MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
10/05/2016 09:30:00 AM hingga 20/05/2016 05:00:00 PM
Soalan Peruntukan pembangunan disediakan untuk Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pengairan & Saliran dan lain-lain jabatan setiap tahun. (a) Apakah hasil dan kejayaan yang dicapai yang boleh dibanggakan dalam sektor pertanian di Negeri Pulau Pinang? (b) Apakah fokus dan KPI Kerajaan Negeri dalam setiap sektor seperti ternakan / tanaman padi dan tanaman lain?
Dun Sungai Dua
Exco YB. DR. AFIF BIN BAHARDIN
Perkara Pertanian/Penternakan/Perikanan

Jawapan

(a) Hasil dan kejayaan yang boleh dibanggakan dalam sektor pertanian di Pulau Pinang adalah seperti berikut:




  1. Pulau Pinang berada di kedudukan ke-3 seluruh Malaysia bagi negeri yang mempunyai petani dan penternak yang mematuhi piawaian dan mendapat pensijilan Ladang Organik (MyOrganik) dan Amalan Pertanian Baik (MyGAP). Pada tahun 2010 hanya 18 petani/pengusaha dipersijilkan dan jumlah ini telah meningkat kepada 157 petani pada tahun 2015.

  2. Pulau Pinang terus mengekalkan tahap saradiri (SSL) bagi pengeluaran ayam dan khinzir untuk membekalkan makanan yang mencukupi untuk penduduk di negeri ini. Hasil komoditi penternakan lain juga telah meningkat. Selain dari itu, industri pemprosesan veterinar juga terus berkembang bagi memenuhi keperluan penduduk dalam negeri;

  3. Kejayaan untuk mengawal wabak penyakit selsema burung (HPAI), Wabak Nipah dan lain lain penyakit zoonotik dari merebak kepada penduduk negeri ini;

  4. Mencipta inovasi serta kaedah baru dalam memberi khidmat teknikal yang berkesan kepada penternak serta pengusaha industri asas ternakan di negeri ini melalui Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK);

  5. Memenangi Anugerah Jualan Terbanyak sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2015 yang diadakan di Sarawak. Produk Industri Asas Tani keluaran Pulau Pinang mendapat sambutan sangat baik di Sarawak;

  6. Subsektor Tanaman padi menunjukkan peningkatan nilai pengeluaran sebanyak 80% (RM82,389,000.00) iaitu RM102,821,000.00 pada tahun 2006 berbanding RM185,210,000.00 pada tahun 2014. Manakala subsektor tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran, masing-masing menunjukkan peningkatan 49.11% dan 7.0%. Selain itu juga, subsektor perusahan hiliran (Industri Asas Tani) telah menunjuk peningkatan nilai pengeluaran yang drastik dari RM59 juta pada tahun 2013 kepada RM99 juta pada tahun 2015 iaitu peningkatan sebanyak 67%.

  7. Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) telah mendapat penarafan 5 bintang sebagai 6 TKPM terbaik daripada 59 TKPM di Malaysia.



 



(b) Fokus Kerajaan Negeri dalam bidang pertanian secara umumnya adalah seperti di lampiran. Manakala bagi bidang penternakan dan veterinar, fokus Kerajaan Negeri adalah seperti berikut:




  1. Meningkatkan pembangunan ternakan dengan memberi tumpuan kepada pengeluaran komoditi utama seperti daging lembu/kerbau, kambing/bebiri, khinzir, ayam/itik dan telur ayam/itik. Program untuk mempelbagaikan sumber makanan yang lain seperti ayam piru juga akan terus digalakkan;

  2. Meningkatkan pengeluaran Industri Asas Ternakan (IATn) dengan melaksanakan pelbagai program ke arah meningkatkan pengeluaran hasil pemprosesan asas ternakan untuk meningkatkan pendapatan pengusaha;

  3. Mengambil langkah proaktif serta sentiasa fokus kepada peranan untuk mencegah, mengawal dan membasmi penyakit haiwan dan zoonotik bagi menjamin industri penternakan sentiasa bebas dari sebarang ancaman wabak penyakit;

  4. Membantu penternak serta pengusaha IATn untuk meningkatkan daya saing melalui pemberian bantuan yang bertujuan meningkatkan infrastruktur ladang/loji pemprosesan, bantuan asas ternakan, peralatan, khidmat runding cara serta kursus pembangunan sumber manusia; dan

  5. Meningkatkan program perawatan persekitaran dengan melaksanakan kaedah bioteknologi iaitu Effective Microorganism (EM) yang dipergiatkan di kawasan ladang yang berisiko tinggi pencemaran bau dan lalat melalui aduan yang diterima oleh pihak jabatan.



 



 


Kembali