MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
10/05/2016 09:30:00 AM hingga 20/05/2016 05:00:00 PM
Soalan Mohon penjelasan kehidupan gelandangan di negeri ini dan bagaimana pihak Kerajaan Negeri membantu mereka.
Dun Pulau Betong
Exco YB. PHEE BOON POH
Perkara Kebajikan

Jawapan

Gelandangan ialah orang-orang yang hidup dalam keadaan tidak sesuai dengan norma kehidupan yang layak dalam masyarakat setempat serta tidak mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan yang tetap di wilayah tertentu dan hidup mengembara di tempat umum. Pada masa kini, tiada akta khusus berkaitan golongan gelandangan. Oleh yang demikian, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menggunakan Seksyen 2 Akta Orang Papa 1977 , Akta 183 untuk golongan gelandangan. JKM mentafsirkan “orang papa” berdasarkan Seksyen 2 Akta Orang Papa 1977 , Akta 183 sebagai:



 



a. Seseorang yang didapati mengemis di sesuatu tempat awam dengan sebegitu cara hingga menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegusaran kepada orang yang



      lazim mengunjungi tempat itu atau pun hingga menimbulkan kacau ganggu; atau



 



b. Seseorang peleser yang dijumpai di sesuatu tempat awam, sama ada atau tidak dia mengemis, yang tidak mempunyai mata pencarian pada zahirnya atau tempat tinggal atau yang tidak dapat menyatakan hal dirinya dengan memuaskan.



 



JKM telah menjalankan sebanyak 203 operasi menyelamatkan kutu rayau dan pengemis serta gelandangan sepanjang tahun 2015 dimana seramai 327 telah diselamatkan sepanjang operasi dijalankan. Walaupun banyak operasi telah dijalankan, namun masih terdapat gelandangan disebabkan faktor persekitaran dan sikap mereka itu sendiri. Negeri Pulau Pinang yang terkenal sebagai negeri pelancongan telah menarik minat mereka untuk mengemis di negeri ini. Faktor pemberian daripada orang ramai juga menyumbang kepada peningkatan jumlah kumpulan ini. Sikap mereka juga antara faktor golongan ini masih berada dalam masyarakat.



 



Gelandangan yang diselamatkan, akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan sekiranya berumur 60 tahun ke atas manakala bagi yang berumur di bawah 60 tahun pula akan ditempatkan di Desa Bina Diri. Selain itu, Kerajaan Negeri bersama-sama JKM telah merancang untuk menganjurkan program “Empowering The Street Citizens” yang bertujuan untuk membantu dan mendayaupayakan golongan gelandangan di Pulau Pinang. Program ini adalah bersifat “Tri-Partite Venture” yang menggabungkan sektor kerajaan, swasta dan pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam menjayakan program ini.



Di bawah program ini, gelandangan akan ditempatkan di sebuah rumah atau bangunan yang akan dibekalkan dengan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang selesa sebagai permulaan. Selepas tamat tempoh penempatan, gelandangan ini diharapakan dapat berdikari dan berintegrasi dengan masyarakat. Pengurusan penempatan gelandangan ini dicadangkan dilakukan oleh pihak Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dikenalpasti oleh pihak Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang.


Kembali