Soalan | Huraikan pentingnya industri pelancongan kepada ekonomi Negeri Pulau Pinang dan selain daripada projek, program, produknya dan tempat pelancongan sediada, apakah strategi/projek dan produk baru untuk mempertingkatkan lagi industri ini agar TMP tercapai dan membantu pelancongan sebaiknya. |
Dun | Tanjong Bunga |
Exco | YB. LAW HENG KIANG |
Perkara | Pelan Rancangan Tempatan |
Industri pelancongan memainkan peranan yang mustahak kepada ekonomi Negeri Pulau Pinang sejak George Town diiktirafkan sebagai UNESCO World Heritage Site pada tahun 2008. Kepentingan industri ini di Pulau Pinang boleh diteliti dari tiga perspektif. Pertama, mengikut Kajian Tenaga Buruh diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan penduduk bekerja dalam industri ‘penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman’ telah menunjukkan peningkatan yang amat ketara dari 2010-2014, iaitu sebanyak 30,600 orang atau 49.4% dari suku pertama tahun 2010 berbanding suku keempat 2014. Ini menunjukkan bahawa pembangunan industri pelancongan membekalkan banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat dalam sektor penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman. Keadaan ini adalah jelas diperhatikan di mana pelbagai premis-premis makanan dan minuman telah dioperasikan di kawasan George Town baru-baru ini.
Kedua, bilangan hotel telah meningkat dari 2012-2014. Berdasarkan maklumat dalam Pusat Sistem Maklumat Geografi Pulau Pinang (PEGIS), bilangan hotel meningkat hampir 40% kepada 235 buah hotel daripada 168 buah hotel pada tahun 2012. Daripada jumlah ini hotel bajet merupakan bahagian terbesar daripada keseluruhan hotel-hotel yang ada di negeri Pulau Pinang, iaitu kira-kira 59% pada tahun 2014 dengan kadar pertumbuhan sebanyak 41.8% berbanding dengan tahun 2012. Peningkatan bilangan hotel ini memaparkan betapa pentingnya perkembangan industri pelancongan kepada negeri Pulau Pinang di mana pelbagai jenis penginapan yang kreatif dan moden boleh didapati di kawasan George Town.
Ketiga, jumlah pelancong kesihatan melawat dan mendapat rawatan di hospital-hospital Pulau Pinang juga telah meningkat sebanyak 21% dari tahun 2010 hingga 2013. Maklumat ini adalah berdasarkan kepada statistik yang dibekalkan oleh “Health Informatics Centre”. Ketibaan pelancong kesihatan juga boleh menjana pendapatan pelancongan yang lebih tinggi untuk peniaga-peniaga tempatan dan majlis bandar melalui cukai hotel. Hampir 75 % pelancong kesihatan disahkan mendapatkan rawatan di Pulau Pinang. Ini boleh dikaitkan dengan reputasi dalam kebanyakan hospital di Pulau Pinang yang telah memberi khidmat kepada pelancong kesihatan dengan standard perkhidmatan perubatan yang tinggi dan mempunyai rekod yang baik. Dengan demikian, Penang dikenali sebagai hub pelancongan perubatan utama di Malaysia.
Bagi memastikan sektor pelancongan kekal menyumbang kepada ekonomi Pulau Pinang pada masa hadapan, Kerajaan Negeri melalui Penang Institute telah menggariskan 3 strategi di dalam Paradigma Pulau Pinang seperti berikut:
a) Mempertingkatkan infrastruktur dan promosi pelancongan di mana inisiatif akan dilaksanakan sehingga tahun 2023 seperti berikut :
Bekerjasama dengan agensi – agensi Persekutuan untuk membangunkan kawasan – kawasan pesisiran pantai di George Town dan Butterworth dan meningkatkan keadaan Terminal Kapal Persiaran Swettenham
Menggalakkan pembangunan kemudahan marina oleh sektor swasta
Penyelarasan yang lebih baik dengan Tourism Malaysia dan Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia, dan
Bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menambah penerbangan langsung ke destinasi utama. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah berjaya mendapatkan 3 penerbangan langsung dari 3 destinasi iaitu Yangon, Bandung, dan Seoul dengan kerjasama syarikat penerbangan AirAsia dan Malindo Air dan akan berusaha untuk menambah bilangan penerbangan langsung.
b) Memberi tumpuan kepada bidang perkembangan pelancongan utama dan inisiatif telah digariskan seperti berikut :
mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi warisan dan eko-pelancongan bagi pelancong berpendapatan tinggi dan sederhana;
Memasarkan warisan budaya,agama,dan masakan Pulau Pinang yang kaya sebagai faktor tarikan yang unik;
Membangunkan pelancongan MICE dengan tempat persidangan dan pameran baru; dan
Melengkapkan lapangan terbang dengan kemudahan perkhidmatan perubatan untuk menerima pelancong perubatan.
c) Menjadikan Pulau Pinang sebagai hub pendidikan serantau. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah seperti berikut:
Menarik universiti asing untuk mendirikan kampus di Pulau Pinang;
Mempromosikan pendidikan melalui ekspo pendidikan serantau dan pejabat dagangan dan pelaburan di Sumatra Utara, Selatan Thailand dan Selatan Myanmar; dan
Bekerjasama dengan agensi Persekutuan untuk mengemaskini kriteria dan tatacara meluluskan penubuhan institusi pendidikan yang baru serta menambahbaik proses pemberian visa kepada pelajar asing yang ingin belajar di Malaysia.
Antara langkah – langkah awal yang telah diambil bagi memastikan strategi ini mengikut landasannya, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Penang Center of Medical Tourism (PCMT) dengan kerjasama 9 hospital di Pulau Pinang akan mempergiatkan sektor pelancongan perubatan. Selain itu Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Penang International Convention and Events Bureau (PICEB) bagi membida dan mendapatkan acara – acara MICE antarabangsa ke pusat-pusat konvensyen yang sedia ada iaitu Straits Quay Convention Centre (SQCC) dan The Light Convention Centre , Subterranean Penang International Conference & Exhibition Centre ( sPICE ) akan dibuka dalam masa yang terdekat.
Bagi memeriahkan acara Tahun Melawat Pulau Pinang, Kerajaan Negeri akan meneruskan acara – acara yang telah diadakan pada tahun ini seperti Hot Air Balloon Festival , Penang World Music Festival ,Penang Anime Matsuri, Perlumbaan Perahu Naga, Penang Bridge International Marathon, Pesta Perarakan Chingay dan sebagainya. Selain itu, beberapa program baru dan unik akan dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak swasta sama ada secara langsung atau tidak langsung antaranya:
Pengubahsuaian bangunan KOMTAR yang dijangka siap pada tahun 2016 dengan kemudahan satu ‘rooftop bar’ dan restoran di tingkat teratas menara KOMTAR dan ‘bubble lift’ yang akan membawa pengunjung-pengunjung ke tingkat teratas menara tersebut. Ia juga akan mengandungi ruang perniagaan yang baru seluas 30,000 kaki persegi dan satu dewan jamuan yang boleh menampung 1,000 orang.
Designer Village Premium Outlet di Seberang Perai yang akan dilengkapi dengan produk – produk mewah yang dijangka akan dibuka pada akhir tahun 2016.
Membina sebuah Golf Course oleh Eco World yang bertaraf antarabangsa dan IKEA di kawasan Batu Kawan.
Pembinaan Penang Bicycle Route yang merupakan rancangan laluan basikal yang akan dibina di seluruh Pulau Pinang dengan fasa 1 12.5km dari Queensbay Mall ke George Town telah siap dibina.
Glamping, atau lebih dikenali sebagai “Glamorous Camping” merupakan satu jenis tarikan pelancongan yang baru untuk golongan muda yang mahukan pengembaraan di samping mempunyai keselesaan dan keselamatan moden. Resort Glamping pertama di Malaysia bertempat di Teluk Bahang akan dijangka dibuka pada hujung tahun 2016; dan
Escape Theme Park akan memperluaskan operasinya dengan melaksanakan fasa 2 dan fasa 3 Escape Theme Park iaitu Waterplay dan Treetop Hotel dijangka akan siap pada tahun 2016 dan 2017.
Disamping itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama swasta dari masa ke semasa akan menambahbaik dan memperbanyakkan lagi acara – acara yang mampu menarik lebih ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar negara sempena Tahun Melawat Pulau Pinang 2015 – 2017.