Soalan | Sila maklumkan kedudukan terkini pemilikan Jerejak Resort Sdn. Bhd. Adakah sebarang cadangan pembangunan dibuat oleh syarikat berkenaan dan kenapakah sehingga sekarang hutan simpan di Pulau Jerejak tidak digazetkan? |
Dun | Telok Ayer Tawar |
Exco | YAB. CHOW KON YEOW |
Perkara | Tanah |
26. Tropical Island Resort Sdn Bhd (TIR) merupakan sebuah syarikat usahasama antara UDA Holdings Bhd (UDA) dan PDC dengan ekuiti 51% dan 49% masing-masing. Modal berbayar TIR adalah sebanyak RM31.5 juta dan kos pelaburan PDC berdasarkan ekuitinya adalah sebanyak RM15.4 juta. Kegiatan utama TIR adalah pembangunan hartanah. Berdasarkan kepada pelan induk yang disediakan oleh TIR, pembangunan projek di Pulau Jerejak telah dibahagikan kepada tiga (3) fasa yang meliputi kawasan milikan TIR berkeluasan 80 ekar yang akan dilaksanakan secara berperingkat.
Perlaksanaan Fasa 1 yang melibatkan 20.2 ekar akan dibangunkan berdasarkan konsep adventure camp. TIR telah membangunkan sebahagian dari Fasa 1 yang dikenali sebagai Jerejak Rainforest Resort (JRR). Pembangunan JRR merangkumi bangunan utama, dua blok domitori, chalet 20 bilik, bangunan servis, bilik air berpusat, tapak perkhemahan, spa, tempat beribadat, jeti dan kawasan rekreasi.
Walau bagaimanapun sehingga kini, pembangunan Fasa 2 seluas 30 ekar dan Fasa 3 seluas 29.8 ekar masih belum dilaksanakan.
Dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2020 telah mengenal pasti sebahagian dari Pulau Jerejak sebagai Hutan Simpanan Kekal. Proses pengazetan Pulau Jerejak sebagai Hutan Simpan Kekal ditangguhkan bertujuan bagi memperincikan Cadangan Pelan Pembangunan Keseluruhan Pulau Jerejak oleh UDA. Kini, perbincangan dengan UDA adalah dalam peringkat terakhir dan diharapkan boleh mencapai satu penyelesaian. Pengazetan Pulau Jerejak akan diselesaikan setelah Cadangan Pelan Pembangunan Keseluruhan Pulau Jerejak dimuktamadkan sepenuhnya.