MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
10/05/2016 09:30:00 AM hingga 20/05/2016 05:00:00 PM
Soalan Sila nyatakan status terkini tentang projek pembinaan asrama pekerja asing. (a) Apakah masalah yang dihadapi dalam usaha menyediakan asrama tersebut? (b) Apakah insentif yang akan diberi kepada pihak yang berinisiatif untuk membina asrama tersebut?
Dun Komtar
Exco YB JAGDEEP SINGH DEO A/L KARPAL SINGH
Perkara Kebajikan

Jawapan

Pihak pemaju iaitu Syarikat Westlite Dormitory (Penang-Juru) yang telah berjaya memenangi tender projek pembinaan asrama pekerja bagi pekerja tempatan dan asing sedang dalam proses mendapatkan kelulusan Pelan Kebenaran Merancang daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).



i) Masalah utama yang dihadapi dalam usaha membangunkan asrama pekerja asing ini adalah bantahan daripada penduduk setempat yang khuatir timbulnya masalah sosial seperti salah laku moral, peras ugut, kecurian, rogol dan lain-lain yang pastinya akan membabitkan isu keselamatan. Selain itu, pembinaan asrama pekerja ini juga akan menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas  kerana aliran keluar masuk bas pekerja yang melalui kawasan tersebut.



Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah pun mengambil langkah-langkah proaktif bagi menyelesaikan isu yang dibangkitkan. Ini kerana cadangan pembangunan asrama pekerja ini akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi yang secara tidak langsung dapat mengawal pergerakan warga asing  daripada melakukan perkara yang tidak diingini. Di samping itu, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan yang terlibat, Kerajaan Negeri akan melebarkan Jalan Juru daripada dua lorong kepada empat lorong bermula dari Persimpangan Jalan Tok Kangar sehingga Persimpangan Jalan Permatang Tinggi.



Selain itu, terdapat 2 permohonan cadangan pembinaan asrama pekerja yang telah diluluskan di Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN), iaitu:-



1. Tetuan Westlite Dormitory (Bukit Minyak) Sdn. Bhd. di kawasan Bukit Minyak (diluluskan dan disahkan di JPN pada 12 November 2015); 



2. Tetuan Ong Han Meng di kawasan Batu Maung (diluluskan dan disahkan di JPN pada 27 April 2016).



ii) Antara insentif yang diberikan berhubung dengan pembangunan asrama pekerja adalah seperti pengecualian penyediaan 30% sumbangan unit Rumah Mampu Milik Type 'A' (Kos Rendah) atau Type 'B' (Kos Sederhana Rendah), dan pemaju hanya perlu menyediakan tempat letak bas, basikal dan kereta (untuk kegunaan pihak pengurusan asrama) sahaja berbanding dengan penyediaan tempat letak kereta mengikut unit untuk pembangunan perumahan. Insentif tersebut adalah termaktub di dalam Garis Panduan Asrama Pekerja yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri pada 30 Julai 2015. 


Kembali