Soalan | Berapa kali operasi menyelamatkan kutu rayau dan pengemis diadakan setiap tahun? (a) Mengapakah masih banyak kutu rayau walaupun operasi telah dijalankan? (b) Adakah rumah transit seperti anjung singgah akan ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri? (c) Sila berikan laporan analisis terhadap kutu rayau/pengemis secara mentaliti dan psikologi. |
Dun | Komtar |
Exco | YB. PHEE BOON POH |
Perkara | Bantuan |
Bagi tahun 2015, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang (JKM) telah menjalankan sebanyak 203 operasi di mana seramai 327 kutu rayau atau pengemis telah diselamatkan. .
i) Walaupun operasi banyak telah dijalankan, namun masih terdapat kutu rayau disebabkan faktor persekitaran dan sikap kutu rayau itu sendiri. Negeri Pulau Pinang yang terkenal sebagai negeri pelancongan telah menarik minat kutu rayau atau pengemis untuk mengemis di negeri ini. Faktor pemberian daripada orang ramai juga meningkatkan jumlah pengemis dan kutu rayau. Ada segelintir kutu rayau atau pengemis yang diselamatkan oleh JKMN Pulau Pinang, telah dijamin oleh keluarga namun mereka tetap kembali mengemis dan menjadi kutu rayau di atas kehendak mereka sendiri.
ii) Kerajaan Negeri bersama-sama JKM telah merancang untuk menganjurkan program “Empowering The Street Citizens” yang bertujuan untuk membantu dan mendayaupayakan golongan gelandangan di Pulau Pinang. Program ini adalah bersifat “Tri-Partite Venture” yang menggabungkan sektor kerajaan, swasta dan pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam menjayakan program ini.
Di bawah program ini, gelandangan akan ditempatkan di sebuah rumah atau bangunan yang akan dibekalkan dengan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang selesa sebagai permulaan serta diberi latihan yang bersesuaian. Selepas tempoh program ini, gelandangan ini diharapkan dapat berdikari dan berintegrasi dengan masyarakat. Pengurusan penempatan gelandangan ini dicadangkan dibuat oleh pihak Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dikenal pasti oleh pihak Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang.
iii) Kajian lapangan yang diadakan pada 29 Disember 2015 terhadap 10 orang pengemis /kutu rayau mendapati mereka mengemis disebabkan faktor keluarga, kemiskinan, diabaikan oleh keluarga, kekangan kenaikan kos sara diri, dan kesulitan dalam mendapatkan pekerjaan atas sebab baru dibebaskan penjara, gaji yang tidak setimpal, memilih pekerjaan, masalah kesihatan, kemurahan hati pihak NGO menyediakan makanan percuma serta sikap tidak ingin maju dalam hidup.