MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
10/05/2016 09:30:00 AM hingga 20/05/2016 05:00:00 PM
Soalan Huraikan keperluan Teluk Bahang-Tanjong Bunga Paired Road dan bilakah kerja akan dimulakan? Huraikan sama ada kesesakan Jalan Tanjong Tokong-Tanjong Bunga-Batu Feringghi-Teluk Bahang menjejaskan industri pelancongan dan langkah-langkah penyelesaiannya.
Dun Tanjong Bunga
Exco DATO' LIM HOCK SENG
Perkara Infrastruktur

Jawapan

Projek Pembinaan Jalan Berkembar Dari Tanjung Bungah Ke Teluk Bahang dijangka akan bermula pada 15 Jun 2017. Pada masa ini, Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) sedang dilaksanakan oleh perunding bebas yang dilantik oleh Kerajaan Negeri. Pembinaan jalan berkembar ini diperlukan atas justifikasi-justifikasi berikut :-



     (i)   Mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan persisiran pantai utara sedia ada dari Jalan Tanjung Bungah, Jalan Batu Feringghi ke Jalan Teluk Bahang;



     (ii)  Menyediakan laluan alternatif kepada penduduk dan peniaga serta pelancong ke kawasan pantai utara;



     (iii) Membantu pertumbuhan pembangunan di koridor berkenaan dan mengurangkan impak daripada pembangunan baru;



     (iv) Mengurangkan masa perjalanan dan menjimatkan bahan api; dan



     (v)  Meningkatkan keselamatan jalan raya melalui pengurangan isipadu lalu lintas di jalan persisiran pantai sedia ada yang berliku.



Kesesakan lalu lintas di Jalan Tanjung Tokong, Tanjung Bungah, Batu Feringghi dan Teluk Bahang sedikit sebanyak memberi kesan kepada industri pelancongan memandangkan kesesakan serius kerap kali berlaku terutamannya semasa cuti persekolahan dan juga perayaan. Kesesakan lalu lintas juga berlaku pada waktu puncak iaitu pada pagi dan petang di hari-hari bekerja serta hujung minggu.



Selain daripada pembinaan jalan berkembar dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, langkah-langkah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Tanjung Tokong, Tanjung Bungah, Batu Feringghi dan Teluk Bahang adalah seperti berikut :-



      (i)  Melebarkan jalan sedia ada di mana sebahagiannya telah pun dilebarkan oleh Kerajaan. Di samping itu, jalan-jalan terbabit juga telah dilebarkan melalui syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap pemaju untuk pembangunan di kawasan berkenaan;



     (ii)  Menyelaras sistem lampu isyarat untuk aliran lalu lintas yang lancar dan berkoordinasi;



     (iii) Menambahbaik perkhidmatan dan kemudahan bas awam untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian di jalan raya;



     (iv)  Larangan meletakkan kenderaan di tepi jalan. Petak-petak kenderaan tepi jalan yang mengganggu aliran lalu lintas juga telah ditutup;



     (v)  Membina persimpangan bertingkat dan tanjakan berarah. Syarat-syarat ini telah ditetapkan terhadap pemaju dan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan apabila tapak pembangunan dimajukan; dan



     (vi)  Menggalakkan penggunaan basikal dengan mengadakan laluan basikal serta kemudahan untuk penunggangnya.


Kembali