MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
10/05/2016 09:30:00 AM hingga 20/05/2016 05:00:00 PM
Soalan Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas kawasan Bukit Mertajam yang sentiasa berlaku pada waktu puncak, khususnya di Jalan Kulim, Jalan Aston, Jalan Usahaniaga, Jalan Berjaya dan Jalan Maju?
Dun Berapit
Exco DATO' LIM HOCK SENG
Perkara MPSP

Jawapan

Kerajaan Negeri melalui pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sentiasa membuat perancangan untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Bandar Bukit Mertajam dan jalan-jalan disekitarnya. Pihak JKR telahpun menyiapkan Projek Pelebaran Jalan Song Ban Kheng yang terbukti berkesan untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas. Dalam masa yang sama, pihak JKR juga memiliki perancangan untuk melaksanakan projek-projek berikut:-



      (i)  Pembinaan jalan menyambungkan Jalan Betek, Jalan Permatang Rawa dan  Jalan Tanah Liat;



     (ii)   Pembinaan jalan dari Jalan Tok Elong ke Jalan Berapit; dan



     (iii)  Pembinaan Jalan Baru dari Berapit ke Jalan Kulim.



Selain itu, pihak MPSP juga memiliki perancangan untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Bukit Mertajam, khususnya di Jalan Kulim, Jalan Aston, Jalan Usahaniaga, Jalan Berjaya dan Jalan Maju. Antaranya adalah melaksanakan sistem lalu lintas sehala agar pergerakan aliran kenderaan menjadi lebih lancar dan teratur di Jalan Usahaniaga, Jalan Berjaya dan Jalan Maju. Manakala, perancangan masa pendek pula adalah membuat pelarasan masa dan fasa lampu isyarat di persimpangan dan melaksanakan sistem lalu lintas sehala agar pergerakan aliran kenderaan menjadi lebih lancar dan teratur di Jalan Che Bee Nor. Selain itu, perancangan jangka masa panjang yang telah digariskan di dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 adalah seperti berikut:-



     (i)   Mewujudkan rangkaian hentian bersepadu pengangkutan awam di Hentian Bukit Mertajam;



    (ii)   Menjalankan kajian kemungkinan bagi mewujudkan perkhidmatan monorel di  beberapa koridor utama Seberang Perai merangkumi Bukit Mertajam; dan



   (iii)   Mengintegrasikan lokasi–lokasi park and ride dengan pusat pengangkutan awam bersepadu di Bukit Mertajam.



Selaras dengan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020, terdapat juga perancangan di dalam Pelan Induk Pengangkutan bagi perkhidmatan monorel dari Raja Uda ke Bukit Mertajam. Perkhidmatan monorel dijadual akan dilaksanakan pada 2030.



Kerajaan Persekutuan juga telah melaksanakan pembinaan jejambat yang menghubungkan Jalan Nangka dan Jalan Perda Timur merentasi Jalan Padang Lalang/ Permatang Rawa, Bukit Mertajam. Pembinaan jejambat  ini membantu mengurangkan kesesakan lalulintas di kawasan Bukit Mertajam kerana terdapat jalan alternatif untuk ke Jalan Song Ban Keng, Jalan Padang Lalang dan Jalan Permatang Rawa.


Kembali