Jawapan
35. Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon untuk menjawab bersama-sama dengan soalan No. 8 ADUN Kawasan Ayer Itam, No. 35 ADUN Kawasan Sungai Pinang dan No. 56 ADUN Kawasan Pengkalan Kota.
Untuk memberi satu gambaran yang lebih jelas dan menyeluruh mengenai projek PORR ini, saya ingin memberi satu ringkasan sejarah berkenaan dengan projek ini untuk makluman Dewan ini.
Satu kajian mengenai lalu lintas dan pengangkutan bagi Negeri Pulau Pinang telah diadakan pada tahun 1981 oleh Japan International Cooporation Agency (JICA) yang menghasilkan satu laporan, Urban Transport Study in Greater Metropolitan Areas of Georgetown, Butterworth and Bukit Mertajam yang sekarang dikenali sebagai kajian JICA. Dalam kajian tersebut telah dicadangkan bahawa untuk menyuraikan isi padu lalu lintas atau traffic volume yang dijangka akan meningkat selepas siapnya pembinaan jambatan Pulau Pinang. Satu lingkaran luar Pulau Pinang atau PORR hendaklah dilaksanakan sebagai satu penyelesaian jangka masa panjang.
Konsep PORR yang dicadangkan oleh JICA merangkumi tiga segmen lebuh raya yang dijangka akan disambung menjadi satu lingkaran ataupun ring.
Segmen yang pertama ialah Lebuhraya Pantai dari Jambatan Pulau Pinang ke Pengkalan Weld di Pusat Bandaraya yang sekarang dikenali sebagai Lebuhraya Jelutong.
Segmen yang kedua ialah Jajaran Lebuhraya dari Jambatan Pulau Pinang melalui lereng bukit di belakang Island Glades dan Island Park ke Air Itam dan seterusnya ke Tanjong Tokong.
Segmen yang ketiga meliputi satu lagi lebuh raya pantai dari Tanjong Tokong ke Pusat Bandaraya Georgetown.
Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri pada masa itu secara prinsipnya telah menerima hasil cadangan JICA ini sebagai pelan jangka masa panjang. Walau bagaimanapun dalam tahun 80-an cadangan PORR ini tidak dilaksanakan kerana kekurangan kewangan kerajaan akibat kemelesetan ekonomi khasnya pada tahun 1985 hingga 1986. Kerajaan negeri pada tahun 1987 hingga 1988 cuba menswastakan segmen Lebuhraya Jelutong, tetapi tidak berjaya.
Pada awal tahun 90-an kerajaan negeri sekali lagi mengambil inisiatif untuk berbincang dengan Kerajaan Persekutuan mengenai pelaksanaan ketiga-tiga segmen bagi PORR ini. Pada waktu itu, telah dipersetujui bahawa kerajaan negeri sendiri akan cuba melaksanakan segmen Lebuhraya Jelutong manakala Kerajaan Persekutuan adalah dipertanggungjawabkan ke atas segmen yang kedua dan yang ketiga yang sejak waktu itu dikenali dengan PORR secara berasingan daripada Lebuhraya Jelutong.
Selanjutnya selepas beberapa percubaan kerajaan negeri memutuskan untuk menswastakan pembinaan Lebuhraya Jelutong melalui proses “tender,†dengan persetujuan Kerajaan Persekutuan. Tender itu telah diberi kepada Jelutong Development Sdn. Bhd. melalui surat niat pada 7 April 1995 dan perjanjian penuh pada 22 April 1997 dan fasa 1 Lebuhraya Jelutong kini telah mencapai tahap 62% pelaksanaannya.
Pada tahun 1995, Kerajaan Persekutuan telah mulai merancang pelaksanaan projek PORR di mana satu peruntukan sebanyak RM10 juta telah disediakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-6 untuk kerja jajaran dan reka bentuk secara terperinci oleh pakar runding Jabatan Kerja Raya (J.K.R.). Walau bagaimanapun, selaras dengan dasar penswastaan negara Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menswastakan pelaksanaan projek ini pada tahun 1996 dan Syarikat Peninsular Metro Work Sdn. Bhd. (PMWSB) telah dipilih oleh Kerajaan Persekutuan sebagai syarikat pemaju projek ini kerana PMWSB merupakan syarikat yang pertama mengemukakan cadangan pelaksanaan penswastaan projek PORR kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.
Pada 14 Ogos 1997 satu surat niat telah dikeluarkan oleh EPU untuk melantik PMWSB sebagai pemaju dan syarikat konsesi. Persetujuan secara prinsip ini adalah tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat perjanjian penswastaan yang sedang dirunding dan akan ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan dengan PMWSB. PMWSB juga telah diberi kebenaran untuk terus melaksanakan kerja-kerja jajaran dan reka bentuk di bawah pengawasan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Akan tetapi selepas surat niat perundingan mengenai perjanjian dan kerja jajaran tidak berjalan dengan lancar akibat daripada kegawatan ekonomi yang melanda negara ini pada penghujung tahun 1997, hampir semua projek penswastaan dan projek swasta sendiri di seluruh negara termasuk projek PORR dan Lebuhraya Jelutong di Negeri Pulau Pinang telah menghadapi masalah pendanaan kewangan ataupun financial funding oleh institusi-institusi kewangan.
Pada penghujung 1979 apabila ekonomi negara dan sistem kewangan mulai pulih PORR berjaya di aktifkan semula dan kerajaan persekutuan bersetuju bahawa projek PORR boleh diteruskan. Walau bagaimanapun, penetapan jajaran ini diantara PMWSB, LLM dan kerajaan negeri pula mengambil masa yang agak panjang kerana beberapa sebab lain seperti berikut:-
1. Usaha yang diambil untuk mengurangkan dan mengelakkan seberapa banyak yang boleh pemotongan cerun bukit yang mempunyai kesan alam sekitar. Disamping itu, kerajaan negeri itu telah menegaskan dalam beberapa sesi perbincangan untuk mengurangkan seberapa banyak yang boleh penempatan semula rumah-rumah dan tempat-tempat ibadat yang akan mempunyai kesan sosial.
2. Oleh kerana segmen dari Tanjong Tokong ke Georgetown melibatkan tebus guna tanah, maka timbul masalah penyelarasan kawasan tebus guna tanah di antara PORR ini dengan projek tebus guna tanah Tanjong Tokong yang telah diswastakan pada Tanjong Pinang Development Sdn. Bhd. sejak pertengahan tahun 1990. Projek TPDSB ini juga terbengkalai kerana kegawatan ekonomi.
3. Pindaan juga dibuat baru-baru ini ke atas jajaran PORR di kawasan Bandaraya Georgetown agar tidak menjejaskan kawasan pelabuhan serta kawasan Padang Kota dan Pengkalan Weld termasuk bangunan-bangunan yang mempunyai nilai kesan dan sejarah.
Mengikut jajaran yang telah dihasilkan setakat ini pembinaan Lebuhraya PORR melibatkan pembinaan jalan sepanjang 17 km dengan pakej A di bahagian pendalaman sepanjang 12 km dan Pakej B bahagian pantai sepanjang 5 km. Pakej A bermula dari Jambatan Pulau Pinang dan merentasi Kampong Kastam, Island Glades, Bandar Baru Air Itam, Padang Tembak, Taman Jesselton, Taman Belia, Jalan Bagan Jermal dan berakhir di Persiaran Gurney, sementara pakej B pula bermula dari Tanjong Tokong menuju ke selatan mengikut sempadan tepi pantai Persiaran Gurney dan seterusnya berakhir di Persimpangan Jalan Pangkor.
Perlaksanaan projek PORR ini dijangka melibatkan 76 buah rumah persendirian. Selain daripada itu kira-kira 30 buah rumah setinggan dan 70 buah kuarters kerajaan juga adalah terlibat. Selain itu lot 403 seluas 3.91 ekar di kawasan Kelab Lumba Kuda “Penang Turf Club†juga akan terjejas dengan projek PORR ini. Ia melibatkan 2 buah kandang kuda, 2 buah rumah kakitangan, sebuah bangsal, satu (1) pam air dan sebahagian padang belajar menunggang kelab tersebut. Jumlah pampasan yang perlu dibayar pada mereka yang terjejas akibat projek ini sedang berada di peringkat pengiraan dan penyelarasan.
Kajian environmental impact assessment (EIA) bagi projek PORR telah dilaksanakan oleh Syarikat Esa Juruteran Perunding Sdn. Bhd. pada tahun 1996. Berdasarkan kajian EIA tersebut, Jabatan Alam Sekitar telah mencadangkan penubuhan Jawataqnkuasa Pengawasan Alam Sekitar PORR di peringkat negeri bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dirancang dan dilaksanakan secara berkesan. Susulan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah meluluskan laporan EIA pada tahun 1996 tersebut tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Jabatan Alam Sekitar juga telah menetapkan tempoh sah laporan diterima pakai adalah selama dua (2) tahun dari tarikh kelulusan laporan EIA tersebut. Oleh itu syarikat pemaju dikehendaki melantik pihak yang berkenaan untuk menyediakan kajian dan laporan EIA berdasarkan kepada rancangan dan ulasan Jabatan Alam Sekitar ke atas laporan EIA yang telah dijalankan dan diluluskan pada tahun 1996. Sekarang satu pameran sedang dianjurkan bersama oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PMWSB bertempat di Kompleks Penyayang. Butir-butir mengenai jajaran PORR dan bangunan-bangunan yang terlibat boleh diperolehi daripada pamiran tersebut dan saya tidak bercadang untuk menghuraikan satu persatu secara terperinci dalam Dewan ini.
Kerajaan Persekutuan telah memutuskan PORR dilaksanakan secara “bina kendali dan pindah†atau built, operate and transfer (BOT). Di bawah konsep BOT ini syarikat konsesi dikehendaki membina dan membiayai sebahagian besar kos projek tersebut. Sebagai balasan syarikat konsesi yang akan ditetapkan dibenarkan mengurus mengoperasi mengutip tol bagi satu tempoh konsesi yang ditetapkan.
Dato’ Speaker, kos pelaksanaan projek PORR dianggar dalam lingkungan lebih kurang RM1.0 billion yang merangkumi kos pembinaan lebuh raya dan kos pengambilan tanah. Dalam konsep asalnya untuk mengawal kadar tol supaya tidak terlalu tinggi syarikat yang berkenaan akan diberi hak untuk menebus guna tanah dan memajukan projek-projek hal tanah untuk menampung sebahagian kos pelaksanaan projek PORR.
Walau bagaimanapun, selepas kegawatan ekonomi pulangan daripada pembangunan hal tebus guna tanah merupakan satu pulangan yang akan mengambil masa yang lebih panjang. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju secara prinsipnya untuk menampung kos pengambilan tanah kerana apabila berakhirnya tempoh konsesi PORR sama-sama dengan tanah yang diambil alih tersebut akan diserahkan kembali kepada pihak kerajaan.
Di samping itu, dalam perundingan dengan syarikat konsesi bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri juga telah menegaskan pendiriannya supaya kadar tol diletakkan pada kadar yang munasabah dan tidak membebankan para pengguna PORR. Hasil daripada perundingan ini telah dipersetujui secara prinsip bahawa bagi setiap segmen lebuh raya akan diadakan plaza tol seperti berikut:-
1. Atas jajaran PORR berdekatan dengan Taman Delima bagi segmen dari Jambatan Pulau Pinang ke Air Itam – (dua hala);
2. Plaza tol berhampiran Taman Belia bagi laluan bagi Air Itam ke Bagan Jermal, ini pun (dua hala);
3. Plaza tol berdekatan kawasan tebus guna tanah bagi Tanjong Tokong bagi laluan Bagan Jermal ke Tanjong Tokong (dua hala);
4. Plaza tol berdekatan Persiaran Gurney bagi laluan dari Bagan Jermal ke Jalan Pangkor Georgetown (satu hala sahaja).
Kutipan tol yang dicadangkan pada asalnya RM1.70 bagi satu hala di tiap-tiap plaza tol tetapi telah dikurangkan kepada RM1.00 hasil maklum balas dan penegasan daripada kerajaan negeri selepas beberapa kali bermesyuarat dengan PMWSB, LLM dan Unit EPU
Lebuhraya PORR adalah merupakan lebuh raya lencongan ataupun “by pass highway†bertol yang bakal memberikan keselesaan dan tempoh perjalanan yang lebih pantas kepada para pengguna jalan raya di Pulau Pinang. Namun begitu para pengguna telah bebas untuk membuat pilihan mereka sendiri sama ada untuk menggunakan PORR ataupun memilih menggunakan jalan utama yang sedia ada untuk pergi ke destinasi mereka.
Untuk mengawal kadar tol Kerajaan Negeri Pulau Pinang setelah merancang dengan Kerajaan Persekutuan telah juga bersetuju secara prinsipnya untuk memindah milik pada syarikat tersebut 6 tapak tanah kerajaan negeri yang berjumlah seluas 76.6 ekar yang bernilai lebih kurang RM200.0 juta. Sebagai balasan, syarikat konsesi akan menyerah balik kepada kerajaan negeri tanah tebus guna sebanyak 75 ekar selepas tanah tersebut ditebus guna kelak. Ini tidak termasuk tanah lapang yang lain mengikut keperluan rancangan.
Lokasi dan keluasan 6 tapak tanah kerajaan negeri adalah seperti berikut:-
Jalan Peel 6.4 ekar
Jalan Grove 16.5 ekar
Jalan Lahat 8.4 ekar
Jalan Scotland 6.9 ekar
Jalan Jesselton 3.6 ekar
Jalan Sultan Azlan Shah 34.8 ekar
-------------
Jumlahnya 76.6 ekar
=============
Pada masa ini, perundingan draf perjanjian konsesi bagi pelaksanaan projek tersebut di antara EPU Jabatan Perdana Menteri dan PMWSB adalah di peringkat terakhir. Pada masa yang sama berdasarkan kepada perjanjian konsesi tersebut, satu perjanjian akan juga ditetapkan dan ditandatangani di antara kerajaan negeri dan PMWSB mengenai peruntukan dan tanah kerajaan negeri pada PMWSB penyerahan balik tanah tebus guna oleh PMWSB kepada kerajaan negeri. Projek PORR dijangka akan dimulakan pada pertengahan tahun hadapan dan dijangka siap dalam tempoh 3 setengah tahun setelah perjanjian ditandatangani iaitu dari tarikh mula kerja pembinaan itu