Soalan | Dalam seksyen 11(a) Freedom Of Information (FOI), pegawai maklumat “boleh menolak untuk menunjukkan sama ada ia memegang sesuatu rekod, atau menolak untuk menyampaikan maklumat, di mana sekiranya dibuat akan melibatkan pendedahan yang tidak munasabah akan maklumat peribadi pihak ketiga.” Jelaskan apakah yang membentuk kepada pendedahan yang munasabah dan tidak munasabah maklumat peribadi pihak ketiga? |
Dun | Machang Bubuk |
Exco | YB. PROF. DR. P. RAMASAMY A/L PALANISAMY |
Perkara | Enakmen/Akta |
Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 [Enakmen 16] tidak memperuntukkan keadaan bila mana suatu maklumat peribadi pihak ketiga boleh dianggap sebagai munasabah/ tidak munasabah untuk didedahkan bagi maksud subperenggan 11(1)(a)(i) Enakmen 16.
Kuasa untuk menentukan sama ada suatu maklumat peribadi pihak ketiga adalah munasabah/ tidak munasabah untuk didedahkan bagi maksud subperenggan tersebut merupakan kuasa budi bicara Pegawai Maklumat.
Dalam menjalankan kuasa di bawah subperenggan 11(1)(a)(i) Enakmen 16, Pegawai Maklumat hendaklah, secara umumnya, mengambil kira asas/ pertimbangan seperti yang berikut:
(a) sifat maklumat peribadi itu;
(b) kemudaratan, kesan dan implikasi akibat daripada pendedahan, kehilangan, salah guna, ubah suaian, akses atau penzahiran tanpa kebenaran atau tidak sengaja, pengubahan atau pemusnahan maklumat peribadi itu;
(c) kebolehpercayaan, integriti, kewibawaan dan kewajipan kerahsiaan orang yang memohon akses kepada maklumat peribadi itu; dan
(d) langkah keselamatan/ jaminan bagi memastikan pemindahan, penyimpanan selamat dan perlindungan yang mencukupi maklumat peribadi itu.
Contoh-contoh keadaan apabila maklumat peribadi pihak ketiga adalah munasabah untuk didedahkan ialah dalam keadaan apabila ia diperlukan bagi maksud, antara lainnya, seperti yang berikut:
(a) menjalankan apa-apa fungsi yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang;
(b) mematuhi apa-apa obligasi undang-undang, peraturan atau perintah/ penghakiman mahkamah;
(c) memenuhi permintaan mana-mana pihak mahkamah/ tribunal, pihak berkuasa awam atau jabatan/ agensi kerajaan;
(d) melaksanakan apa-apa kontrak/ perjanjian yang mana pihak ketiga tersebut merupakan suatu pihak kepadanya;
(e) mencegah/ mengesan jenayah atau menyiasat, menangkap dan mendakwa seseorang pesalah;
(f) membuat taksiran atau memungut cukai, duti, sewa, levi atau apa-apa pengenaan lain yang sama jenisnya;
(g) digunakan dalam prosiding undang-undang;
(h) mendapatkan nasihat undang-undang;
(i) membuktikan, menjalankan atau mempertahankan hak yang jelas dan nyata yang diperuntukkan di bawah undang-undang;
(j) menyediakan statistik atau menjalankan penyelidikan;
(k) menyiarkan bahan kewartawanan, kesusateraan atau keseniaan;
(l) pentadbiran keadilan dan kepentingan awam; atau
(m) digunakan untuk tujuan yang sah yang berhubungan secara langsung dengan pihak ketiga.
Selain daripada maksud yang dinyatakan di atas, suatu maklumat peribadi pihak ketiga juga adalah munasabah untuk didedahkan dalam keadaan apabila pendedahan tersebut—
(a) dipersetujui oleh pihak ketiga;
(b) dibuat oleh seorang yang diberi kuasa oleh pihak ketiga; atau
(c) dibuat oleh orang yang mempunyai kepentingan dengan pihak ketiga seperti ibu bapa, penjaga, pemegang amanah atau pentadbir/ pelaksana wasiat pihak ketiga yang telah meninggal dunia.
Selanjutnya, berhubung contoh keadaan apabila maklumat peribadi pihak ketiga adalah tidak munasabah untuk didedahkan ialah apabila pendedahan tersebut mungkin akan—
(a) menyebabkan kemudaratan yang teruk kepada kesihatan fizikal atau mental pihak ketiga atau mana-mana individu lain;
(b) menjadi pelanggaran suatu perintah mahkamah; atau
(c) menzahirkan maklumat komersial yang sulit.
Di samping itu, suatu maklumat peribadi pihak ketiga juga adalah tidak munasabah untuk didedahkan dalam keadaan apabila akses kepada maklumat peribadi itu dikawal selia oleh undang-undang yang lain.
EXCO: YB. PROF. DR. P. RAMASAMY A/L PALANISAMY
TSUK: TUAN HAJI GHAZALI BIN DERAHMAN
KJAB1: BAHAGIAN KHIDMAT PENGURUSAN DAN KEWANGAN