MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
06/11/2015 09:30:00 AM
Soalan (a). apakah polisi kerajaan negeri mengenai tanah pertanian (sawah padi). (b). senarai tanah pertanian (sawah padi) yang telah ditambun untuk tujuan perniagaan dan perusahaan mengikut daerah,no.lot,mk,lokasi,keluasan tanah sebenar,keluasan tanah yang ditambun,tujuan tanah ditambun dan jumlah premium yang dikenakan mulai tahun 2009 hingga 2014.
Dun -
Exco
Perkara -

Jawapan
YB. DR. AFIF BIN BAHARDIN
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
30. (a) Dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap Kawasan Jelapang Padi ialah mengekalkan Kawasan Jelapang Padi melalui pewartaan di dalam Warta Tali Air dan pengezonan kawasan sebagai kawasan pertanian di dalam Rancangan Struktur Negeri 2020. Pengekalan ini penting ke arah hasrat Kerajaan Negeri untuk mencapai Tahap Sara Diri (Self Sufficient Living–SSL) menjelang 2020. Disamping itu, Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi penyediaan tali air bagi pengairan sawah padi. Oleh yang demikian, Kawasan Jelapang Padi perlu dipelihara dan dilindungi.








Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pertanian berhasrat menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai agensi berkenaan pertanian, Jabatan Pengairan Saliran, Pejabat Daerah Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan. Penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani isu pertukaran syarat tanpa kelulusan sedang digariskan dan perlu mendapat ulasan perundangan. Antara kuasa perundangan yang terlibat adalah seperti berikut:

i. Seksyen 18 – 20 Akta Perancang Bandar dan Desa iaitu kesalahan menjalankan pembangunan tanpa kebenaran. Antara tindakan adalah arahan untuk memulihkan tanah kepada keadaan sebelum. Sekiranya gagal, penceroboh boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya;

ii. Seksyen 70A Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 merujuk kepada kesalahan menjalankan kerja tanah tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan. Antara tindakan adalah arahan untuk memulihkan tanah kepada keadaan sebelum. Sekiranya gagal, penceroboh boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya; dan

iii. Seksyen 125 – 129 Kanun Tanah Negara yang melibatkan tukar guna/ syarat tanah tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Negeri yang boleh membawa kepada pelucutan hak bagi tukar syarat tanpa kebenaran.

Selain itu, wakil rakyat dan orang awam boleh membuat aduan sekiranya terdapat projek-projek penambakan tanah pertanian atau pembangunan. Pihak Berkuasa Tempatan boleh mengeluarkan notis arahan pemberhentian kerja (Stop work order) sebelum siasatan terperinci dibuat.


b) Semakan bersama Pejabat Daerah Tanah, Daerah Timur Laut tidak mempunyai kawasan sawah padi. Manakala tiada permohonan tukar syarat tanah bagi Daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan. Perincian tukar syarat bagi Daerah Barat Daya dan Seberang Perai Utara adalah seperti dilampiran.
Kembali