Jawapan
YB. DR. AFIF BIN BAHARDIN
MENJAWAB BAGI PIHAK YAB. KETUA MENTERI
11. Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi berkait dengan pertanian sentiasa berusaha bagi mencapai Tahap Sara Diri (Self sufficient living – SSL) menjelang 2020. Antara aspek yang dilihat adalah bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan. Antara usaha-usaha yang digembeling melalui agensi yang terlibat untuk mengadakan seperti berikut:
(i) Program Khidmat Pengembangan yang memberi tumpuan terhadap pembangunan modal insan (Latihan, kursus, Hand-on, gotong-royong, lawatan) serta pengetahuan dan kemahiran petani amat penting dalam pembangunan projek pertanian. Para petani yang merupakan golongan sasar utama Jabatan Pertanian merupakan aset negara yang perlu diuruskan dengan cekap agar mereka dapat terus menyumbang terhadap kesinambungan kesejahteraan Negara dan meningkatkan produktiviti hasil tanaman.
(ii) Program Perkhidmatan Kejenteraan Pertanian di mana penggunaan jentera pertanian di dalam perlaksanaan projek-projek pertanian telah menjadi satu kemestian bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti bahan makanan yang dikeluarkan. Program ini diwujudkan, sebagai satu usaha untuk menggalakkan mekanisasi sepenuhnya di dalam operasi ladang selain sebagai satu kaedah pengembangan dalam menyalurkan teknologi kepada kumpulan sasaran.
(iii) Program Pembangunan Industri Tanaman Padi. Program ini diwujudkan bagi membangunkan teras industri pertanian negara iaitu tanaman padi . Di bawah program ini, beberapa projek yang berkaitan dengan pembangunan industri tanaman padi, disediakan sebagai usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti pengeluaran makanan negeri dengan pengamalan teknologi terkini dan peningkatan infrastruktur ladang.
(iv) Program Pembangunan Industri Tanaman Buah-buahan. Program ini memfokuskan kepada usaha dan pengenalan teknologi tinggi kepada petani agar keluasan kawasan yang kecil dapat mengeluarkan hasil yang lebih produktif dan berkualiti setanding dengan negeri-negeri lain yang mengusahakan tanaman industri pada skala yang lebih besar.
(v) Program Pembangunan Industri Tanaman Sayur-sayuran. Program ini memfokuskan kepada usaha pengenalan teknologi tinggi kepada petani, keluasan kawasan yang kecil ini akan mampu mengeluarkan hasil yang lebih produktif dan berkualiti setanding dengan negeri-negeri lain yang mengusahakan tanaman industri tanaman pada skala yang lebih besar.
(vi) Program Pembangunan Lain–Lain Tanaman Ekonomi. Program ini diwujudkan bagi membolehkan Jabatan membantu petani dan usahawantani dalam mengenal pasti dan membangunkan lain-lain tanaman atau komoditi yang berpotensi sebagai sumber alternatif yang mampu menjana pendapatan dalam bidang pertanian. Antara tanaman yang dilihat mempunyai potensi yang baik ialah seperti bunga-bungaan, rempah ratus, herba dan cendawan.
(vii) Program Perkebunan Komuniti. Program Perkebunan Komuniti (Comunity Farming) adalah program sosio-ekonomi yang dirancang khusus untuk memenuhi keperluan bahan makanan dan mengurangkan kos sara hidup masyarakat di Negeri Pulau Pinang. Selain itu program ini mendidik rakyat memahami tentang kepentingan pertanian dalam kehidupan harian.
(viii) Menggalakkan pengusaha pengeluaran tanaman makanan menyediakan baja dan bahan kawalan serangga secara organik yang menjuruskan penggunaan sisa-sisa makanan dan herba sebagai bahan semulajadi bagi membantu pertumbuhan Tanaman.
(ix) Program Pembangunan Ternakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar memberi penumpuan kepada komoditi utama iaitu daging lembu, daging kambing, daging ayam itik, daging khinzir, telur ayam itik dan susu lembu. Pelan yang dirangka adalah merupakan perancangan untuk mengurangkan defisit perdagangan agro-makanan negara melalui peningkatan pengeluaran komoditi yang boleh dihasilkan dalam negeri.