MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
06/11/2015 09:30:00 AM
Soalan Oleh kerana banjir kerap kali berlaku di pulau pinang, adakah kerajaan telah membuat satu pelan bersepadu untuk mengatasi masalah banjir di pulau pinang terutama di bandar.
Dun -
Exco
Perkara -

Jawapan

YB. CHOW KON YEOW
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI

2. Kerajaan Negeri secara umumnya telah menyediakan pelan bersepadu untuk mengatasi banjir di Pulau Pinang dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaran Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Terdapat dua (2) kaedah penyelesaian yang telah dan sedang dilaksanakan iaitu :

(i) Penyelesaian secara struktur

Ianya melibatkan pembinaan komponen kerja kejuruteraan seperti rumah pam, pintu air, mendalam dan melebarkan sungai serta sistem saliran. Antara projek yang dilaksanakan oleh JPS dan MBPP untuk menaiktaraf sistem saliran di kawasan Pulau Pinang adalah:-


(a) menaiktaraf Sungai Jelutong
(b) menaiktaraf sistem saliran di Taman Minden Height
(c) menaiktaraf sistem saliran di Jalan Macalister
(d) menaiktaraf sistem saliran di Jalan Transfer dan Jalan Hutton

(ii) Penyelesaian secara bukan struktur

Antara penyelesaian bukan struktur yang telah diambil adalah dengan melantik perunding untuk membuat kajian serta rekabentuk terperinci di kawasan yang sering mengalami banjir kilat. Antara kajian yang telah dilaksanakan adalah:-

(a) Kajian dan rekabentuk terperinci kerja-kerja tebatan banjir di Bagan Jermal
(b) Kajian dan rekabentuk terperinci kerja-kerja tebatan banjir di Lumba Kuda
(c) Kajian dan rekabentuk terperinci kerja-kerja tebatan banjir di Jelutong
(d) Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir dan Sistem Saliran Mesra Alam Bagi Daerah Barat Daya, Pulau Pinang.
(e) Kajian dan Rekabentuk Terperinci Kerja Menaiktaraf Sistem Saliran Di Lembangan Sungai Dua dan Sungai Gelugor, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang

Selain itu, MBPP juga turut mengambil langkah bagi menangani kejadian banjir seperti berikut:-

(i) Melalui kawalan pembangunan baru

Bagi projek pembangunan yang baru di dalam kawasan bandaraya George Town, MBPP akan mengenakan syarat kepada pemaju untuk menaiktaraf parit utama yang berada di sekeliling kawasan pembangunan mengikut Pelan Induk “The Study On Flood Mitigation And Drainage In Penang Island” yang telah digariskan oleh Japan International Corporation Agency (JICA). Manakala bagi projek pembangungan baru di luar kawasan bandaraya George Town pula, JPS akan mengenakan syarat kepada pemaju untuk menaiktaraf sistem saliran yang terlibat dengan pembangunannya mengikut Panduan Manual Saliran Mesra Alam Malaysia (MSMA), Pelan Induk Saliran Dan Pengurusan Air Ribut Daerah Barat Daya atau kajian-kajian tebatan banjir yang telah dijalankan untuk kawasan-kawasan tertentu.

(ii) Melalui projek-projek tebatan banjir

Masalah banjir kilat memang tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Projek-projek tebatan banjir yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri adalah bertujuan untuk menguruskan masalah banjir supaya impak banjir dapat dikurangkan kepada tahap yang minimum. Dalam pelaksanaan rancangan tebatan banjir, JPS merupakan agensi utama (lead agency) yang dipertanggungjawab untuk melaksanakan tugas ini. Selama ini, MBPP, JPS dan JKR memang memainkan peranan masing-masing untuk menjalankan projek tebatan banjir bagi mengurangkan impak banjir yang melanda negeri ini.

(iii) Melalui operasi pembersihan parit utama dan bermasalah Antara aktiviti yang dilaksanakan melalui kaedah ini termasuk:-

(a) Melaksanakan operasi pembersihan parit utama dan bermasalah secara mekanikal dengan menggunakan kemudahan jentera pembersihan Art Gully Emptier sebanyak 3 unit.
(b) Melaksanakan pembersihan parit besar.
(c) Mewujudkan skuad pemantauan dan tindakan operasi bencana untuk menyelaraskan mekanisma dan mengenalpasti punca kejadian banjir. Pasukan ini juga bertindak serta membantu di dalam merancang langkah-langkah pemulihan dari segi teknikal dan operasi pembersihan.
(d) Melaksanakan kerja-kerja pembersihan secara taskforce pada hari Jumaat setiap minggu.

Di Seberang Perai pula, Kerajaan Negeri melalui MPSP telah menyediakan pelan tindakan bersepadu untuk mengatasi masalah banjir yang merangkumi kerja-kerja naik taraf parit, pintu air dan rumah pam :-

(a) Projek-projek yang telah dilaksanakan oleh MPSP dan jumlah yang telah dilaksanakan mengikut tahun dari bulan Januari 2008 hingga bulan September 2014 seperti di Lampiran A.
(b) Projek yang sedang dilaksanakan pada tahun 2015 seperti di Lampiran B.
(c) Rumah Pam Kawalan Banjir di bawah seliaan MPSP seperti di Lampiran C.
(d) Rancangan untuk membina dan menaiktaraf sistem di taman perumahan seperti di Lampiran D.

Disamping itu, Kerajaan Negeri melalui JPS Pulau Pinang sedang dalam proses penyediaan Pelan Induk Tebatan Banjir dan Sistem Saliran untuk Daerah Seberang Perai Tengah. Kajian ini telah bermula pada 1 Mei 2014 dan dijangka siap pada 30 November 2015. Kos kajian ini adalah sebanyak RM1.5 juta. Kerajaan negeri juga telah bersetuju pada 2 Oktober 2014 meluluskan peruntukan sebanyak RM1.75 juta untuk pihak JPS melantik perunding menyediakan Pelan Induk Tebatan Banjir dan Sistem Saliran untuk Daerah Seberang Perai Selatan. Sehubungan itu, pihak JPS sedang dalam proses melantik perunding yang berkelayakan untuk tujuan tersebut. Kajian pelan induk ini akan menyediakan:-

(i) Pelan jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir dan sistem saliran sediada dan akan datang dengan menyediakan satu pelan induk yang menyeluruh yang merangkumi aspek kawalan kuantiti dan kualiti selaras dengan keperluan MASMA untuk kawasan Seberang Perai Tengah.
(ii) Pelan dan garis panduan kawalan hakisan dan sedimen bagi aktiviti-aktiviti pembangunan tanah, kerja tanah dan sebagainya di peringkat kawalan di punca.
(iii) Pelan bahaya banjir (flood hazard map) bagi membantu pihak JPS mengenalpasti kawasan yang mudah banjir dengan lebih menyeluruh.
(iv) Pelan aras platform untuk tujuan pembangunan akan datang untuk mengelak berlakunya banjir kilat.
Kembali