Soalan | Huraikan strategi dan langkah-langkah kerajaan dalam menangani isu anjing liar (stray dogs) termasuk kucing. Senaraikan pusat atau NGO (lokasi/keluasan/bilangan anjing/nama tuan pusat dan lain-lain) yang menangani isu anjing liar di seluruh negeri. Apakah peruntukan dan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri? |
Dun | Tanjong Bunga |
Exco | YAB CHOW KON YEOW |
Perkara | Kerajaan Tempatan |
Tiga agensi terlibat dengan strategi Kerajaan Negeri dalam menangani isu anjing liar (stray dogs) termasuk kucing iaitu :
1. Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Pihak MBPP menjalankan tindakan menerusi Pelan Tindakan Program Sifar Anjing Liar dan Terbiar 2015-2019. Antara program di bawah pelan tersebut adalah seperti berikut:
i. Program pemandulan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan NGO.
ii. Program pendekatan bersepadu melibatkan JPV, NGO serta penglibatan klinik veterinar swasta.
iii. Menyebarkan hebahan dan maklumat mengenai program Pet Passport yang dikendalikan oleh pihak JPV.
iv. Meningkatkan pematuhan syarat-syarat pelesenan anjing.
v. Mewujudkan animal sanctuary yang akan didirikan oleh NGO PASS di Taman Metropolitan Relau.
vi. Standard Operating Procedur (SOP)
MBPP telah mewujud dan menyelaraskan program penguatkuasaan tangkapan anjing liar dan terbiar mengikut SOP terkini seperti yang ditetapkan oleh Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan ke-67 (MNKT ke-67). Setiap pegawai perlu melaksanakan prosedur mengikut modul dan cara yang telah ditetapkan oleh pihak MBPP dalam penguatkuasaan operasi penangkapan anjing liar dan terbiar.
Tindakan Ke Atas Kucing Terbiar
Tiada program khusus untuk kawalan kucing yang dilakukan oleh MBPP.
Bagi menangani aduan-aduan terhadap gangguan kucing terbiar di pasar-pasar dan kompleks-kompleks makanan awam, operasi penangkapan kucing terbiar dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan bilangan kucing yang ada. Operasi-operasi juga dijalankan di tempat-tempat awam yang lain berdasarkan aduan-aduan awam berkaitan gangguan kucing terbiar yang diterima MBPP.
Ringkasan mengenai bilangan kucing yang ditangkap bagi tahun 2014-2016 (sehingga Mac 2016) adalah seperti berikut:
TAHUN | BILANGAN |
2014 | 973 |
2015 | 735 |
2016 | 231 |
Dari segi peruntukan dan bantuan MBPP menyediakan sebidang tanah seluas 2.956 ekar untuk mewujudkan Animal Sanctuary yang didirikan oleh NGO PASS di Taman Metropolitan Relau. Kadar sewaan sebanyak RM1,450.00 sebulan merupakan subsidi sebagai dorongan kepada NGO yang menyediakan perkhidmatan kebajikan haiwan dengan mendirikan 5 kandang anjing, 4 kandang kucing bersaiz besar, klinik haiwan, ruang pejabat, pondok pengawal, jalan raya dan peparitan. Untuk makluman, kadar sewaan pasaran untuk tapak tanah tersebut adalah RM5,800.00.
2. Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP)
Strategi dan langkah-langkah yang diambil oleh MPSP bagi menangani isu anjing liar (stray dogs) termasuk kucing adalah seperti berikut :
i.Mengadakan operasi tangkapan harian ke atas kucing dan anjing terbiar di sekitar taman perumahan, pasar awam dan lain-lain.
ii.Mengeluarkan notis dan kompaun kepada pemilik anjing yang membiarkan anjing mereka berkeliaran di tempat awam tanpa pengawasan.
iii.Kempen kesedaran kepada penduduk taman perumahan dilaksanakan melalui edaran risalah serta penerangan oleh pegawai MPSP tentang pentingnya kaedah pemandulan anjing dijalankan dalam usaha mengawal populasi anjing terbiar serta menghindarkan tabiat membuang anjing dan anak-anak anjing peliharaan yang tidak diingini di merata-rata tempat.
iv.Merangka Pelan Strategi Anjing Terbiar Sifar 2015-2018 merangkumi :
· a. Program Pemandulan Jawatankuasa Kesayangan Haiwan LA 21
· b. Program Pemandulan Kerjasama MPSP Dengan Klinik Veterinar Swasta
· c. Insentif Pemberian Mikrocip
· d. Insentif Pemberian Mikrocip Percuma Oleh MPSP
· e. Pemberian Sijil Penghargaan
· f. Promosi Pemandulan Anjing
· g. Pendaftaran Pencinta Haiwan
· h. Mewujudkan Website An Animal A Life
· i. Meningkatkan Pematuhan Syarat-Syarat Pelesenan
· j. Mewujudkan Feeding Kennels
· k. Standard Operating Procedure (SOP)
· l. Projek Trap, Neuter & Release (TNR)
· m. Operasi Tangkapan Anjing Terbiar
· n. Pemasangan Mikrocip Semasa Pendaftaran Lesen.
o. Kerjasama Veterinary Research Institute (VRI) Untuk Pencegahan Pembiakan Anjing Terbiar
v. Mengadakan kerja sama dengan pihak Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam program pemandulan.
3. Jabatan Perkhidmatan Veterinar
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bekerjasama dengan MBPP dan MPSP dan menyelaraskan tindakan kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan dalam menangani isu anjing liar termasuk kucing.
Senarai NGO dan maklumat lokasi / keluasan / bilangan anjing / status kelulusan yang menangani isu anjing liar di Negeri Pulau Pinang adalah seperti di Lampiran A.