MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
06/11/2015 09:30:00 AM
Soalan Apakah kebaikan tidak menyegerakan dan menggazetkan rancangan struktur negeri pulau pinang dan pelan tempatan yang baru setelah mengambail alih pentadbiran kerajaan. jelaskan sebab kelewatan.
Dun -
Exco
Perkara -

Jawapan
Kelewatan dalam penyediaan Kajian Semula RSNPP 2020 dan Pelan-pelan Tempatan di Pulau Pinang dan Seberang Perai telah membolehkan ianya diselaraskan semula dengan dasar dan perancangan terkini pembangunan Kerajaan Negeri terutama pelan dan rancangan pembangunan negeri yang sedang disediakan seperti pindaan kepada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dan pembangunan baru di kawasan Batu Kawan. Ianya juga perlu diselaraskan semula dengan draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kawasan Tapak Warisan Dunia George Town, RKK Taman Botani dan RKK Bukit Bendera yang sedang dalam peringkat akhir pewartaan.

Selain keperluan penyelarasan dengan perancangan dan dasar terkini Kerajaan Negeri, kelewatan penyediaan dan pewartaan RSNPP 2020 dan pelan-pelan tempatan tersebut adalah juga disebabkan proses dan prosedur penyediaannya yang perlu mematuhi peruntukan di dalam Akta 172 khususnya yang melibatkan bantahan awam serta beberapa siri pendengaran dan bantahan daripada orang awam.

Walaupun laporan-laporan tersebut masih belum diwartakan, Rancangan-rancangan Pembangunan sedia ada yang telah diwartakan masih terpakai dan digunakan untuk mengawal aktiviti pembangunan di Negeri Pulau Pinang secara berterusan dan disokong dengan penyediaan garis panduan untuk memantapkan lagi proses pengawalan pembangunan negeri.

Perkembangan Kajian Semula Pelan Tempatan adalah seperti berikut:-

(i) Rancangan Tempatan Pulau Pinang

Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang 2020 (DRTPP) merangkumi perancangan bagi keseluruhan bahagian pulau telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada 14 dan 21 Januari 2010, 17 September 2010 dan 14 Februari 2012, dan kini dalam peringkat draf akhir untuk pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri. Laporan draf ini perlu dipamerkan terlebih dahulu kepada orang awam sebelum diluluskan untuk pewartaan.

(ii) Rancangan Tempatan Daerah Seberang Perai Utara

Laporan Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Bantahan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Seberang Perai Utara (DRTDSPU) telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Bil. 12/2014 bertarikh 12 September 2014 dan telah diluluskan pada 26 Januari 2015 melalui mesyuarat Bil.1/2015, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sedang membuat pindaan laporan dan pelan-pelan cadangan sebelum Draf Rancangan Tempatan Daerah SPU ini dapat dimuktamadkan dan diwartakan. Sehingga Oktober 2015, DRTDSPU masih dalam pertimbangan Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN).



(iii) Rancangan Tempatan Daerah Seberang Perai Tengah

Laporan Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Bantahan Awam RTD SPT telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) Bi. 14 dan 15/2014 pada 17 dan 20 Oktober 2014 dan masih dalam peringkat pindaan dan penyelarasan isu-isu teknikal oleh MPSP sebelum laporan tersebut dapat dimuktamadkan dan diwartakan. Sehingga Oktober 2015, Draf tersebut masih dalam pertimbangan JPN.

(iv) Rancangan Tempatan Daerah Seberang Perai Selatan

RTD SPS masih dalam proses pindaan laporan dan perlu diselaraskan dengan Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 sebelum ianya dimuktamadkan.

Walau bagaimanapun, bagi memastikan semua Rancangan Tempatan Daerah Seberang Perai yang merangkumi Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan boleh digunakan kelak, Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri (JPBD) akan mewujudkan satu alternatif untuk menggabungkan semua Draf Rancangan Tempatan bagi ketiga-tiga daerah supaya ianya lebih seragam dan terkini yang akan dikenali sebagai Rancangan Tempatan Daerah Seberang Perai. Cadangan ini akan dibincangkan secara bersama dengan pihak MPSP dan JPBD Semenanjung Malaysia untuk Penetapan Asas Rujukan sebelum dikemukakan kepada JPN.


Disediakan oleh : Puan Siti Zuraida Binti Napi (017-6220 400)
Disemak oleh : Tuan Zepri Bin Saad (019-5258 254)
Disahkan oleh : Dato’ Abu Jamal Bin Nordin (014-9344 619)
Kembali