Jawapan
YB. PROF. DR. P. RAMASAMY A/L PALANISAMY
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
6. Sepanjang Januari – September 2015, tindakan yang telah diambil oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk menangani masalah dadah di institusi pendidikan ialah mengadakan pameran antidadah, ceramah mengenai bahayanya dadah, program intervensi kepada pelajar yang berisiko. Sebanyak 80 pameran antidadah telah diadakan di institusi pendidikan dan 52 ceramah antidadah turut diadakan.
Program saringan awal ujian air kencing turut diadakan di sekolah-sekolah kebangsaan dengan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang. Manakala bagi sekolah swasta dan lain-lain institusi pendidikan, pihak AADK akan adakan program saringan awal ujian air kencing berdasarkan permintaan dari pihak pengurusan sekolah swasta dan lain-lain institusi pendidikan. Seramai 3341 orang pelajar sekolah menengah dari 90 buah sekolah di seluruh di Pulau Pinang telah menjalani saringan awal ujian air kencing yang diadakan dari Januari sehingga September 2015.
Bagi pelajar yang positif saringan awal ujian air kencing, pelajar tersebut akan mengikuti kem Intensif iaitu Kem SHIELDS (SAYANGI HIDUP ELAK DERITA SELAMANYA) yang dianjurkan oleh AADK dengan kerjasama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang selama empat (4) hari tiga (3) malam. Selepas itu, program intervensi akan diadakan iaitu sesi perjumpaan pelajar dengan guru kaunselor, ibubapa atau penjaga, pegawai unit Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) Jabatan Pendidikan Negeri dan Pegawai AADK akan diadakan di sekolah yang terlibat. Selepas itu, pihak sekolah akan membuat pemantauan secara berkala terhadap pelajar tersebut.
Bagi pihak PDRM, apabila aduan atau maklumat diterima dari pihak sekolah atau orang ramai tentang pelajar yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah, ujian saringan air kencing akan dibuat. Sepanjang tempoh Januari – September 2015, jumlah pelajar yang ditangkap terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah seramai 46 orang.
Untuk program jangka masa panjang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangka mengadakan ceramah dan pameran dengan tujuan mencegah dan memberi kesedaran tentang bahaya dadah kepada para pelajar sekolah. Selain itu, PDRM juga ingin mencadangkan supaya diadakan pendidikan khas pencegahan penyalahgunaan dadah dari peringkat awal persekolahan lagi. Pendidikan tentang bahayanya penagihan dadah harus dimasukkan ke dalam silibus pendidikan agama dan mata pelajaran moral atau sivik serta ko-kurikulum sekolah, mengikut kesesuaian peringkat umur pelajar agar maklumat tersebut mudah diterima dan difahami.