Soalan | Sila senaraikan kesemua sekolah antarabangsa di Negeri Pulau Pinang. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai apa-apa usaha untuk mewujudkan lebih banyak lagi sekolah antarabangsa ? |
Dun | Paya Terubong |
Exco | YB. PROF. DR. P. RAMASAMY A/L PALANISAMY |
Perkara | Pendidikan |
Senarai sekolah-sekolah antarabangsa di Negeri Pulau Pinang adalah seperti di bawah :
No. | Nama Sekolah | Lokasi |
1 | International School of Penang (Uplands) | Batu Ferringhi |
2 | St Christopher's International Primary School | Jalan Nunn, Georgetown |
3 | Dalat International School | Tanjung Bungah |
4 | Fairview International School (Penang Campus) | Bukit Jambul |
5 | Tenby International School (sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Sri Inai) | Tanjung Tokong |
6 | Pelita International School (sebelum ini dikenali sebagai Sri Pelita) | Tanjung Bungah |
7 | Prince of Wales Island International School | Balik Pulau |
8 | Straits International School | Bayan Lepas |
9 | GEMS International School | Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat |
10 | Penang Japanese School | Jalan Sungai Pinang |
11 | Chinese Taipei School | Taman Chai Leng, Perai |
Kerajaan Negeri telah menerima cadangan untuk pembangunan Hab Pelancongan Pendidikan di atas tanah milik CMI melibatkan Lot 705, Seksyen 1, Bandar Tanjung Pinang dan telah mewujudkan satu jalinan usahasama dengan pihak Lasallian Asia Partnership For International Schools (LAPIS) dari Singapura. Institusi Pendidikan yang akan ditubuhkan adalah Stonyhurst College dari United Kingdom yang telah memilih Pulau Pinang sebagai destinasi untuk penubuhan sekolah pertama di luar United Kingdom. Stonyhurst merupakan kolej berusia 400 tahun dan akan menggunakan silibus akademik dan kokurikulum bertaraf antarabangsa untuk pelajar berusia 3 tahun hingga 18 tahun dengan pensijilan"O level", "A level", dan "IB level". Perancangan pembangunan akan dimulakan akhir tahun 2016 dan dijangka siap untuk operasi atau enrolmen pada akhir tahun 2018 atau selewat-lewatnya awal tahun 2019.
Sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri menjadikan Pulau Pinang sebagai hub pendidikan bertaraf antarabangsa, Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan pelajar asing untuk datang belajar di Pulau Pinang. Pulau Pinang kini menjadi tumpuan pelajar dari beberapa negara dengan sebahagian besarnya dari Indonesia, Iran, Palestin, Jordan dan Arab Saudi. Sehubungan dengan itu, Penang Centre for Education Tourism (PCET) telah ditubuhkan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai hub pendidikan bertaraf dunia bagi pendidikan dan juga tempat untuk hidup, belajar dan berkembang. PCET berfungsi untuk membentuk dan memasarkan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.
Dengan kemasukan pelabur asing ke Pulau Pinang, Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan pembinaan Sekolah Antarabangsa kerana ia dapat menjana pendapatan Negeri Pulau Pinang melalui Perkongsian Awam dan Swasta (PPP) serta Pengantarabangsaan Pendidikan. Selain daripada itu, ia juga dapat memainkan peranan untuk menarik lebih ramai pelaburan asing (FDI) ke negeri ini.
Dengan adanya sekolah antarabangsa yang berkualiti di Pulau Pinang, ia dapat memberi kebaikan kepada Negeri Pulau Pinang dalam pembangunan ekonomi dan meningkatkan taraf pendidikan di Pulau Pinang.