Soalan | Bilangan pekerja warga asing kian bertambah telah hampir melebihi bilangan kaum India di Seberang Perai Tengah (SPT) khususnya Bukit Mertajam. Apakah pandangan Kerajaan Negeri terhadap perkara ini? (a) Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menangani masalah warga asing yang membawa impak negatif seperti membuang sampah merata-rata dan mencemarkan alam sekitar? |
Dun | Berapit |
Exco | YB. PROF. DR. P. RAMASAMY A/L PALANISAMY |
Perkara | Warga Asing |
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2014, bilangan penduduk kaum India di daerah Seberang Perai Tengah dianggarkan seramai 35,600 orang. Jabatan Imigresen Negeri Pulau Pinang tidak mempunyai rekod pekerja asing mengikut daerah namun berdasarkan perangkaan daripada Bahagian Pekerja Asing, Jabatan Imigresen Negeri Pulau Pinang, jumlah bilangan pekerja asing yang berdaftar di Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2015 ialah seramai 75,130.
Dasar kemasukan buruh asing dan kuota kemasukan buruh asing tertakluk di bawah peraturan dan dasar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Dalam Negeri. Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengelak daripada pertambahan pesat jumlah buruh asing. Namun begitu, Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pulau Pinang sentiasa memantau dan membuat operasi penguatkuasaan terhadap warga asing yang tidak mempunyai Permit Kerja dan Dokumen Pengenalan Diri yang sah.
Bagi menangani masalah warga asing yang membawa impak negatif seperti membuang sampah merata-rata dan mencemarkan alam sekitar, Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa inisiatif seperti berikut :
i) Pemantauan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai di kawasan-kawasan yang dihuni oleh warga asing .
ii) Kerajaan Negeri sedar bahawa kehadiran begitu ramai warga asing terutamanya di kawasan perumahan flat serta pangsapuri kos rendah dan sederhana di beberapa kawasan perumahan di sekitar negeri ini menimbulkan pelbagai masalah dan ketidakselesaan kepada penduduk tempatan. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan pasukan keselamatan untuk memantau situasi ini. Melalui pengawasan yang ketat, Kerajaan Negeri juga tidak membenarkan Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) untuk disewakan kepada warga asing.
iii) Pengawalan/rondaan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dan polis di kawasan-kawasan yang banyak didiami oleh pekerja-pekerja asing.
iv) Kerajaan Negeri turut memberi tanggungjawab kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk merancang penyediaan perumahan/asrama pekerja tempatan dan warga asing di Pulau Pinang yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan terkawal dari segi keselamatan. Mengikut perancangan awal, sejumlah 12,000 unit perumahan/asrama pekerja akan dibina dalam tempoh 4 tahun. Projek pembangunan ini dijangka siap pada tahun 2019. Inisiatif pembinaan asrama pekerja ini dijangka dapat menyelesaikan masalah penempatan ribuan pekerja terutamanya yang menetap di kawasan perumahan umum.
v) Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah memperluaskan Program Sisa Sifar ke asrama-asrama pekerja asing. Program Sisa Sifar merupakan program pengasingan sisa di punca untuk dikitar semula dan pengumpulan sisa untuk pengkomposan. Program ini bertujuan untuk mengurangkan penghasilan sisa yang perlu dihantar ke tapak pelupusan sampah. Asrama pekerja asing JR Joint Resources Holding di Pangsa Taman Permata Blok F merupakan asrama pertama di daerah Seberang Perai Tengah yang bekerjasama dengan MPSP dan Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Desa Palma bagi merealisasikan program berkaitan.
Selain daripada itu, di bawah program Kampungku/Komunitiku Bersih dan Hijau, pihak Penang Green Council (PGC) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Komuniti (JKKK) terpilih telah mewujudkan Sudut Sisa Sifar dengan menempatkan tong-tong kitar semula di kawasan komuniti tersebut. Selain itu, Penang Green Council juga bekerjasama dengan syarikat kitar semula, pusat membeli belah dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) untuk menubuhkan lebih banyak Sudut Sisa Sifar di Pulau Pinang. Tujuan mewujudkan Sudut Sisa Sifar adalah seperti dibawah:
Sudut Sisa Sifar yang sedia ada, adalah seperti di bawah: