Soalan | Adakah Kerajaan Negeri menyediakan latihan kemahiran kepada pelajar-pelajar lepasan SPM dan belia mengganggur di kawasan DUN mengikut minat, kepakaran serta sumber setempat? Jika ya, sila senaraikan latihan-latihan yang disediakan. |
Dun | Sungai Dua |
Exco | YB. PROF. DR. P. RAMASAMY A/L PALANISAMY |
Perkara | Kebajikan Masyarakat |
Buat masa kini, Kerajaan Negeri tidak menyediakan latihan kemahiran kepada pelajar-pelajar lepasan SPM dan belia menganggur di kawasan DUN mengikut minat, kepakaran serta sumber setempat. Namun, dalam usaha Kerajaan Negeri untuk memenuhi pasaran sumber tenaga kerja, pembangunan dan latihan kemahiran adalah satu faktor yang penting. Dalam pembangunan latihan kemahiran, Kerajaan Negeri menyokong dan bekerjasama rapat dengan PSDC, Universiti Sains Malaysia dan institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang lain untuk meningkatkan tahap pembangunan sumber manusia berteraskan latihan kemahiran di Pulau Pinang.
Penang Skills Development Center (PSDC) memainkan peranan untuk melatih sumber manusia di pelbagai bidang kemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri berasaskan teknologi tinggi di negeri ini. Selain itu, Institut Latihan Kemahiran seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Tinggi MARA (IKTM) dan Japan Malaysian Technical Institute (JMTI) turut memainkan peranan menyediakan sumber tenaga mahir di negeri ini.
Antara pendidikan kemahiran yang menjadi agenda utama Kerajaan Negeri bagi memenuhi pasaran sumber tenaga kerja adalah dalam bidang Teknologi Pemesinan Kepersisan, Kejuruteraan (Komputer, Elektronik, Mekatronik, Telekomunikasi), dan Teknologi Pembuatan (CAD/CAM), .
Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk membangunkan sistem pendidikan vokasional ala Negara Jerman di Negeri Pulau Pinang. Melalui sistem ini, pusat latihan akan didirikan di kilang-kilang serta instituisi-instituisi perniagaan bagi membolehkan pelajar mempelajari pengetahuan secara teori dan menjalani latihan praktikal pada masa yang serentak. Sistem pendidikan vokasional ini akan memanfaatkan ramai pelajar dan para remaja terutamanya mereka yang kurang kemahiran bila dilaksanakan nanti dan seterusnya akan membantu untuk meningkatkan kadar pendapatan para remaja di Negeri kita.
Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) serta Fourier Technical Consultants (FTC) dalam menyediakan program latihan dan pengajian vokasional, Vocational Skills Employment Program (VSEP) buat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sejajar dengan visi Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar pintar bertaraf antarabangsa, program VSEP melalui kolaborasi Penang Science Cluster, SAMENTA dan FTC pastinya memberi penekanan terhadap aspek adaptif kemahiran teknikal yang boleh digunapakai dalam memenuhi visi tersebut.
Kerajaan Negeri berusaha untuk membantu anak-anak muda yang kurang berkemampuan dan tidak mampu membiayai pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan memberi biasiswa dan juga elaun latihan vokasional. Melalui program VSEP ini, pelajar bukan sahaja belajar, tetapi juga mempraktikkan kemahiran yang diajar sehingga menjadi modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang diminati. Dalam program Vocational Skills Employment Programme (VSEP), kursus City & Guilds (C&G) dijalankan oleh Fourier Technical Consultants dan mereka mempunyai rancangan untuk menambah bilangan pusat latihan sejajar dengan perkembangan VSEP.
Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan program German Dual Vocational Training (GDVT) di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC). Ini merupakan hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan bakat dan kemahiran di Pulau Pinang. Dengan inisiatif ini, Kerajaan Negeri akan memberi bantuan kewangan bagi memacu industri kepada syarikat-syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang dengan tajaan sebanyak RM2 juta. Program ini terbuka kepada semua syarikat multinasional (MNC) dan entiti kecil dan sederhana (PKS). Pengenalan GDVT di Pulau Pinang merupakan satu langkah yang sangat penting dan menjadi matlamat Kerajaan Negeri untuk mencapai satu standard "Trained in Penang" sebagai tanda penguasaan sistem pendidikan vokasional Jerman. Melalui program ini, pelajar akan diberi elaun bulanan sebanyak RM900 untuk mengikuti kursus diploma. Setelah berjaya menamatkan pembelajaran dalam masa 42 bulan, mereka boleh bekerja dengan syarikat multinasional dengan gaji yang lumayan. Diploma ini diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dan Malaysian German Chamber of Commerce. Keunikan sistem vokasional Jerman ini adalah belajar dan mengamalkannya sambil bekerja dalam kilang.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut mengalakkan golongan keciciran menceburi bidang kemahiran melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). SLDN merupakan latihan berorientasikan industri yang mengabungkan latihan di tempat kerja dengan latihan di institusi. Dalam SLDN, latihan kemahiran praktikal dikendalikan di tempat kerja oleh jurulatih syarikat yang terpilih, manakala kelas teori dan latihan kemahiran asas dikendalikan di pusat latihan oleh pengajar. Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dipertanggungjawabkan sebagai agensi penyelaras di antara pihak industri dan institusi kemahiran. Keistimewaan SLDN ialah ianya mendapat sambutan baik terutamanya daripada golongan pelajar tercicir khususnya belia dari umur lepasan sekolah sehingga umur 35 tahun. Secara khususnya program ini menyediakan peluang peningkatan kemahiran kepada mereka untuk cenderung kepada bidang teknikal atau vokasional walaupun golongan ini tidak mempunyai kelayakan akademik atau tidak berjaya melengkapkan 11 tahun pendidikan asasnya di sekolah menengah dan sekolah rendah seperti orang lain. Kaedah pembelajaran iaitu kemahiran praktikal yang dikendalikan di tempat kerja, lebih diterima oleh golongan keciciran ini jika dibandingkan dengan kaedah pembelajaran dalam bilik darjah.