Jawapan
YB. LIM HOCK SENG
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
63. Pelan tindakan sumber air di Pulau Pinang selain dari sumber semasa iaitu dari Sungai Muda adalah cadangan skim pemindahan air mentah Sungai Perak (SPRWTS).
Kajian bebas yang dijalankan oleh PBAPP pada tahun 2009 (Kajian Pelan Induk untuk Air Minum di Pulau Pinang sehingga 2050) mengunjurkan bahawa Sungai Muda hanya mampu membekalkan keperluan air untuk Pulau Pinang dan Kedah sehingga tahun 2020 sahaja. Kajian itu telah mengenal pasti Sungai Perak sebagai sumber air mentah tambahan yang berdaya maju dan sekaligus mencadangkan SPRWTS. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Perak juga pada ketika ini sedang menyiapkan laporan keperluan air bagi Negeri Perak. Oleh itu, rundingan cadangan bekalan air melalui SPRWTS sedang diusahakan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).
Disamping itu KeTTHA juga menyatakan apabila Projek Pembesaran Empangan Mengkuang, Pulau Pinang sepatutnya disiapkan. Pulau Pinang mempunyai sumber air mentah yang mencukupi untuk masa hadapan, sekiranya Pulau Pinang mengurangkan penggunaan domestik per kapita dari Sungai Muda. Hakikatnya walaupun pembesaran Empangan Mengkuang akan mempertingkatkan kapasiti penyimpanan bekalan air mentah, tetapi sumber air mentah untuk empangan ini masih lagi di ambil dari Sungai Muda.
Pada masa ini Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih meneruskan usaha untuk pelaksanaan SPRWTS. Disamping itu pengguna air di Pulau Pinang perlu memahami dan bersama-sama menggunakan air dengan bijak sehingga Pulau Pinang dapat menjamin bekalan air yang mencukupi sehingga tahun 2050.
(i) Kajian semula tarif air ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai “Negeri Hijau” dan misi PBAPP untuk terus membekalkan air kepada seramai mungkin penduduk Pulau Pinang setiap hari. Pada masa yang sama, Ketua Menteri Pulau Pinang telah berulang kali menekankan bahawa Pulau Pinang harus mengelak daripada mengalami catuan air dengan apa cara sekalipun.
Kajian semula tariff ini adalah merupakan salah satu inisatif Pengurusan Permintaan Air (Water Demand Management) yang penting bagi Pulau Pinang. Lebih ramai pengguna Pulau Pinang perlu ditanamkan “sikap” jimat air yang akhirnya dapat mengelakkan keperluan catuan air. Pada tahun 2014, purata penggunaan per kapita domestik Pulau Pinang ialah 293 liter/kapita/hari (l/k/h). Ini merupakan kadar yang tertinggi di negara ini. Purata kebangsaan pada tahun 2013 hanya 210 l/k/h, manakala Singapura mencatatkan 152 l/k/h pada tahun 2013. Oleh itu jika jumlah pengunaan ini berterusan. Maka Pulau Pinang menghadapi risiko catuan air ketika musim kemarau yang berlarutan kerana penggunaan air per kapita domestik yang terlalu tinggi. Oleh itu terdapat keperluan untuk mengurangkan penggunaannya bagi mengelakkan risiko kekurangan air hingga berlaku catuan air dan sebagainya.
(ii) Jumlah Surcaj Penjimatan Air yang dikutip mulai dari tahun 2012 sehingga 2015 adalah seperti berikut :
Tahun
Jumlah Kutipan (RM)
2012
8,699,834.00
2013
8,536,391.00
2014
16,402,362.00
2015 (sehingga September)
11,830,761.00
Kutipan ini digunakan bagi pembiayaan Pengurusan Permintaan Air dan diantara program-program yang dilaksanakan adalah “Public Awareness at School and Water Saving Devices” dimana program ini dapat memberi kesedaran dan akhirnya dapat mengurangkan penggunaan air di Negeri Pulau Pinang.