MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
06/11/2015 09:30:00 AM
Soalan Bagaimanakah kerajaan negeri akan memastikan bahawa perdagangan tradisional di negeri kita tidak akan menjadi pupus dalam 10 – 20 tahun yang akan datang? adakah program kerajaan negeri untuk memupuk dan mengekalkan perdagangan tukang pengrajin (artisan craftman) dan kraf tangan tradisi di pulau pinang?
Dun -
Exco
Perkara -

Jawapan
YB. DATO' HAJI MOHD. RASHID BIN HASNON
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
17. Perdangangan traditional merupakan antara atribut bagi nilai-nilai keunggulan sejagat Tapak Warisan Dunia George Town (TWDGT). Dalam usaha untuk memulihara dan mengekalkan perdagangan tradisional di dalam tapak warisan ini, George Town Herritage Inc. (GTWHI) telah mengambil inisiatif menjalankan kajian inventori warisan tidak ketara bagi menyediakan senarai perdagangan tradisional, tukang-tukang seni persembahan dan kraf tradisional yang terdapat di dalam TWDGT. Hasil kajian inventori ini menunjukkan terdapat 611 penghuni atau peniaga dalam TWDGT yang masih menjalankan perniagaan tradisional. Manakala 305 penghuni memiliki kemahiran dalam pertukangan kraf tradisional dan 84 penghuni mempunyai kemahiran dalam kesenian dan kebudayaan. Pada tahun ini, GTWHI sedang menjalankan pendokumentasian melalui rakaman video bagi perdagangan tradisional yang terpilih bagi tujuan merekod latar belakang, proses kerja, pengalaman dan kehidupan peniaga serta tukang yang terlibat. Berdasarkan kajian inventori warisan tidak ketara dan pendokumentasi video yang dikumpul ini, GTWHI merancang untuk merangka program-program pembangunan yang wajar bagi pengekalan dan pemeliharaan aset-aset warisan ini bagi memastikan ianya terus diamal oleh generasi akan datang.

Selain daripada usaha GTWHI, bagi memastikan industri ini tidak pupus dalam tempoh 10-20 tahun akan datang, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) sentiasa giat membantu membangunkan usahawan kraf melalui pelaksanaan program pembangunan utama, iaitu Program Pemasaran Kraf, Penyelidikan dan Pembangunan Kraf, Satu Daerah Satu Industri – Produk Kraf, Pembangunan Kemahiran Kraf dan Jejak Warisan Kraf. Bagi mengekalkan perdagangan tukang pengrajin (artisan craftman) dan kraf tangan tradisi di Pulau Pinang, Kraftangan Malaysia telah melaksanakan aktiviti pemasaran dan promosi di peringkat domestik bagi memperluas pasaran serta meningkatkan pendapatan usahawan kraf. Pada tahun 2015, usahawan kraf diberi peluang untuk menyertai aktiviti Promosi Pusat Beli-belah di sekitar Pulau Pinang, seperti di Kompleks Bukit Jambul dan di Kompleks Beli Belah Straits Quay serta di negeri-negeri yang lain. Usahawan kraf turut menyertai aktiviti promosi yang dianjurkan melalui kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi/jabatan kerajaan di seluruh Pulau Pinang.

Untuk mewujudkan kepelbagaian segmen rekaan produk baru berorientasikan kehendak pasaran di peringkat domestik dan antarabangsa, aktiviti pembangunan rekaan dan produk dilaksanakan menerusi Program Penyelidikan dan Pembangunan kraf. Pada tahun 2014 hingga 2015, sebanyak 223 rekaan baru telah diperkenal dan dikomersilkan kepada usahawan kraf di Pulau Pinang dalam bidang kraf seperti tekstil, hasil logam, hasil rimba dan aneka kraf.

Kraftangan Malaysia turut melaksanakan Program Jejak Warisan Kraf bagi memelihara dan memulihara seni kraf warisan sebagai khazanah bangsa. Pada tahun 2015, sebanyak 26 aktiviti interaktif/pendidikan kraf dilaksanakan dengan penyertaan seramai 1,810 orang peserta. Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, memupuk minat dan kecintaan masyarakat terhadap kraf warisan. Selain itu, Kraftangan Malaysia juga memberi pengiktirafan kepada tukang-tukang kraf dan pengusaha kraf yang telah banyak memberi sumbangan untuk memartabatkan seni kraf negara melalui penganugerahan Anugerah Tokoh Kraf Negara, Adiguru Kraf dan Anugerah Tukang Ulung. Antara usahawan kraf di Pulau Pinang yang telah mendapat gelaran Adiguru Kraf ialah mendiang Lim Siew Kim dalam bidang Sulaman Nyonya.
Kembali