MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
06/11/2015 09:30:00 AM
Soalan Masalah banjir merupakan masalah lama yang tidak mampu ditangani oleh kerajaan negeri. oleh itu, apakah langkah-langkah segera yang telah diambil oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah ini?
Dun -
Exco
Perkara -

Jawapan
YB. CHOW KON YEOW
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
10. Kerajaan Negeri secara umumnya telah menyediakan pelan bersepadu untuk mengatasi banjir di Pulau Pinang dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Air dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Terdapat dua (2) kaedah penyelesaian yang telah dan sedang dilaksanakan iaitu penyelesaian secara struktur dan penyelesaian secara bukan struktur.

Penyelesaian secara struktur melibatkan pembinaan komponen kerja kejuruteraan seperti rumah pam, pintu air, mendalam dan melebarkan sungai serta sistem saliran.

Antara projek yang dilaksanakan oleh JPS dan MBPP untuk menaik taraf sistem saliran di kawasan Pulau Pinang adalah :-

a) menaik taraf Sungai Jelutong;
b) menaik taraf sistem saliran di Taman Minden Height;
c) menaik taraf sistem saliran di Jalan Macalister; dan
d) menaik taraf sistem saliran di Jalan Transfer dan Jalan Hutton

Penyelesaian secara bukan struktur dilaksanakan melalui pelantikan perunding untuk membuat kajian serta reka bentuk terperinci di kawasan yang sering mengalami banjir kilat. Antara kajian yang telah dilaksanakan adalah:-

a) Kajian dan reka bentuk terperinci kerja-kerja tebatan banjir di Bagan Jermal;

b) Kajian dan reka bentuk terperinci kerja-kerja tebatan banjir di Lumba Kuda;

c) Kajian dan reka bentuk terperinci kerja-kerja tebatan banjir di Jelutong;

d) Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir dan Sistem Saliran Mesra Alam Bagi Daerah Barat Daya, Pulau Pinang;

e) Kajian Dan Reka bentuk Terperinci Kerja Menaik Taraf Sistem Saliran Di Lembangan Sungai Dua Dan Sungai Gelugor, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang

Selain dua (2) bentuk penyelesaian di atas, MBPP juga turut mengambil langkah bagi menangani kejadian banjir seperti berikut:-

1) Melalui kawalan pembangunan baru

Bagi projek pembangunan yang baru di dalam kawasan Bandaraya George Town, MBPP akan mengenakan syarat kepada pemaju untuk menaik taraf parit utama yang berada di sekeliling kawasan pembangunan mengikut Pelan Induk “The Study On Flood Mitigation And Drainage In Penang Island” yang telah digariskan oleh Japan International Corporation Agency (JICA). Manakala bagi projek pembangunan baru di luar kawasan Bandaraya George Town pula, JPS akan mengenakan syarat kepada pemaju untuk menaik taraf sistem saliran yang terlibat dengan pembangunannya mengikut Panduan Manual Saliran Mesra Alam Malaysia (MSMA), Pelan Induk Saliran Dan Pengurusan Air Ribut Daerah Barat Daya atau kajian-kajian tebatan banjir yang telah dijalankan untuk kawasan-kawasan tertentu.


2) Melalui projek-projek tebatan banjir

Masalah banjir kilat memang tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Projek-projek tebatan banjir yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri adalah bertujuan untuk menguruskan masalah banjir supaya impak banjir dapat dikurangkan kepada tahap yang minimum. Dalam pelaksanaan rancangan tebatan banjir, JPS merupakan agensi utama (lead agency) yang dipertanggungjawab untuk melaksanakan tugas ini. Selama ini, MBPP, JPS dan JKR memang memainkan peranan masing-masing untuk menjalankan projek tebatan banjir bagi mengurangkan impak banjir yang melanda negeri ini.

3) Melalui operasi pembersihan parit utama dan bermasalah

Antara aktiviti yang dilaksanakan melalui kaedah ini termasuk:-

i) Melaksanakan operasi pembersihan parit utama dan bermasalah secara mekanikal dengan menggunakan kemudahan jentera pembersihan Art Gully Emptier sebanyak 3 unit.

ii) Melaksanakan pembersihan parit besar.

iii) Mewujudkan skuad pemantauan dan tindakan operasi bencana untuk menyelaraskan mekanisma dan mengenal pasti punca kejadian banjir. Pasukan ini juga bertindak serta membantu di dalam merancang langkah-langkah pemulihan dari segi teknikal dan operasi pembersihan.

iv) Melaksanakan kerja-kerja pembersihan secara 'taskforce' pada hari Jumaat setiap minggu.

Di Seberang Perai pula, Kerajaan Negeri melalui MPSP telah menyediakan pelan tindakan bersepadu untuk mengatasi masalah banjir yang merangkumi kerja-kerja naik taraf parit, pintu air dan rumah pam :-

a) Projek-projek yang telah dilaksanakan oleh MPSP dan jumlah yang telah dilaksanakan mengikut tahun dari bulan Januari 2008 hingga bulan September 2014 seperti di Lampiran A.

b) Projek yang sedang dilaksanakan pada tahun 2015 seperti di Lampiran B.

c) Rumah Pam Kawalan Banjir di bawah seliaan MPSP seperti di Lampiran C.

d) Rancangan untuk membina dan menaik taraf sistem perparitan di taman perumahan seperti di Lampiran D.

Disamping itu, Kerajaan Negeri melalui JPS Pulau Pinang sedang dalam proses penyediaan Pelan Induk Tebatan Banjir dan Sistem Saliran untuk Daerah Seberang Perai Tengah. Kajian ini telah bermula pada 1 Mei 2014 dan dijangka siap pada 30 November 2015. Kos kajian ini adalah sebanyak RM 1.5 juta. Kerajaan negeri juga telah bersetuju pada 2 Oktober 2014 meluluskan peruntukan sebanyak RM 1.75 juta untuk pihak JPS melantik perunding menyediakan Pelan Induk Tebatan Banjir dan Sistem Saliran untuk Daerah Seberang Perai Selatan. Sehubungan itu, pihak JPS sedang dalam proses melantik perunding yang berkelayakan untuk tujuan tersebut. Kajian pelan induk ini akan menyediakan :-

i) Pelan jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir dan sistem saliran sedia ada dan akan datang dengan menyediakan satu pelan induk yang menyeluruh yang merangkumi aspek kawalan kuantiti dan kualiti selaras dengan keperluan MASMA untuk kawasan Seberang Perai Tengah;

ii) Pelan dan garis panduan kawalan hakisan dan sedimen bagi aktiviti-aktiviti pembangunan tanah, kerja tanah dan sebagainya di peringkat kawalan di punca;

iii) Pelan bahaya banjir (flood hazard map) bagi membantu pihak JPS mengenal pasti kawasan yang mudah banjir dengan lebih menyeluruh; dan

iv) Pelan aras platform untuk tujuan pembangunan akan datang untuk mengelak berlakunya banjir kilat.

Kembali