MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
10/05/2016 09:30:00 AM hingga 20/05/2016 05:00:00 PM
Soalan Bilakah Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan akan dibentangkan untuk semakan dan perundingan awam? Kajian Rancangan Struktur telah luput sejak Jun 2012.
Dun Kebun Bunga
Exco YB JAGDEEP SINGH DEO A/L KARPAL SINGH
Perkara Infrastruktur

Jawapan

Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 (RSNPP 2020) mula dilaksanakan pada bulan Julai 2012 selepas lima tahun pewartaannya selaras dengan Seksyen 11A, Akta 172 (Akta Perancangan Bandar dan Desa). Sehingga kini, RSNPP 2020 masih dalam peringkat penilaian Draf Akhir Laporan Kajian Semula dan akan diangkat untuk kelulusan Jawatankuasa Perancang Negeri sebelum dapat di bawa ke peringkat seterusnya. Kajian ini melibatkan penilaian dan kajian semula terhadap dasar-dasar yang telah dikenal pasti dan disyorkan untuk dipinda berdasarkan kepada keputusan daripada Mesyuarat Perancang Negeri, aduan orang awam dan maklum balas agensi teknikal.



Kajian Semula RSNP 2020 ini juga perlu melalui beberapa proses seperti yang tertakluk di bawah Akta 172 sebelum diwartakan seperti berikut:-



a. Laporan Tinjauan - bagi menyediakan maklumat-maklumat dan data-data terkini pembangunan negeri;



b. Publisiti Laporan Tinjauan dan Laporan Publisiti;



c. Draf Akhir Kajian Semula (Rancangan Struktur Negeri);



d. Publisiti dan Bantahan Awam



e. Pembentangan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri; dan



f. Pewartaan



Selain itu, proses penyediaan Kajian Semula RSNPP 2020 perlu melalui proses yang sama dengan penyediaan Rancangan Struktur Negeri yang akan mengambil masa yang agak lama, iaitu antara 3 hingga 3 1/2 tahun kerana ia melibatkan dua proses bantahan awam yang panjang. Kajian Semula RSNPP 2020 juga tertakluk kepada keperluan Kerajaan Negeri, yang melibatkan pindaan tertentu dan ini memerlukan tambahan masa untuk disempurnakan sebelum diwartakan dan seterusnya digunapakai. Kajian Semula RSNPP 2020 juga perlu dirujuk dan dibincang secara mendalam bersama semua pihak yang berkepentingan dan diselaraskan dengan dasar-dasar terkini pembangunan negeri yang telah dan sedang dilaksanakan, seperti Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia George Town, Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera, Rancangan Kawasan Khas Taman Botani dan sebagainya.



 Bagi Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang 2020 (DRTPPp) yang merangkumi perancangan bagi keseluruhan bahagian pulau pula, telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada 14 dan 21 Januari 2010, 17 September 2010 dan 14 Februari 2012 dan kini dalam peringkat draf akhir untuk pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri. Laporan draf ini perlu dipamerkan terlebih dahulu kepada orang awam sebelum diluluskan untuk pewartaan. Penyediaan DRTPPp 2020 telah ditangguhkan penyediaannya bagi membolehkan kandungan DRTPPp yang asal belum diselaraskan  dengan Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia George Town yang kini di peringkat akhir pewartaan memandangkan kedua-dua laporan ini perlu bergerak serentak (concurrent) bagi memenuhi keperluan UNESCO. Sekiranya terdapat perubahan pada 'Special Area Plan' setelah mendapat pengesahan daripada UNESCO, maka pindaan akan dikemaskinikan ke dalam DRTPPp 2020 supaya tidak bercanggah. Di samping itu, DRTPPp ini juga perlu diselaraskan dengan Rancangan Kawasan Khas Taman Botani dan Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera yang kini dalam peringkat akhir pindaan laporan.



Manakala bagi Draf Rancangan Tempatan Daerah Seberang Perai pula, Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri yang bersidang pada 29 Oktober 2015 pula telah memutuskan supaya Rancangan Tempatan baru perlu dibuat yang merangkumi keseluruhan kawasan Seberang Perai yang dinamakan Rancangan Tempatan Seberang Perai 2030 dan diselaraskan semula dengan Kajian RSNPP 2020.



Oleh yang demikian, proses semakan dan pendengaran awam bagi RSNPP dan Rancangan Tempatan hanya akan dilaksanakan selepas kedua-dua kajian tersebut dibuat.



 


Kembali