Jawapan
12. Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mewujudkan Penang.Net dengan objektif jangka panjang bagi memandu Negeri Pulau Pinang ke era ICT. Selaras dengan objektif ini, sebuah syarikat usahasama di antara PDC dan syarikat-syarikat swasta tempatan telah ditubuhkan sebagai Penang Network Services Sdn. Bhd. (PNS) untuk mengurus dan mengendalikan projek Penang.Net.
Penang.Net ditubuhkan dengan tujuan mempromosikan penggunaan ICT, menggalakkan para peniaga dan pengguna menggunakan aplikasi-aplikasi IT dan mengadaptasi teknologi Internet dalam urusan harian mereka seperti e-Tuisyen, e-Perniagaan, e-Pelancongan, e-SMI dan sebagainya. Penang.Net telah juga berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap potensi dan keupayaan Internet melalui seminar, pameran, laporan media, pelancaran produk dan perkhidmatan. Selain daripada itu, selepas pelancaran Penang.Net pada tahun 1996, beberapa jaringan negeri seperti SelangorNet (1997), SabahNet (1997) dan lain-lain juga turut menyusul untuk membentuk Jaringan Negeri masing-masing.
(A) Perkhidmatan Kepada Orang Ramai Atau Pengguna Biasa
Penang.Net telah telah menyediakan beberapa portal untuk orang ramai atau pengguna biasa termasuklah e-pembelajaran, e-pelancongan, e-perniagaan, penempatan kerja dan sebagainya. Portal-portal Penang.Net yang aktif dan dapat memberi manfaat kepada orang ramai atau pengguna biasa adalah seperti berikut:-
(i) Melalui portal Penang.Net yang induk, pengguna dapat memperolehi maklumat berkaitan pentadbiran kerajaan negeri, kajicuaca, berita Pulau Pinang, kalendar acara-acara penting di Pulau Pinang dan lain-lain lagi.
(ii) Melalui portal e-pembelajaran (www.el.com.my), Penang.Net bekerjasama dengan Unit Penyelidikan Pendidikan Asas, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui program SIPI (Student Industry Partnership Initiative) untuk melatih guru-guru sekolah dari luar bandar dan bandar bagi membangunkan laman web sekolah mereka. Setakat ini, 100 buah sekolah dalam negeri ini telah menyertai portal ini dan membangun laman web sekolah masing-masing. Para pelajar pula boleh mempelajari bidang-bidang seperti seni lukis, warisan, astronomi, alam semula jadi, kesusasteraan dan sains melalui laman-laman web yang diperangkaikan kepada portal ini.
(iii) Melalui portal e-pelancongan (www.exoticpenang. com.my), orang ramai boleh mendapat maklumat berkaitan penginapan, tempat-tempat pelancongan yang popular dan banyak lagi sebelum mereka mengunjungi negeri ini.
Pengguna tidak dikenakan sebarang bayaran untuk perkhidmatan Penang.Net yang diberikan melalui portal-portal tersebut.
Setakat ini, sambutan kepada Penang.Net adalah sederhana di mana portal-portal Penang.Net mendapat purata kunjungan (“Hitâ€) kira-kira 500,000 sebulan untuk tahun ini setakat ini.
(B) Perkhidmatan Kepada Sektor Swasta Dan Komersil
Perkhidmatan yang setakat ini ditawarkan oleh Penang.Net juga dapat dimanfaatkan oleh sektor swasta dan komersil melalui pembangunan portal-portal ini:-
(i) e-SMI (www.esmi.net.my) - untuk membantu industri kecil dan sederhana (IKS) memasarkan perkhidmatan dan barangan mereka melalui Internet, disamping berinteraksi di antara satu sama lain secara elektronik.
(ii) e-Pelancongan (www.exoticpenang.com.my) - syarikat-syarikat pelancongan mempromosikan produk dan perkhidmatannya ke seluruh dunia. Ia juga membantu kerajaan negeri mempromosikan Pulau Pinang sebagai pusat pelancongan ke seluruh dunia.
(iii) e-Pelabur (www.investpenang.com.my) - bertujuan menarik lebih banyak syarikat multinasional dan tempatan untuk melabur di Pulau Pinang dengan menyediakan maklumat-maklumat yang tertentu berkenaan insentif dan keadaan pelaburan di negeri ini.
(iv) e-Pedagang (www.moset.com) - membantu para pedagang tempatan untuk berurusniaga dan memasarkan barangan mereka secara on-line dengan kemudahan pembayaran yang selamat.
PNS juga memberi perkhidmatan-perkhidmatan kepada para peniaga melalui sistem integrasi, ‘web-hosting’, ‘co-location’, pembangunan portal, kawalan keselamatan Internet, sambungan fizikal (connectivity) dan Internet. Pelbagai jenis perkhidmatan IT yang lain juga ditawarkan oleh Penang.Net.
PNS perlu bersaing dengan syarikat-syarikat perkhidmatan Internet yang lain untuk mendapat para pelanggan. Oleh itu, caj perkhidmatan-perkhidmatan yang dikenakan hendaklah bersamaan atau kurang daripada harga pasaran.
(C) Keadaaan Kewangan Penang Networtk Services Sdn. Bhd.
Apabila PNS ditubuhkan untuk mengurus dan mengendalikan projek Penang.Net, bidang perniagaan menggunakan Internet merupakan bidang yang baru. Ini bermakna PNS menceburi bidang baru atau “unchartered waterâ€. Oleh itu, ia memerlukan tempoh yang agak lama atau “long gestation period†untuk matang dan memperolehi keuntungan. Tambahan pula, bidang ini mempunyai kelok pembelajaran (‘learning curve’) yang panjang.
Sektor perniagaan ‘dot-com’ yang telah merudum atau “crashed†sejak Oktober 2000 ditambah dengan kelembapan yang dialami oleh industri yang berasaskan Internet mengakibatkan beratus-ratus syarikat ‘dot-com’ di seluruh dunia telah menutup operasi mereka. Masalah ini turut membabitkan PNS yang dikelaskan sebagai syarikat ‘dot-com’.
Sejak November 1996, Penang.Net telah melancarkan beberapa perkhidmatan dan portal yang mendahului masa atau ‘ahead of its time’. Contohnya, portal e-tuisyen tidak mendapat sambutan yang baik kerana masih terdapat penghuni atau ‘household’ yang tidak mempunyai komputer dan capaian Internet. Tambahan pula, ramai pengguna tempatan masih belum biasa dengan perkhidmatan tuisyen secara elektronik. Satu lagi contoh adalah pelaksaan aplikasi e-perniagaan iaitu e-Niaga yang merangkumi rangkaian bekalan dan perisytiharaan borang-borang kastam yang dilancarkan pada Ogos 1999. Ia dilancarkan sebelum Sistem Maklumat Kastam diguna pakai di negeri ini dan oleh itu tidak dapat berfungsi dengan baik.
Sambutan terhadap penggunaan Internet di kalangan para peniaga dan pengguna di negara kita masih berada di tahap yang agak rendah, terutamanya perkhidmatan yang memerlukan pembayaran secara elektronik melalui Internet. Ini menyebabkan banyak syarikat ‘dot-com’ menghentikan operasi kerana mengalami kerugian. Walau bagaimanapun, seperti juga syarikat-syarikat ‘dot-com’ yang lain, PNS telah pun melabur dalam infrastruktur Internet (seperti server, perhubungan internet, perisian Internet dan lain-lain) dan beberapa buah projek yang merangkumi bidang baru (seperti perniagaan elektronik dan rangkaian bekalan).
Kegawatan ekonomi pada penghujung tahun 90-an telah menyebabkan hampir semua jenis perniagaan menghadapi kelembapan, termasuk sektor IT.
Semasa projek itu dimulakan pada tahun 1996, industri berasaskan Internet ini masih baru. Oleh itu, PNS perlu bergantung kepada Juruperunding IT iaitu THB Asia Connect Sdn. Bhd. (TAV) untuk mendapatkan khidmat kepakaran syarikat ini dalam memperkenalkan produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan. Pada waktu itu, ramalan keuntungan dan potensi syarikat berasaskan Internet yang diperolehi adalah kurang tepat. Tambahan pula, yuran pengurusan serta perbelanjaan pelancaran dan promosi adalah sangat tinggi.
PNS juga mengalami beberapa pertukaran di peringkat kumpulan pengurusan atasan yang menjejaskan perjalanan operasinya. Sememangnya tenaga kerja atasan dan profesional di dalam bidang Internet sering mengalami kadar pertukaran yang tinggi.
Oleh itu, kerugian yang dialami PNS sejak dilancarkan adalah sebanyak RM500,000 pada tahun yang pertama, RM1.42 juta pada tahun yang kedua, RM570,000 pada tahun yang ketiga, RM1.26 juta pada tahun yang keempat dan RM258,000 pada tahun akhir.
Walaupun PNS menghadapi masalah-masalah di atas, syarikat ini telah berjaya menstabilkan kedudukan kewangannya dan sekaligus berjaya mengurangkan kerugiannya. PNS juga telah menjalankan penstrukturan semula dan memperkemaskan operasinya melalui penubuhan dua buah anak syarikat, iaitu Moset Sdn. Bhd. dan PNS Technologies Sdn. Bhd. Kini, PNS telah memilih rakan usahasama di kalangan pakar tempatan (dari Pulau Pinang) dalam penubuhan anak-anak syarikat tersebut. Dengan ini, PNS dapat menawarkan lebih banyak perkhidmatan IT dan yang berasaskan Internet kepada komuniti peniaga serta pengguna.