Soalan | Dalam 2 tahun penggunaan teknologi iQPR (Infinitesimal Quantum Persistent Reflection), adakah rawatan pemulihan air di Sungai Pinang mencapai sasaran yang dijangkakan? Jika tidak, apakah usaha yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk mengatasi pencemaran di Sungai Pinang? |
Dun | Sungai Pinang |
Exco | YAB CHOW KON YEOW |
Perkara | Alam Sekitar |
Penggunaan teknologi iQPR (infinitesimal Quantum Persistent Reflection) bagi rawatan pemulihan air di Sungai Pinang telah menunjukkan peningkatan kualiti air di sungai tersebut. Walau bagaimanapun, keputusan persampelan yang diambil pada setiap bulan menunjukkan sasaran yang ditetapkan masih belum tercapai sepenuhnya. Keputusan persampelan tersebut dipengaruhi oleh pelbagai sumber-sumber pencemaran yang masih mengalir masuk ke dalam Sungai Pinang.
Sehubungan itu, usaha yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi pencemaran di Sungai Pinang adalah seperti berikut:-
(i) Menubuhkan satu pasukan Task Force bagi mengatasi isu-isu pencemaran laut, sungai dan pantai yang dipengerusikan oleh Y.B. Tuan Chow Kon Yeow, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir. Task Force ini diurusetiakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang dan dianggotai oleh:-
Unit Perancang Ekonomi Negeri;
Majlis Bandaraya Pulau Pinang;
Majlis Perbandaran Seberang Perai;
Jabatan Alam Sekitar;
Jabatan Perkhidmatan Veterinar;
Pejabat Tanah Dan Daerah;
Jabatan Pertanian;
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara; dan
Indah Water Konsortium
(ii) Memastikan permohonan kemajuan berkaitan Sungai Pinang mematuhi garis-garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran seperti berikut :-
Manual Saliran Mesra Alam;
Erosion dan Sediment Control Plan (ESCP); dan
Garis panduan pembangunan berhadapan sungai.
(iii) Memastikan setiap permohonan pembangunan yang diterima mengikut garis panduan dan undang-undang yang tertakluk di bawah Jabatan Alam Sekitar;
(iv) Mengenakan had standard yang lebih ketat bagi pelepasan kumbahan daripada projek-projek yang tertakluk Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan terletak di kawasan yang menjadi tumpuan orang awam untuk aktiviti rekreasi serta pantai-pantai peranginan kepada Standard A, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 berbanding Standard B sebelum ini;
(v) Memastikan pelepasan efluen daripada kilang-kilang sentiasa mematuhi had piawai yang ditetapkan dengan mewajibkan setiap premis melantik individu yang berwibawa (competent person) yang ditauliah oleh Jabatan Alam Sekitar dan telah melalui program pensijilan kompetensi untuk mengendalikan sistem pengolahan efluen di premis masing-masing;
(vi) Pemantauan kualiti air sungai secara berkala oleh Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan tindakan segera dapat diambil ke atas punca-punca pencemaran jika bacaan parameter kualiti air yang dikesan melebihi piawai yang ditetapkan;
(vii) Pelaksanaan kempen kesedaran berhubung kepentingan memelihara sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran; Majlis Bandaraya Pulau Pinang; dan Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama Badan-badan Bukan Kerajaan di kawasan Sungai Pinang;
(viii) Pelaksanaan kerja-kerja pembersihan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang melibatkan sebanyak 161 premis dan struktur bangunan di tepi Sungai Pinang; dan
(ix) Penguatkuasaan oleh jabatan-jabatan yang berkaitan melalui punca kuasa masing-masing.