MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
10/05/2016 09:30:00 AM hingga 20/05/2016 05:00:00 PM
Soalan Apakah tindakan yang diambil oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tentang masalah pembiakan gagak dan tikus di kawasan rekreasi dan pusat-pusat makanan untuk mengekang masalah kesihatan yang diakibatkan oleh haiwan ini?
Dun Telok Ayer Tawar
Exco YAB CHOW KON YEOW
Perkara Kesihatan

Jawapan

Tindakan yang diambil oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tentang masalah pembiakan gagak dan tikus di kawasan rekreasi dan pusat-pusat makanan untuk mengekang masalah kesihatan yang diakibatkan oleh haiwan ini adalah seperti berikut :



i) Kawalan Gagak



Bahagian Kesihatan Persekitaran MBPP telah melaksanakan pelbagai program secara berkala dan berterusan bagi mengurangkan populasi burung gagak di bahagian pulau. MBPP tidak bercadang untuk berhenti atau mengurangkan kegiatan membasmi burung gagak kerana kepentingan kesihatan awam dan persekitaran. Lokasi-lokasi yang disasarkan termasuk kawasan-kawasan pendaratan dan persinggahan utama seperti taman-taman perumahan, kawasan-kawasan komersil dan perindustrian, kawasan persisiran pantai utara sehingga selatan dan kawasan-kawasan berpokok yang sering dikunjungi oleh burung gagak termasuk kawasan-kawasan rekreasi dan tempat-tempat awam. Masih terdapat beberapa lokasi yang bermasalah kerana kesulitan dalam menjalani operasi disebabkan keadaan alam sekeliling yang rumit. Burung gagak merupakan haiwan liar yang hidup berkeliaran dan amat sukar untuk mengawal berpandu lokasi-lokasi tertentu. Pelbagai kaedah digunakan untuk menghapus gagak iaitu meracun, memerangkap, menembak dan mencangkuk sarang. Operasi menembak gagak dilaksanakan dengan bantuan Kelab Menembak Pulau Pinang dan selalunya dijalankan pada bulan Julai hingga Disember setiap tahun. Pada tahun 2015 sejumlah 11,789 ekor burung gagak telah dimusnahkan melalui pelbagai cara seperti perangkap, tembakan, racun dan mencangkuk sarang.



Manakala di Seberang Perai, MPSP mengatasi masalah ini dengan langkah-langkah berikut :



a. Mengadakan operasi menembak burung gagak dua (2) kali sebulan sepanjang tahun di lokasi bermasalah seperti di kawasan rekreasi, perindustrian, taman perumahan, kompleks makanan dan pasar awam.



b. Memasang perangkap burung gagak di kawasan populasi gagak yang tinggi.



 



ii) Kawalan Tikus



Kawalan dan pencegahan pembiakan tikus di tempat-tempat pengerumunan tinggi seperti di kawasan-kawasan komersil, taman-taman perumahan berdensiti tinggi, pasar awam, kompleks makanan, tempat-tempat awam dan tempat-tempat aduan dilaksanakan melalui program berkala dan berterusan. Dalam keadaan biasa, tindakan-tindakan pencegahan dijalankan mengikut pusingan 4-6 bulan sekali selaras dengan status dan tabiat pembiakan tikus.



Langkah-langkah yang diambil MBPP termasuk penghapusan sarang dan tempat perlindungan tikus serta pemusnahan tikus melalui pengumpanan racun kimia. Di samping itu, pendidikan kesihatan secara langsung diberi kepada peniaga-peniaga dan penduduk-penduduk yang berkaitan. Aspek pengurusan bahan-bahan buangan jenis makanan sering dititikberatkan. Jumlah tikus yang di musnahkan di seluruh kawasan MBPP adalah 14,636 ekor pada tahun 2015.



MPSP pula telah menjalankan tindakan kawalan tikus dengan langkah-langkah seperti berikut:



a. Menggunakan racun tikus.



b. Menggunakan perangkap.



c. Secara fizikal iaitu semburan fogging dan memukul bagi menghapuskan tempat pembiakan.



d. Kempen pendidikan kesihatan dan nasihat tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.


Kembali