Soalan | Sila nyatakan status terkini untuk projek pembinaan semula rumah yang sedia ada di Kampung Kalidonia dan Kampung Ladang Victoria KADUN Jawi, Seberang Perai Selatan (SPS) untuk penduduk-penduduk di situ. (a) Sila nyatakan jenis rumah dan jumlah unit rumah yang akan dibina di tempat tersebut. (b) Bilakah projek ini akan bermula? |
Dun | Jawi |
Exco | YB JAGDEEP SINGH DEO A/L KARPAL SINGH |
Perkara | Projek Perumahan |
Hasrat utama Kerajaan Negeri melalui pelaksanaan Projek Perumahan di Ladang Kaledonia, Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) adalah untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat termasuk bekas pekerja estet. Sebagaimana dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), program pembangunan tapak sedia ada seluas 15.106 ekar ini akan dilaksanakan secara Request For Proposal (RFP) menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri.
Mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan oleh YB Timbalan Ketua Menteri II telah diadakan pada 20 April 2016 dan dihadiri wakil Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Seberang Perai Selatan (PDT SPS), Perbadanan Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang (CMI), Bahagian Perumahan dan Penang Institute bagi membincangkan jenis dan konsep pembangunan yang bersesuaian.
Antara perkara yang dipersetujui dalam mesyuarat tersebut adalah cadangan pembangunan rumah teres konsep 'townhouse' yang dilihat paling bersesuaian dengan aktiviti harian dan keadaan sosial/ekonomi semasa penduduk Ladang Kaledonia. Jumlah rumah yang dicadangkan dibina adalah berjumlah lebih kurang 200 unit dengan mengambilkira bilangan rumah sedia ada sebanyak 124 unit berdasarkan bancian Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) SPS dan bakinya adalah untuk penempatan penduduk dari Ladang Byram dan Ladang Victoria.
Mesyuarat pada 20 April 2016 turut menetapkan supaya PDT SPS membuat bancian semula bagi mengesahkan jumlah penduduk yang terlibat dan menyediakan pelan tanah yang terperinci bagi mengenalpasti jumlah rumah, bangunan, kandang atau lain-lain infrastruktur serta keluasan sebenar tanah terlibat sebelum perancangan pembangunan terperinci dimulakan oleh MPSP dengan bantuan Penang Institute. Selepas komponen pembangunan dimuktamadkan, CMI akan menyediakan dokumen Request For Proposal (RFP) untuk mempelawa syarikat pembida berkelayakan untuk mengemukakan cadangan dalam tender terbuka.
Pembinaan projek ini dijangka siap dalam tempoh 24 bulan hingga 36 bulan selepas Surat Tawaran dikeluarkan kepada syarikat pembida berjaya kelak.