Soalan | Sila nyatakan dengan teliti, sudahkah Kerajaan Negeri mengeluarkan notis amaran kepada pemilik unit rumah kos sederhana rendah yang telah sewa rumah unit tertentu kepada pekerja asing? |
Dun | Pengkalan Kota |
Exco | YB JAGDEEP SINGH DEO A/L KARPAL SINGH |
Perkara | Projek Perumahan Rakyat |
Kerajaan Negeri sentiasa berusaha bagi memastikan tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pemilik atau penyewa unit kediaman Projek Perumahan Awam yang dikenal pasti menyewakan rumah mereka kepada warga asing. Sejak Januari hingga April 2016, Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengeluarkan Notis Langgar Syarat kepada 7 pemilik unit kediaman yang dilaporkan melakukan kesalahan tersebut.
Manakala bagi skim-skim perumahan yang tidak diselia oleh Kerajaan Negeri, Badan Pengurusan Bersama atau Jawatankuasa Pengurusan bertanggungjawab mengemukakan aduan kepada Pesuruhjaya Bangunan dan Pihak Berkuasa Tempatan sekiranya unit diduduki sehingga mendatangkan bencana atau bahaya kepada kesihatan penduduk. Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 78, Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] atau Seksyen 79, Akta Perancangan Bandar dan Desa [Akta 172].
Berkenaan penyewaan unit Rumah Mampu Milik Type 'B' (Kos Sederhana Rendah) projek swasta dan Kerajaan Negeri yang adalah bercanggah dengan syarat nyata di dalam Borang PN1 yang menyatakan unit-unit tersebut perlu diduduki oleh pemilik dan tidak boleh disewa, Pejabat Penasihat Undang-Undang Pulau Pinang telahpun diminta mengkaji status perundangan dengan mendalam agar tindakan penguatkuasaan dapat diambil.
Berkenaan ini juga, Kerajaan Negeri sedang dalam proses penambahbaikan ke atas syarat permohonan rumah melalui Borang PN1 bagi mensyaratkan Pengakuan Berkanun (Statutory Declaration) ditandatangani agar tindakan undang-undang lebih tegas boleh diambil ke atas pemohon yang menyewakan unit kediaman yang telah ditawarkan kepada mereka kepada pihak ketiga termasuk pekerja asing.
Dalam pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah menulis surat yang bertarikh 4 Mac 2016 kepada Kerajaan Persekutuan, melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memohon agar dapat memperkenalkan satu polisi ataupun perundangan yang jelas melarang penyalagunaan ini iaitu penyewaan unit-unit perumahan Mampu Milik Type 'A' (Kos Rendah) dan Type 'B' (Kos Sederhana Rendah) kepada pihak ketiga, dan juga memperkenalkan langkah-langkah penguatkuasaan yang dapat diambil terhadap pemilik-pemilik dan penyewa-penyewa yang didapati menyalahguna unit-unit perumahan Mampu Milik Type 'A' (Kos Rendah) dan Type 'B' (Kos Sederhana Rendah) ini.
Selanjutnya, usaha terkini Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah penyewaan rumah kepada warga asing juga adalah melalui penyediaan asrama pekerja untuk menempatkan bukan sahaja warga asing tetapi pekerja tempatan juga.