Soalan | Berapa lama tempoh kelonggaran yang diberikan oleh Jabatan Imigresen kepada majikan yang berniat untuk memutihkan warga asing yang bekerja dengan mereka sehingga penutupan projek pemutihan warga asing? (a) Adakah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhak untuk mengambil tindakan ke atas warga asing yang dalam proses memohon pemutihan? |
Dun | Jawi |
Exco | YAB. CHOW KON YEOW |
Perkara | Warga Asing |
Berdasarkan maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiada sebarang program pemutihan ke atas warganegara asing pada tahun 2016. Semakan telah dibuat dengan pihak Imigresen dan Bukit Aman tentang program pemutihan ini. Pihak Imigresen menjelaskan program yang dilaksanakan sekarang ialah “Program Penggajian Dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin atau Rehiring”. Program Rehiring adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di Malaysia diberikan permit kerja yang sah bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan. Selain itu, Program ini turut dirangka untuk memenuhi permintaan majikan untuk mengisi keperluan pekerja di sektor pekerjaan yang dibenarkan sahaja serta membolehkan Kerajaan mengetahui jumlah PATI dalam Negara bagi tujuan pemantauan dan memenuhi keperluan senario keselamatan semasa. Program Rehiring turut memastikan mana-mana PATI yang tidak layak akan dihantar pulang ke Negara asal mengikut prosedur sedia ada bagi memastikan pengurangan lambakan PATI dalam negara. Program pemutihan ini adalah membabitkan Pendaftaran Pekerja Asing yang sah dan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja atau Pendatang Asing Tanpa Izin.
Pihak PDRM hanya akan mengambil tindakan sekiranya syarat-syarat yang telah digariskan / dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dalam program ini tidak dipatuhi oleh majikan atau pendatang asing itu sendiri.