MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
06/11/2015 09:30:00 AM
Soalan Huraikan kekuatan dan kelemahan sistem westminster yang berparlimen dipraktikkan malaysia. apakah reformasi dewan undangan negeri dan kerajaan negeri atas kelemahannya, termasuk mengehadkan jawatan perdana menteri , menteri besar dan ketua menteri kepada dua penggal sahaja.
Dun -
Exco
Perkara -

Jawapan
73. a) Pengenalan
Malaysia mempraktikkan amalan demokrasi yang berpandukan sistem Westminster sebagaimana yang diamalkan di United Kingdom. Perdana Menteri yang merupakan anggota Dewan Rakyat dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang mana pada pandangannya pelantikan tersebut mampu memperoleh keyakinan majoriti daripada anggota Dewan Rakyat.


Parlimen merupakan badan perundangan di peringkat Persekutuan yang terdiri daripada Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Yang di-Pertuan Agong. Sebelum sesuatu Rang Undang-Undang menjadi Akta Parlimen yang sah, kelulusan daripada ketiga-tiga badan ini adalah dikehendaki. Berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri, anggota Kabinet dan semua Menteri merupakan anggota Parlimen. Perdana Menteri dan anggota Kabinet dianggap bertanggungjawab secara kolektif terhadap Parlimen.

Di peringkat Kerajaan Negeri pula, sesuatu negeri diketuai oleh Sultan atau Yang di-Pertua Negeri. Menteri Besar atau Ketua Menteri pula merupakan ketua eksekutif yang pelantikannya diperkenankan oleh Sultan atau Yang di-Pertua Negeri. Badan yang bertanggungjawab untuk meluluskan undang-undang adalah Dewan Undangan Negeri yang dianggotai oleh ahli Dewan Undangan Negeri.


b) Kelebihan Sistem Westminster
(i) Ia merupakan cerminan doktrin pembahagian kuasa (separation of powers) antara badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman. Walau bagaimanapun doktrin ini tidak dapat diamalkan sepenuhnya kerana sebagai contoh di peringkat Kerajaan Persekutuan, Parlimen turut dianggotai oleh Perdana Menteri (yang merupakan ketua eksekutif) manakala di peringkat Kerajaan Negeri, Dewan Undangan Negeri (DUN) turut dianggotai oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri. Namun begitu, sistem ini memberikan kelebihan kepada rakyat kerana anggota Parlimen mahupun DUN dipilih dari kalangan individu yang menang dalam pilihanraya. Oleh yang demikian, anggota-anggota ini dianggap akan memperjuangkan hak rakyat yang memilih mereka. Di samping itu, sistem ini dapat mengekang penggunaan kuasa secara berlebihan (arbitrary) memandangkan komponen dalam badan perundangan diwakili daripada pihak pemerintah dan pembangkang.
(ii) Sistem ini memudahkan Kerajaan untuk meluluskan suatu undang-undang. Kerajaan Persekutuan boleh menguatkuasakan undang-undang setelah mendapat kelulusan Parlimen dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Di Kerajaan Negeri pula, suatu enakmen boleh berkuat kuasa setelah diluluskan DUN dan diperkenan oleh Sultan atau Yang di-Pertua Negeri. Ini kerana badan eksekutif kebiasannya turut menganggotai badan perundangan (Parlimen atau DUN) dan perkara ini tidak menyukarkan Kerajaan untuk mendapatkan sokongan anggota badan perundangan bagi kelulusan suatu undang-undang. Berbeza dengan Negara yang mengamalkan sistem presiden, kebiasaannya anggota badan perundangan dipilih secara berasingan dengan anggota badan eksekutif. Oleh yang demikian, sekiranya berlaku perselisihan antara anggota badan eksekutif dan badan perundangan dalam meluluskan suatu undang-undang, ia akan mengambil masa yang lama untuk suatu persetujuan dicapai.
(iii) Sistem ini merupakan suatu corak pemerintahan yang menarik kerana mengiktiraf kepelbagaian kaum, etnik dan ideologi. Badan perundangan diwakili oleh individu yang dipilih melalui proses pilihanraya yang terdiri daripada pihak pemerintah mahupun pihak pembangkang. Berbanding dengan sistem presiden, badan eksekutif hanya tertumpu kepada kuasa presiden sahaja yang mempunyai elemen uni-personal.

c) Kelemahan Sistem Westminster
(i) Sistem ini mengiktiraf kewujudan ketua Negara iaitu Yang di-Pertuan Agong di peringkat Persekutuan atau Sultan/Yang di-Pertua Negeri di peringkat Negeri. Namun begitu peranan mereka dilihat agak terhad dan ketua eksekutif dilihat mempunyai kuasa yang lebih dominan. Perlembagaan Persekutuan ataupun Perlembagaan Negeri menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong/ Sultan/ Yang di-Pertua Negeri hendaklah bertindak mengikut nasihat yang diberikan oleh badan eksekutif. Ketua Negara dianggap sebagai ketua secara de facto sahaja kerana tidak mempunyai peranan yang menyeluruh dalam menentukan sesuatu keputusan yang dibuat oleh badan eksekutif.

(ii) Perdana Menteri/ Menteri Besar/ Ketua Menteri tidak dilantik secara terus daripada rakyat, berbeza dengan sistem presiden yang dilantik secara terus oleh rakyat (electorate). Ketua Eksekutif kebiasaannya dilantik oleh badan perundangan yang dipengaruhi oleh kekuatan dalam kepimpinan sesebuah parti politik.
(iii) Anggota Parlimen/ DUN yang berada di pihak pemerintah dianggap tidak mempunyai kebebasan dalam bersuara kerana mereka bertanggungjawab secara kolektif dalam pentadbiran sesuatu Negara/ negeri. Sekiranya wujud perbezaan fahaman/ keputusan antara sesama anggota badan perundangan yang mewakili pihak pemerintah, ia akan mempengaruhi keputusan yang dibuat. Oleh yang demikian anggota ini akan sedaya upaya menyokong apa-apa keputusan yang dibuat secara kolektif biarpun ia bercanggah dengan keputusan secara individu.

Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang dulu dikenali dengan Pakatan Rakyat sememangnya telah berusaha untuk melakukan reformasi atau perubahan terhadap urusan dan perjalanan DUN. Perubahan yang dijalankan adalah pada peringkat awalan ini lebih kepada perubahan terhadap masa bagi soalan lisan, meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat untuk membuktikan ketelusan Kerajaan Negeri dalam membuat keputusan dan sebagainya. Kerajaan Negeri setakat ini sememangnya tidak pernah berbincang mengenai cadangan menetapkan had 2 penggal kepada jawatan Ketua Menteri kerana perkara yang sama tidak pernah dibincangkan di peringkat pusat bagi jawatan Perdana Menteri.
Kembali