MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
10/05/2016 09:30:00 AM hingga 20/05/2016 05:00:00 PM
Soalan Jabatan Veterinar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menangkap anjing-anjing liar untuk dimusnahkan dalam membendung ancaman wabak rabies. Adakah tindakan Kerajaan Negeri ini mendapat kecaman daripada pencinta haiwan? Adakah Jabatan Veterinar memusnahkan anjing itu sebelum seekor anjing itu disahkan mempunyai penyakit tersebut?
Dun Batu Uban
Exco YAB CHOW KON YEOW
Perkara Bandar Raya

Jawapan

Kes pertama positif Rabies telah dikesan di Pulau Pinang pada 9 September 2015 di Daerah Seberang Perai Utara (SPU).  Berikutan ini, satu warta Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila Negeri Pulau Pinang telah dikuatkuasa pada 15 September 2015. Walau bagaimanapun, pada 9 Oktober 2015 pindaan warta untuk penarikan semula penangkapan dan pemusnahan anjing terbiar/berkeliaran dikeluarkan atas desakan dan kecaman daripada pencinta haiwan.



Unit Veterinar MBPP telah menjalankan tindakan kawalan bersama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) semasa wabak Rabies. Memang terdapat kecaman dari NGO tempatan sehingga menjejaskan operasi yang dijalankan pada masa itu.  Semua anjing  liar yang tiada pemiliknya, yang ditangkap semasa operasi dalam tempoh warta Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila Negeri Pulau Pinang yang dikuatkuasakan dari 15 September 2015 sehingga 9 Oktober 2015, melibatkan JPV Negeri dan MBPP telah dimusnahkan dengan serta-merta di tapak oleh pegawai JPV Negeri tanpa pengesahan penyakit Rabies.



Untuk kes gigitan anjing di luar tempoh warta Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila Negeri Pulau Pinang, JPV akan mengambil tindakan kuarantin terhadap anjing yang terlibat selama 14 hari bagi tujuan pemantauan bagi pengesanan tanda-tanda klinikal penyakit Rabies. Sekiranya anjing tersebut menunjukkan tanda-tanda Rabies atau mati semasa dalam tempoh kuarantin, sampel otak akan diambil dan dihantar ke Veterinary Research Institute (VRI), Ipoh untuk dibuat ujian pengesahan. Sekiranya dalam tempoh 14 hari, tiada tanda-tanda klinikal Rabies dikesan/ditunjukkan, anjing tersebut akan dilepaskan/diserahkan semula kepada pemilik anjing.



 


Kembali