Jawapan
YB. CHOW KON YEOW
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
1. Penggunaan Bahasa Melayu adalah diwajibkan untuk papan iklan/streamer/billboard dan ia bukan sahaja suatu dasar Kerajaan Negeri atau Kerajaan Tempatan tetapi juga adalah peraturan wajib yang termaktub dalam undang-undang bertulis.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), mewajipkan penggunaan Bahasa Melayu seperti termaktub di bawah peruntukan undang-undang kecil 3(1) dan 3(2), Undang-Undang Kecil (Iklan) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), 2000. Di bawah peruntukan undang-undang kecil ini dinyatakan dengan jelas bahawa Bahasa Melayu boleh digunakan dengan sendiri sepenuhnya atau bersama dengan bahasa lain dan saiznya hendaklah lebih besar dan lebih menonjol dari segi visual dan kedudukannya berbanding dengan bahasa lain. Lazimnya saiz ketinggian Bahasa Melayu tidak kurang dari 5 inci boleh diterima oleh MBPP dan hendaklah ditulis di sudut atas sebelah kiri papan iklan yang menunjukkan erti sebenar aktiviti/perniagaan yang dijalankan oleh sesuatu premis perniagaan/pejabat dan sebagainya.
Sekiranya pendaftaran nama-nama firma, syarikat atau persatuan/kesatuan dengan menggunakan Bahasa Melayu di mana nama-nama atau entiti-entiti berkenaan dengan sendirinya boleh menjelaskan aktiviti-aktivitinya, maka penggunaan Bahasa Melayu tambahan di sudut atas sebelah kiri papan iklan boleh dikecualikan. Penggunaan Bahasa Melayu merupakan syarat utama dan syarat wajib untuk kelulusan sesuatu lesen papan iklan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang
Manakala bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengikut Undang-Undang Kecil Iklan MPSP 2001 pula mensyaratkan tulisan dan bahasa yang digunakan diwajibkan menggunakan Bahasa Melayu seperti berikut:
(i) Undang-undang Kecil 3(1) Bahasa Melayu hendaklah digunakan bagi semua iklan dan sama ada ianya sahaja atau bersama dengan apa-apa bahasa lain.
(ii) Undang-undang Kecil 3(2) Jika Bahasa Melayu digunakan bersama dengan apa-apa bahasa lain dalam sesuatu iklan, perkataan-perkataan dalam Bahasa Melayu itu hendaklah berukuran lebih besar dan ditunjukkan dengan lebih jelas daripada segi keutamaan dan kedudukan penglihatan, daripada perkataan-perkataan dalam mana-mana bahasa lain itu.
(iii) Undang-undang Kecil 3(3) Tiada seorang pun boleh mempamerkan atau menyebab atau membenar dipamerkan mana-mana iklan yang tidak mematuhi perenggan(1) dan (2).
(iv) Undang-undang Kecil 3(4) Walau apapun peruntukan perenggan (3), jika nama sesuatu firma, syarikat atau persatuan sebagaimana yang didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Syarikat 1965, atau Akta Pertubuhan 1966, terdiri daripada atau termasuk perkataan-perkataan yang bukan dalam Bahasa Melayu, perkataan-perkataan itu tidak perlu mematuhi perenggan (1) dan (2).
(v) Undang-Undang Kecil 3(5) Jika sesuatu barangan telah didaftarkan menurut Akta Cap Dagangan Akta 175, 1976 di bawah suatu nama dalam Bahasa Inggeris atau bahasa lain, adalah tidak perlu untuk diterjemahkan nama barangan tersebut ke dalam Bahasa Melayu jika Majlis mendapati ia tidak praktikal atau tidak perlu berbuat demikian.
(vi) Undang-Undang Kecil 3(6) Perenggan (1) dan (2) tidak terpakai kepada mana-mana perniagaan yang terdiri semata-mata untuk menjalankan profesion yang di bawah peruntukan mana-mana undang-undang bertulis boleh dilaksanakan oleh mereka yang mempunyai kelayakan-kelayakan tertentu sahaja yang ditetapkan oleh undang-undang bertulis sedemikian dan nama-nama mereka didaftarkan atau sebaliknya direkod sepertimana ditetapkan oleh mana-mana undang-undang bertulis.
(vii) Undang-Undang Kecil (4) Jika ternyata kepada Majlis bahawa terdapat penggunaan Bahasa Melayu yang tidak betul dalam mana-mana iklan, Majlis boleh melalui notis bertulis memerintahkan orang yang telah mempamerkan iklan itu, atau yang telah menyebabkan atau membenarkan iklan itu dipamerkan, mengubah iklan itu untuk membetulkan kesalahan itu mengikut apa-apa cara dan dalam sesuatu tempoh sebagaimana yang dinyatakan oleh Majlis dalam notis itu.