Jawapan
YB. JAGDEEP SINGH DEO A/L KARPAL SINGH
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
7. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mewujudkan Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang atau Housing Assistance Programme Of Penang, Yes! (HAPPY!) yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 15 Ogos 2012 dan telah dirasmikan pada 27 September 2012. Peruntukan HAPPY! diwujudkan bagi memastikan program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP-1Malaysia) yang dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Melalui program HAPPY!, Kerajaan Negeri akan menanggung 10% dan 90% oleh Kerajaan Persekutuan untuk rumah kos rendah swasta. Bagi rumah kos sederhana rendah swasta pula, Kerajaan Negeri akan menanggung 30% dan Kerajaan Persekutuan sebanyak 70%. Tujuan TP-1Malaysia ini diwujudkan adalah untuk membaik pulih dan menyenggara perumahan bertingkat kos rendah swasta dan kos sederhana rendah swasta di bandar-bandar utama seluruh Malaysia.
(a) Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) sentiasa memberi taklimat, seminar dan kursus kepada penduduk-penduduk tentang pentingnya penubuhan badan pengurusan (JMB/MC) dalam sesuatu kawasan pemajuan berstrata. Selain itu, Jabatan COB bersama Ahli Majlis sentiasa berkerjasama turun padang untuk memahami masalah dan memberi penerangan kepada penduduk tentang kepentingan penubuhan badan pengurusan. Jabatan Pesuruhjaya Bangunan juga turut mengeluarkan surat peringatan kepada pemaju-pemaju yang belum mengadakan Mesyuarat Agung Pertama (AGM) bagi mana-mana kawasan pemajuan berstrata yang telah menerima milikan kosong. Selain itu, sekiranya pemaju gagal mengadakan Mesyuarat Agung pertama dalam tempoh yang dinyatakan, Pesuruhjaya Bangunan melalui Jabatan Pesuruhjaya Bangunan boleh melantik mana-mana orang untuk mengadakan Mesyuarat Agung pertama. Ini bersesuaian dengan Seksyen 18(5), Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757). Pesuruhjaya Bangunan juga boleh melantik ejen pengurusan di bawah Seksyen 86, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) untuk menyenggara dan mengurus sesuatu kawasan strata mengikut peruntukan yang telah ditetapkan dalam Akta berkenaan.