Soalan | Perkembangan sukan di Pulau Pinang telah melahirkan beberapa atlet yang ternama seperti Dato' Lee Chong Wei (badminton), Dato' Nicol David (squash) dan ramai lagi. Apakah langkah Kerajaan Negeri melalui EXCO Sukan dalam melahirkan lebih ramai lagi selepas pelapis ternama dalam pelbagai sukan di Negeri Pulau Pinang ini? Nyatakan perancangan dan proses yang dilaksanakan ke arah melahirkan atlet tersebut. |
Dun | Permatang Pasir |
Exco | YB. CHONG ENG |
Perkara | Sukan |
Dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet pelapis dalam pelbagai bidang sukan di Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) telah mengambil langkah untuk melaksanakan aspek-aspek pembangunan secara berterusan dengan memberi penekanan terhadap pendekatan strategi pembangunan yang komprehensif melalui kerjasama erat di antara MSNPP, Institut Sukan Negara Pulau Pinang (ISN) dan Unit Sukan Prestasi Tinggi Pulau Pinang (USPTN).
Pelaksanaan pelbagai program serta strategi pembangunan sukan telah diadakan untuk meningkatkan keupayaan dan prestasi atlet supaya sentiasa mencapai kecemerlangan dalam setiap pertandingan yang disertai. Selain itu, program-program pembangunan prestasi atlet sukan negeri turut dikelolakan sebagai usaha berterusan dalam memajukan sukan negeri dan untuk mengenal pasti atlet-atlet baru. Di antara perancangan dan proses yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk melahirkan lebih ramai atlet baru adalah seperti berikut:-
i) Program Latihan Bersepadu Atlet-Atlet Sukan
Atlet akan diberi pendedahan serta latihan mental dan fizikal supaya dapat berdaya saing dengan atlet-atlet negeri lain dan berupaya menyumbang pingat di dalam pertandingan yang disertai. Beberapa siri latihan secara bersepadu akan dirancang berdasarkan kepada sains sukan yang akan diuruskan oleh pihak ISN dan juga USTPN.
ii) Melaksanakan Secara Berterusan Program Talent ID Untuk Pencarian Serta Pencungkilan Bakat-Bakat Baru Dalam Sukan.
MSNPP dengan kerjasama Persatuan Sukan Negeri, USPTN, ISN dan Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang secara berterusan melaksanakan program mengenal pasti bakat-bakat baru untuk dicungkil atau diketengahkan pada Sukan Malaysia yang akan datang. Atlet yang berada di dalam kategori ini adalah merupakan atlet yang akan mewakili Pulau Pinang di dalam Sukan Malaysia yang akan datang dan seterusnya dinaik taraf kepada atlet skuad latihan Sukan Malaysia sekiranya menunjukkan prestasi yang baik.
MSNPP amat memerlukan atlet pelapis agar kontinjen Pulau Pinang tidak ketandusan atlet yang boleh menyumbangkan pingat di dalam Sukan Malaysia yang akan datang. Atlet yang berada di kategori ini juga akan diberi latihan yang secukupnya. MSNPP juga sentiasa bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara dalam pelbagai aspek seperti sains sukan, membantu program-program Majlis Sukan Negara Malaysia di peringkat negeri seperti program Pelapis USPTN dan Pencarian Bakat (Talent ID).
iii) Pembangunan Berterusan Sukan-Sukan Peringkat Daerah Melalui Majlis Sukan Daerah
Visi penubuhan Majlis Sukan Daerah adalah untuk melahirkan atlet-atlet baru di kelima-lima daerah di negeri Pulau Pinang. Pembangunan sukan di peringkat daerah kini telah bergerak secara berterusan di mana program pembangunan sukan yang dilaksanakan kini merangkumi sukan-sukan seperti Memanah, Olahraga, Petanque, Ping Pong, Silat Olahraga, Akuatik Renang dan Taekwondo yang dilaksanakan melalui kerjasama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Pejabat Daerah dan Tanah di kelima-lima daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang untuk atlet-atlet baru seawal usia 7 tahun ke 15 tahun.
iv) Pelaksanaan Kursus Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) Tahap 1 & 2
MSNPP melalui kerjasama Majlis Sukan Negara Malaysia giat melaksanakan serta meningkatkan tahap kualiti bidang kejurulatihan dari segi sains sukan selaras dengan kehendak pembangunan sukan terkini. Semua jurulatih yang dilantik oleh MSNPP dikehendaki memiliki Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) tahap I dan II di samping meningkatkan sijil sukan spesifik masing-masing. Penganjuran kursus-kursus sains sukan ini dijalankan pada setiap tahun di bawah pengawalseliaan Majlis Sukan Negara Malaysia.
v) Pelaksanaan Dan Pemantauan Melalui Periodization Plan
Periodization Plan adalah satu proses di mana perancangan tahunan sukan diringkaskan ke dalam bentuk fasa latihan yang lebih kecil. Periodization Plan ini bertujuan untuk memudahkan penyusunan segala perancangan yang dibuat yang akan dilaksanakan semasa latihan dan kejohanan. Periodization plan ini merupakan satu garis panduan yang telah diamalkan oleh negara luar seperti Jerman, Australia dan Amerika Syarikat bertujuan untuk memudahkan semua pihak terutamanya jurulatih dalam membentuk persediaan atlet sebelum menghadapi satu-satu kejohanan penting. Ia juga turut diamalkan oleh jurulatih-jurulatih negara kita. Walau bagaimanapun pemahaman jurulatih dan pihak lain mengenai pelan ini adalah di tahap sederhana.
vi) Pendedahan Ke Pertandingan Dalam Dan Luar Negara
MSNPP akan menghantar atlet-atlet untuk menyertai pertandingan di dalam dan luar negara mengikut pelan yang telah diaturkan oleh jurulatih. Tujuan menyertai pertandingan adalah untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan atlet serta pihak lawan supaya kajian dapat dilakukan untuk meningkatkan prestasi atlet. Di samping itu, tujuan MSNPP menghantar atlet-atlet bertanding adalah untuk mengukur prestasi atlet berkenaan dan juga mengetahui kedudukan ranking atlet tersebut dan juga atlet pihak lawan.
viii) Pembelian Dan Penaiktarafan Peralatan Sukan
Peralatan yang digunakan semasa latihan dan semasa menyertai pertandingan adalah dititikberatkan oleh MSNPP supaya alatan tersebut dapat membantu atlet untuk lebih bersedia dan meraih pingat. Setiap tahun, pihak MSNPP melalui pelaksanaan Jawatankuasa Kerja yang diadakan bersama dengan kesemua Persatuan Sukan Negeri Pulau Pinang akan mengenal pasti serta memberi tumpuan terhadap penaiktarafan peralatan sukan bagi menjamin keberlangsungan program pembangunan sukan yang dilaksanakan.
vii) Pemberian Makanan Tambahan (Food Supplement) Untuk Kecergasan Atlet
Makanan tambahan amatlah diperlukan oleh setiap atlet terutamanya atlet yang menjalani latihan secara harian kerana ianya dapat meningkatkan lagi tahap kecergasan atlet, menggantikan tenaga yang hilang, meningkatkan lagi kadar metabolisme dan membantu pertumbuhan badan.
viii) Program Atlet Elit
Bagi mengekalkan atlet yang cemerlang supaya terus mengharumkan nama Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri melalui MSNPP telah mewujudkan Program Skim Atlet Elit. Atlet ini dipilih melalui pencapaian cemerlang semasa Sukan Malaysia yang lepas. Terdapat dua kategori Skim Atlet iaitu Kategori A dan Kategori B. Kategori A adalah bagi mereka yang meraih pingat emas dan akan dibayar insentif RM500.00 sebulan. Sementara Kategori B pula adalah bagi mereka yang meraih pingat perak dan gangsa yang akan dibayar insentif RM300.00 sebulan.
ix) Penganjuran Sukan Pulau Pinang (SUKPEN)
Sukan Pulau Pinang atau SUKPEN adalah merupakan kejohanan sukan yang dipertandingkan antara daerah di Negeri Pulau Pinang bagi mencari bakat baru yang berdaya saing untuk mewakili Pulau Pinang di Sukan Malaysia. Kejohanan seperti ini akan dapat memperbaiki dan meningkatkan lagi prestasi atlet-atlet Sukan Malaysia Negeri Pulau Pinang melalui pertandingan beraneka sukan (multi sports event) yang dipertandingkan antara daerah. Kali terakhir SUKPEN diadakan adalah pada tahun 2010 sebelum SUKMA diadakan pada setiap tahun mulai tahun 2011 hingga 2014. Memandangkan penganjuran SUKMA kini telah kembali kepada setiap 2 tahun mulai tahun 2015, SUKPEN seterusnya akan diadakan pada tahun 2017, iaitu pada tahun di mana SUKMA tidak diadakan.
x) Penganjuran Festival Sukan Kombat (FESKOM)
Festival Sukan Kombat (FESKOM) merupakan satu pertandingan bertaraf antarabangsa yang merangkumi semua acara yang dipertandingkan dalam sukan tempur atau Combat Sports yang melibatkan sentuhan badan. Tujuan diadakan FESKOM adalah untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan atlet Pulau Pinang serta pihak lawan setiap tahun. FESKOM akan melibatkan sembilan (9) acara sukan tempur iaitu Karate-Do, Wushu, Pencak Silat, Taekwondo, Tinju, Silambam, Judo, Lawan Pedang dan Muay Thai.
xi) Penganjuran Majlis Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang
Majlis Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang adalah merupakan salah satu bentuk pengiktirafan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang atlet-atlet negeri di samping menghargai jasa dan sumbangan atlet-atlet dalam bidang sukan. Berikut adalah anugerah-anugerah yang diberikan:-
(a) Anugerah Tokoh Pemimpin Sukan;
(b) Anugerah Jurulatih Terbaik;
(c) Anugerah Pasukan Lelaki;
(d) Anugerah Pasukan Wanita;
(e) Anugerah Olahragawan Paralimpik;
(f) Anugerah Olahragawati Paralimpik;
(g) Anugerah Olahragawan Harapan;
(h) Anugerah Olahragawati Harapan;
(i) Anugerah Olahragawan;
(j) Anugerah Olahragawati; dan
(i) Anugerah Perdana TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang
Mulai tahun 2017, dua (2) anugerah baru, iaitu Anugerah Kewartawanan/Penulisan Media Cetak Sukan Pulau Pinang dan Anugerah Foto Terbaik Media Cetak Sukan Pulau Pinang akan diperkenalkan bagi memartabatkan pelaksanaan pembangunan sukan di Negeri Pulau Pinang.
Melalui usaha serta pendekatan-pendekatan yang telah dilaksanakan di peringkat Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang selama ini, beberapa atlet baru telah mula menonjolkan sinar mereka di pentas dunia yang bukan hanya terhad di dalam sukan skuasy dan badminton, bahkan melibatkan sukan-sukan yang lain. Di antara atlet baru yang telah mencapai kejayaan ialah seperti di Lampiran A.