MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
06/11/2015 09:30:00 AM
Soalan Apakah kuasa yang ada di mpsp/mbpp dalam mengawal pengeluaran lesen perniagaan yang melanggar undang-undang dan menjaga kepentingan awam khususnya mengekang aktiviti yang tidak bermoral? adakah ianya dikuatkuasakan sepenuhnya?
Dun -
Exco
Perkara -

Jawapan
YB. CHOW KON YEOW
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
23. Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) melalui kuasa perundangan berhak untuk mengeluarkan dan membatalkan lesen-lesen yang dikeluarkan. Penguatkuasaan undang-undang berkenaan oleh MBPP dan MPSP adalah seperti berikut:

(a) Mengikut Seksyen 102(S) Akta Kerajaan Tempatan (AKT) 1976, AKT memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di dalam mengawal dan menyelia, antara lain, pelesenan sesuatu tred, perniagaan atau perindustrian. Ini juga termasuk kuasa untuk melarang sesuatu tred, perniagaan dan perindustrian dari jenis yang memudaratkan atau yang menjadi kacau ganggu kepada orang awam.

Di MBPP, pengeluaran lesen ini dikawal oleh Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan 1998 dan juga Undang-Undang Kecil (Tred, Perniagaan dan Perindustrian) Majlis Perbandaran Pulau Pinang 1991(UUKTPP). Lesen yang dikeluarkan di bawah UUKTPP ini akan dikenakan syarat yang sewajarnya bagi mengawal aktiviti yang dijalankan demi menjaga kepentingan awam khasnya dari segi kesihatan dan keselamatan awam. Bagi menjamin kepentingan awam dan mengekang aktiviti tidak bermoral, UUKTPP juga memperuntukkan, antaranya perkara-perkara berikut:-

(i) Tred perniagaan dan perindustrian tidak boleh dijalankan tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh MBPP;

(ii) Sesuatu lesen tidak boleh melebihi tempoh 3 tahun. (MBPP tempoh lesen adalah bagi tiap-tiap satu tahun kalendar) ;

(iii) Pemegang lesen tidak boleh menyebabkan bising dan kacau ganggu;

(iv) MBPP boleh mengarahkan sesuatu tred, perniagaan dan perindustrian tidak boleh dijalankan di tempat yang dilesenkan selain pada masa yang ditetapkan;

(v) Kuasa kepada Majlis untuk memasuki dan memeriksa mana-mana premis yang menjalankan aktiviti perniagaan, tred dan perindustrian sama ada yang berlesen atau tidak berlesen.

Sesiapa yang tidak mematuhi UUKTPP apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000.00 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. Selain itu, sesiapa yang tidak mematuhi syarat-syarat lesen dan UUKTPP menghadapi risiko lesen yang telah dikeluarkan oleh Majlis dibatalkan.

Manakala MPSP pula menggunakan Undang-Undang Kecil Bayaran Lesen 1980 sebagai garis panduan untuk aktiviti pengeluaran lesen dan penguatkuasaan. Selain itu, MPSP turut mengenakan syarat-syarat pelesenan yang perlu dipatuhi oleh pemegang lesen termasuk tidak membenarkan aktiviti tidak bermoral dijalankan. Setiap pengeluaran lesen adalah berlandaskan kepada Jadual Kadar Bayaran Lesen yang terdapat di dalam Undang-Undang Kecil tersebut. Disamping itu, MPSP turut mengguna pakai Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 dan Peraturan-Peraturan Hiburan (Pulau Pinang) 2001 bagi pengeluaran lesen hiburan. Mana-mana pemegang lesen yang menjalankan aktiviti perniagaan / hiburan yang menyalahi Undang-Undang akan dikenakan tindakan tegas berikut:-

(i) Pengeluaran Kompaun dan notis menghendaki perniagaan dihentikan;

(ii) Tindakan rampasan terhadap aset di dalam premis milik pemegang lesen;

(iii) Pembatalan lesen;

(iv) Pemegang lesen juga boleh diambil tindakan Undang-Undang di mahkamah.

(b) Kedua-dua PBT telah menguatkuasakan sepenuhnya semua undang-undang tersebut. Untuk makluman Yang Berhormat bagi tahun 2015 PBT telah membuat rampasan peralatan ke atas sembilan (9) premis hiburan dan penarikan semula sebanyak dua (2) lesen hiburan.
Kembali