MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
10/05/2016 09:30:00 AM hingga 20/05/2016 05:00:00 PM
Soalan Apakah usaha yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri untuk membantu belia-belia di Pulau Pinang tentang perkara berikut:- (a) Meningkatkan keusahawanan dan pembangunan ekonomi; (b) Mengurangkan gejala sosial dan meningkatkan jati diri.
Dun Telok Ayer Tawar
Exco YB. CHONG ENG
Perkara Belia

Jawapan

a) Bagi membantu meningkatkan keusahawanan dan pembangunan ekonomi belia di Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah menjalankan usaha-usaha seperti berikut :



i. Menyediakan kemudahan pinjaman skim mikrokredit melalui Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) dengan peruntukan dana sebanyak RM11 juta. Sejumlah 2,227 orang usahawan termasuk 1,392 belia telah menikmati kemudahan pinjaman berjumlah RM9,720,630.40;



ii. Menyediakan peruntukan dana sebanyak RM500,000.00 bagi Skim Pinjaman Mikro Kredit Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) Negeri Pulau Pinang di mana sebanyak RM165,000.00 pinjaman telah disalurkan kepada 33 orang usahawan belia tani;



iii. Melaksanakan program keusahawanan melalui program pembudayaan dan bimbingan usahawan termasuk penganjuran kursus-kursus dan seminar-seminar bagi mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran untuk mengembangkan perniagaan; dan



iv. Menyelaras penyertaan belia dalam program-program jaringan perdagangan dan pemadanan perniagaan (business matching) di peringkat tempatan dan Asean Utara melalui kerjasama Wilayah IMT-GT dan Dewan-Dewan Perniagaan untuk menjalinkan perniagaan bagi menembusi pasaran luar terutamanya di Indonesia dan Wilayah Selatan Thailand.



b) Bagi mengurangkan gejala sosial di kalangan belia dan meningkatkan jati diri mereka, Kerajaan Negeri telah menjalankan usaha-usaha seperti berikut:-



i.  Melaksanakan Kajian Pelan Tindakan Pembangunan Belia Negeri Pulau Pinang untuk mewujudkan golongan belia yang bersikap bertanggungjawab, berdikari, bernilai murni, bersemangat positif dan sanggup menjadi penggerak kepada pembangunan negara dan masyarakat.



ii.  Menjalankan Kajian Soal Selidik Remaja dan Belia di Kawasan Rumah Pangsa Taman Tun Sardon, Gelugor, Daerah Timur Laut untuk mendapatkan maklumat berkenaan komuniti setempat dan mengenalpasti masalah sosial yang dihadapi oleh golongan remaja dan belia. Hasil daripada kajian tersebut, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) telah menubuhkan kelas bimbingan percuma seminggu sekali di bilik bacaan balai rakyat Taman Tun Sardon.



iii.   Menganjurkan program-program berlandaskan keluarga bahagia seperti program Keluarga Berilmu, Sukan Kommuniti dan program berkaitan kesaksamaan di antara lelaki dan wanita untuk menerapkan nilai-nilai positif dalam membina sebuah keluarga bahagia bagi mengurangkan masalah sosial dan meningkatkan jati diri belia dalam keluarga .


Kembali