Jawapan
14.(a) Antara inisiatif yang telah ada ialah tindakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang mengawal selia seluas 5,139.0 ha Hutan Simpan Kekal. Pemotongan hutan di dalam kawasan hutan simpan adalah satu kesalahan di bawah Enakmen Perhutanan Pulau Pinang, 1986. Sebarang pembangunan dan pemajuan di dalam Hutan Simpanan Kekal perlu mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Negeri terlebih dahulu dan akan dikeluarkan permit oleh Jabatan Perhutanan selepas mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.
Selain itu, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 akan diambil terhadap pemunya tanah berdaftar yang menjalankan kerja-kerja pemotongan bukit dan hutan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Dalam masa terdekat, PBT juga berhasrat untuk mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 terhadap pemunya tanah berdaftar yang menjalankan kerja-kerja pemotongan bukit dan hutan tanpa kebenaran PBT.
Bagi mengatasi masalah pemotongan hutan, setiap pemajuan/pembangunan yang akan dilaksanakan perlu mematuhi syarat-syarat kelulusan Pelan Kebenaran Merancang (PKM) di mana pokok-pokok sediada yang mempunyai ukurlilit 0.8 meter dan ke atas hendaklah ditanda dan dinyatakan di dalam Pelan Kebenaran Merancang (PKM) untuk pertimbangan / kelulusan Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) sebelum sebarang tindakan boleh diambil. Pelan landskap, penanaman pokok dan pengekalan pokok hendaklah diluluskan sebelum kebenaran kerja pembinaan dan pemotongan pokok dimulakan.
Disamping itu dengan keprihatinan Kerajaan Negeri berhubung penghijauan alam sekitar, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan bercadang untuk mewartakan seluas 959.0 ha lagi tanah Kerajaan sebagai Hutan Simpanan Kekal. Daripada keluasan tersebut, 664 ha adalah hutan paya laut dan 295 ha adalah hutan darat.
Kerajaan Negeri khususnya melalui Jabatan Perhutanan Pulau Pinang telah melaksanakan langkah-langkah strategik bagi menangani isu penerokaan hutan serta pokok hutan yang ditebang tanpa permit atau dicuri khususnya di dalam kawasan yang diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal. Berikut merupakan langkah yang telah diambil oleh Jabatan Perhutanan Pulau Pinang:-
(i) Mengenalpasti kawasan-kawasan panas atau ‘hotspot’ yang sering berlakunya kes-kes penerokaan serta penerbangan haram sekitar negeri Pulau Pinang. Kekerapan rondaan di kawasan tersebut telah dipertingkatkan.
(ii) Menambah bilangan kakitangan yang terlibat dalam Penguatkuasaan Hutan untuk meningkatkan kadar rondaan. Rondaan bukan sahaja dilaksanakan oleh Unit Penguatkuasaan dan Tugas-tugas Khas tetapi juga melibatkan setiap anggota di Pejabat Renjer Hutan di negeri Pulau Pinang
(iii) Menambah bilangan papan tanda pemberitahuan aduan dan papan tanda amaran di kawasan Hutan Simpanan Kekal khususnya di kawasan-kawasan berisiko tinggi.
(iv) Penyediakan talian “hotline” khusus berkaitan kes kesalahan hutan yang berlaku di Pulau Pinang yang bertujuan untuk memudahkan masyarakat untuk melapor jika berlakunya kes kesalahan hutan.
(v) Melakukan pemantauan hutan melalui kaedah "Forest Monitoring using Remote Sensing" (FMRS) dengan menggunakan imej satelit beresolusi tinggi dan terkini bertujuan untuk memantau aktiviti pembalakan di dalam kawasan yang dilesenkan, mengesan aktiviti pembalakan di luar kawasan yang dilesenkan, mengesan aktiviti pencerobohan tanah di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal serta memantau pencerobohan atau penerokaan bukit-bukau di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal.
(vi) Menjalankan operasi bersama dengan Jabatan Perhutanan Negeri yang bersempadanan dengan Negeri Pulau Pinang seperti Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak serta Bahagian Penguatkuasaan Hutan Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia.
(vii) Mengadakan latihan penggunaan dan penyelenggaraan senjata api secara berterusan bagi melatih anggota Jabatan agar serbuan dan tangkapan yang dijalankan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
(viii) Jabatan Hutan Negeri Pulau Pinang terus komited dengan menjalankan tangkapan terhadap mana-mana individu yang di dapati melakukan kes-kes berkaitan kesalahan hutan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984, diterima pakai di Negeri Pulau Pinang sebagai Enakmen Perhutanan Negeri Pulau Pinang 1986.
Bagi menangani masalah pemotongan hutan demi pemajuan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 terhadap pemunya tanah berdaftar yang menjalankan kerja-kerja pemotongan bukit dan hutan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada MBPP. Dalam masa terdekat, MBPP berhasrat untuk mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 terhadap pemunya tanah berdaftar yang menjalankan kerja-kerja pemotongan bukit dan hutan tanpa kebenaran MBPP. Kini, MBPP sedang berurusan dengan Bahagian Pendakwaan Negeri Pulau Pinang bagi mendapatkan persetujuan dan penyeragaman dari segi perundangan.
Manakala inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan di MPSP termasuk menyediakan garispanduan Eco-City di Batu Kawan yang menerapkan ciri-ciri kehijauan bagi memastikan eko sistem pembangunan di Batu Kawan dapat dijaga dengan baik.
(b) Inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah digariskan adalah menggalakkan penglibatan sektor-sektor awam, swasta, persatuan penduduk, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta individu-individu untuk turut serta dalam program-program penghijauan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan dan PBT. Antara inisiatif-inisiatif penghijauan yang dilaksanakan adalah seperti berikut:-
(i) Penanaman pokok di kawasan lapang dan terosot di dalam Hutan Simpanan Kekal dan Tanah Kerajaan.
(ii) Program penanaman pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di pesisiran pantai.
(iii) Program kempen penanaman pokok secara hands-on bersama orang awam, pelajar sekolah, agensi swasta dan NGO.
(iv) Program penghijauan secara Corporate Social Responsibility (CSR).
(v) Penanaman pokok oleh pemaju.
(vi) Penanaman pokok-pokok teduhan juga dilaksanakan di kawasan lapang, bahu jalan serta sumbangan anak-anak pokok kepada pihak-pihak yang berminat.
Antara inisiatif-inisiatif lain yang dilaksanakan bagi mencapai negeri Cleaner Greener Penang dan menurunkan suhu adalah seperti berikut:-
(i) Projek pengindahan yang dilaksanakan bersama dengan pemaju secara CSR.
(ii) Mewujudkan taman kejiranan untuk warga Pulau Pinang yang dilengkapi dengan alatan senaman luar, alatan permainan kanak-kanak, lampu solar, laluan jogging dan bangku taman untuk memberikan keselesaan kepada orang ramai beriadah dalam keadaan persekitaran yang hijau dan nyaman.
(iii) Menganjurkan Pertandingan Anugerah Sekolah Hijau
Anugerah Sekolah Hijau disertai oleh 106 buah sekolah pada tahun 2014 yang melibatkan Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah berbanding tahun sebelumnya iaitu tahun 2010 (30 sekolah), 2011 (36 sekolah), 2012 (53 sekolah) dan 2013 (86 sekolah).Pada tahun 2015, jumlah penyertaan adalah sebanyak 141 buah sekolah.
(iv) Menganjurkan Pertandingan Komuniti Mampan.
Pertandingan Komuniti Mampan ini disertai oleh 14 komuniti pada tahun 2014 dan meningkat kepada 18 komunti pada tahun 2015. Tujuan pertandingan ini adalah untuk memberikan pengiktirafan kepada inisiatif-inisiatif hijau yang dijalankan oleh komuniti dalam menjaga kualiti alam sekitar dan kemampanan komuniti.
Antara aktiviti-aktiviti inisiatif komuniti mampan yang dijalankan peserta adalah seperti berikut:-
• Kitar semula
• Pengasingan Sisa di Punca (Segregation at Source)
• Kompos
• Eco Enzim
• Jus Enzim
• Penanaman pokok, pengindahan dan pembersihan
kawasan
• Kebun kejiranan
• Sesi pendidikan berkenaan dengan isu pembangunan
mampan
• Kesedaran ke atas rancangan kemajuan, impak alam
sekitar, sosial dan ekonomi
• Kesedaran dan penyertaan dalam program MPSP dan
agensi lain
• Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, bukit,
sungai dan tasik
• Skim Menganakangkatkan Kemudahan Awam
• Skim Pengawasan Kejiranan dan Kawalan Keselamatan
• Sambutan Perayaan Hari Kebesaran
• Cintai Kemudahan Awam
• Gotong-royong
• Penyediaan kemudahan bagi kumpulan OKU dan warga
emas
(v) Penang Green Council (PGC) telah mengadakan program GREEN OFFICE PROJECT bagi semua pejabat kerajaan dan swasta. Program ini berbentuk auditan terhadap pelaksanaan konsep hijau. MPSP telah memperolehi pensijilan bagi Green Office Project untuk tahun 2013 hingga 2015. Dan pada tahun ini, MPSP telah memperolehi pensijilan semula bagi tahun 2015 hingga tahun 2017.
(vi) Bagi memastikan agar alam sekitar dan eko sistem di Negeri Pulau Pinang dipelihara dengan baik, MPSP telah menyediakan beberapa garis panduan yang berkonsepkan pemuliharaan alam sekitar seperti menggalakkan pematuhan GBI di dalam setiap pembangunan.