat kes-kes perpindahan pasar malam ke kawasan yang lebih sesuai. Bagi setengah pasar malam yang mendatangkan gangguan yang serius, MPPP dan MPSP akan mengambil tindakan mengeluarkan kompaun dari masa ke semasa.
Ahli Kawasan Bayan Lepas (Y.B. Encik Lim Chien Aun):
Soalan tambahan.
Dato’ Speaker:
Soalan tambahan.
Ahli Kawasan Bayan Lepas (Y.B. Encik Lim Chien Aun):
Dato’ Speaker, mengikut jawapan tindakan yang di sentuh oleh Ahli Kawasan Kebun Bunga ialah memberi kompaun tetapi saya rasa kita semua sedar apa sebab ia terjadi di kawasan Pulau di mana 26 kawasan pasar malam ada di kawasan perumahan ialah sebab kawasan perumahan ini pun ialah kawasan perumahan yang baru yang terletak di dalam kawasan yang baru dibangunkan. Oleh sebab ini sudah menjadi satu masalah. Dulu pasar malam ini ada di sana tetapi dulu kawasan itu tidak ada perumahan lagi dan ialah kawasan kampung. Mengikut apa katakan asas dasar pasar malam kita katakan dulu ialah untuk memberi perkhidmatan pasar kepada orang awam di luar bandar dan sekarang kawasan itu menjadi kawasan dalam bandar dan kawasan yang baru dibangunkan. Adakah mungkin kerajaan negeri melalui MPPP atau MPSP hendak kenal pastikan kawasan-kawasan baru untuk kegiatan pasar malam ini untuk diubah atau pindah. Jika tidak, saya rasa ini akan jadi satu masalah yang besar pada masa akan datang. Bila kawasan hendak dibangunkan dan mungkin kita (dengan izin) nipped atau bulk sebelum jadi satu masalah yang besar. Ada kes-kes yang sudah menjadi masalah besar tetapi saya harap tindakan ini mesti dijalankan dengan cepat. Jika tidak, saya rasa akan terjejas pembangunan-pembangunan di kawasan tersebut. Terima kasih.
Ahli Kawasan Kebun Bunga (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):
Memang Dato’ Speaker, terdapat satu pasar malam yang menimbulkan masalah yang besar dan serius melalui MPPP. Bolehkah kita bincang adakah sesuai pasar malam itu di tempat tersebut seperti di nyatakan oleh Ahli Bayan Lepas tadi. Selalunya kegiatan pasar malam ada di kawasan itu dahulu, dan kemudian kemajuan masuk dan menjadi kawasan perumahan dan ini dijadikan satu isu juga. Bukan kerana dahulu yang datang ke tempat itu ialah pasar malam dan kalau ada timbul masalah yang spesifik saya minta Ahli Bayan Lepas boleh beritahu bersama-sama melalui Persatuan Penduduk ataupun melalui JKKK ataupun Rukun Tetangga. Saya pasti masalah ini boleh ditangani dan diselesaikan. Majlis Perbandaran mahupun MPSP ataupun MPPP sentiasa bersama untuk menyelesai dan mengatasi masalah-masalah seperti ini melalui rundingan, melalui kerjasama dengan wakil raykat kawasan.
Ahli Kawasan Penanti (Y.B. Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Kadir):
Dato’ Speaker, soalan tambahan,
Dato’ Speaker:
Soalan tambahan Penanti.
Terima kasih Dato’ Speaker, soalan saya ialah mengenai dengan pengurusan pasar malam dan kita dapati bahawa pasar malam ini selepas selesainya, dia mendatangkan masalah kepada pihak Majlis ataupun pihak berkuasa tempatan. Adakah kedua-dua pihak berkuasa tempatan MPPP ataupun MPSP bercadang untuk ambil alih semua pengurusan pasar malam di balik semula kepada asal. Dahulu Majlis yang menguruskan mengenai dengan pasar malam, kutipan dibuat oleh Majlis dan pembersihan juga dibuat oleh Majlis. Kerana kita dapati pasar malam yang ada juga atas nama JKKK tetapi di selenggarakan oleh 2 atau 3 orang dan diswastakan kepada 2, 3 orang, dia buat kutipan lepas itu 3 orang pergi melancong. Duit daripada kutipan pergi ke Medan, ke Haadyai dan sebagainya.
Perkara ini mesti dikaji semula. Kalau sekiranya ini berlaku dan esok pagi, pihak Majlis akan pergi bersihkan tempat itu, jadi apa gunanya kutipan dibuat, tetapi pembersihan tidak dibuat, sekurang-kurangnya kalau sekiranya JKKK sekali pun dan di Seberang Perai ada satu parti politik yang melaksanakan pasar malam dan saya tidak sebut nama, kalau Y.B. Penaga mahu saya sebut nama, saya boleh sebut. Jadi seboleh-boleh tidak mahu disebut parti mana, kalau didesak oleh Y.B. Penaga, saya akan sebut. Jadi tidak mahu desaklah, kalau tidak desak saya pun tidak mahu sebut. Jadi sekiranya pungutan itu difaedahkan balik kepada penduduk setempat, dibersihkan longkang, maintenance longkang dibuat oleh pihak yang mengutip bayaran sewa tapak dan sebagainya, itu tidak apa, tetapi beban yang akan ditanggung ialah oleh pihak berkuasa tempatan, lagi baik pihak berkuasa tempatan mengambil alih dan menguruskan semua pasar malam. Jadi pertanyaan saya, adakah pihak berkuasa tempatan bercadang untuk mengambil alih semua pasar malam?
Ahli Kawasan Kebun Bunga (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):
Dato’ Speaker, untuk makluman Dewan yang mulia ini, amalan sekarang yang dijalankan oleh kedua-dua majlis perbandaran ialah mengenai pasar malam bagi tajaan dan pengurusan oleh organisasi tempatan seperti Rukun Tetangga, JKKK atau pun persatuan penduduk. Selepas perniagaan, pihak pengurusan atau pun pihak tajaan itu perlu menjalankan kerja-kerja pembersihan dan sebagainya. Kalau didapati bahawa pihak tajaan atau pun pihak pengurusan tidak menjalankan tugas mereka dengan sempurna, saya rasa ini mungkin satu kerja yang tidak patut diadakan. Kita boleh laporkan kepada majlis perbandaran, supaya tindakan yang sewajarnya diambil terhadap penaja itu. Kalau hendak minta Majlis ambil alih pengurusan semua pasar malam ini, saya ingat ini kita boleh rundingkan dan tengok mana yang lebih berfaedah kepada rakyat, kemudian bolehlah dibuat keputusan.
Dato’ Speaker:
Soalan tambahan.
Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang):
Dato’ Speaker, tentang pasar malam, adakah kerajaan negeri bercadang untuk mencari satu tempat yang tetap untuk pasar malam kerana di Pulau Pinang tidak ada. Kalau kita pergi ke Kuala Lumpur, di Jalan Pekeliling ada satu pasar malam. Di sana dapat menarik pelancong dan di luar negara sama ada di Peking, di Hong Kong dan di Taiwan semuanya ada pasar malam. Tetapi tempat pelancongan seperti Negeri Pulau Pinang tidak ada. Adakah pihak kerajaan negeri akan mencari satu tempat untuk meletakkan pasar malam yang tetapi di Pulau Pinang untuk menarik pelancong.
Ahli Kawasan Paya Terubong (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):
Memang pada masa sekarang, untuk makluman Dewan yang mulia ini di beberapa tempat mahu pun di MPPP atau pun MPSP memang ada tempat-tempat yang tertentu untuk peniaga-peniaga pasar malam ini secara bergilir atau pun tetap ada juga. Tetapi kalau kita tetapkan di satu-satu tempat, kita pasti bahawa perniagaan-perniagaan di tempat itu boleh sustainable (dengan izin) dan saya rasa ini dibenarkan market force (dengan izin) untuk pasar malam ini dijalankan. Kalau ada tempat-tempat yang sesuai untuk ditetapkan sebagai pasar malam di mana-mana tempat, saya rasa kedua-dua Majlis mengalu-alukan cadangan dan Majlis boleh berbincang dan membuat keputusan. Kalau di Batu Lancang ada tempat yang sesuai, saya rasa Y.B. Batu Lancang boleh membuat cadangan juga.
Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang):
Dato’ Speaker, saya cadangkan tempat pasar malam yang tetap ini, tujuannya untuk menarik pelancong, bukan untuk local. Cadangan yang dahulu kita cadangkan di Persiaran Gurney boleh menarik pelancong luar negeri dan kalau di sana tidak boleh dilaksanakan, saya bercadang di Esplanade pun boleh.
Dato’ Speaker:
Ya, terima kasih Yang Berhormat. Yang Berhormat Seberang Jaya satu lagi.
Ahli Kawasan Seberang Jaya (Y.B. Dr. Radin Muhamad Amin bin Radin Haji Hadi Munir):
Terima kasih Dato’ Speaker, sebenarnya Yang Berhormat daripada Batu Lancang terlupa apa itu konsep, sebenarnya dia tidak faham apa dia konsep pasar malam. Pasar malam itu hanya diadakan seminggu sekali di satu-satu tempat dan di lain-lain tempat, bukan tiap-tiap malam berniaga dan apa salahnya pihak NGO, persatuan-persatuan JKKK mengatur pasar malam, tiada masalahnya. Bahkan saya telah lihat MPPP dan MPSP kerap mengadakan perbincangan.
Ahli Kawasan Penanti (Y.B. Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Kadir):
Dato’ Speaker, ini bukan soalan. Ucapan EXCO bagi penjelasan ini.
Ahli Kawasan Seberang Jaya (Y.B. Dr. Radin Muhamad Amin bin Radin Haji Hadi Munir):
Saya buntu, jadi soalannya apa yang disoal oleh Yang Berhormat itu bukan soalan sebenarnya. Jadi....(ketawa).
Ahli Kawasan Penanti (Y.B. Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Kadir):
Tuan Speaker, ini bukan soalan, ini general statement.
Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang):
Saya tanya adakah kerajaan negeri..... (gangguan).
Dato’ Speaker:
Soalan tadi tidak habis lagi.
Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang):
Adakah kerajaan negeri akan mencari satu tempat untuk pasar malam yang tetap untuk menarik pelancong? Saya tidak halang pasar malam di tempat kediaman. Cari satu tempat yang tetap untuk menarik pelancong, itu tujuan dan bukan yang lain. Di Jalan Pekeliling di Kuala Lumpur, di Peking dan di Hong Kong terdapat satu tempat pasar malam yang tujuannya menarik pelancong.
Dato’ Speaker:
Habis, kita bagi peluang Yang Berhormat balik berehat malam ini.
Ahli kawasan Seberang Jaya (Y.B. Dr. Radin Muhamad Amin bin Radin Haji Radin Munir:
Jadi berkenaan dengan tuduhan mengatakan ada dikalangan JKKK menggunakan peruntukan dan pendapatan dari pasar malam untuk melancong ke Medan dan saya tidak dengar, kalau boleh Y.B. Penanti dapat memberitahu secara bertulis kepada saya, manakah JKKK yang terlibat dalam perkara ini.