Soalan | 27. Pulau Pinang mempunyai 393 orang atlit, tertinggi dalam sekolah sukan di Malaysia tetapi hanya 15 jurulatih. DUN Penanti bercadang menubuhkan kelab sukan yang dilatih oleh jurulatih profesional di setiap kawasan Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menangani masalah sosial, dadah, mat rempit, ponteng sekolah di kalangan anak-anak kampung. (a) Bagaimanakah Kerajaan Negeri boleh membantu untuk melahirkan atlit/pemain bola yang bertauliah? |
Dun | Penanti |
Exco | YB. CHONG ENG |
Perkara | Sosial |
Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang yang berperanan sebagai agensi penggerak pembangunan sukan berprestasi tinggi negeri telah melantik seramai 86 orang jurulatih yang terdiri dari Jurulatih Sepenuh Masa Tempatan (31 orang), Jurulatih Sepenuh Masa Luar Negara (12 orang), Jurulatih Sambilan (Pembangunan Sukan) (11 orang), Jurulatih Sukan Malaysia 2015/2016 (15 orang) dan Jurulatih Sambilan Majlis Sukan Daerah (17 orang) bagi melaksanakan program-program pembangunan sukan negeri yang digerakkan secara bersama dengan 41 buah Persatuan Sukan Negeri. Disamping itu Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Sukan Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah untuk merancakkan lagi pembangunan sukan di peringkat akar umbi termasuk di kawasan JKKK.
Dalam usaha untuk melahirkan seorang atlet atau pemain bola yang bertauliah, mereka perlu menjalani latihan yang dilaksanakan oleh Persatuan Sukan Negeri yang diiktiraf pertubuhannya oleh Badan-Badan Sukan Induk seperti Persatuan Sukan Kebangsaan, Pesuruhjaya Sukan Kebangsaan, Majlis Sukan Negeri, Majlis Sukan Negara Malaysia dan Majlis Olimpik Malaysia.
Bagi pemain bola yang berkemahiran, mereka boleh menjalani sesi uji bakat pemain yang dijalankan oleh Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang. Manakala bagi atlet-atlet yang berpotensi, mereka boleh mendapat bimbingan lanjut melalui sesi latihan yang berada di bawah kendalian Persatuan Sukan Negeri bagi sukan-sukan yang diceburi.
Sekiranya sesebuah kelab sukan dibangunkan di peringkat daerah atau di peringkat JKKK, adalah perlu bagi kelab tersebut menyelaraskan pelaksanaannya bersama dengan kerjasama Persatuan Sukan Negeri dalam memastikan kejajaran serta aspek-aspek pembangunan sukan yang dilaksanakan berada di landasan yang sama.
Di samping itu, bagi kelab-kelab yang ditubuhkan untuk melaksanakan program sukan berbentuk penyertaan masyarakat, mereka boleh berhubung terus dengan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan khidmat nasihat selanjutnya untuk memajukan sukan-sukan yang dianjurkan.