Jawapan
YB. JAGDEEP SINGH DEO A/L KARPAL SINGH
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
22. Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) yang ditubuhkan adalah tertakluk di bawah Seksyen 21, 59 dan 64 Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi menjalankan kewajipan dan kuasa Badan (JMB/MC). Di bawah seksyen berkenaan dinyatakan dengan jelas kewajipan dan kuasa Badan Pengurusan (JMB/MC) untuk memungut caj penyenggaraan berkenaan. Badan-badan pengurusan ini dipantau oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) di bawah Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing. Dalam meningkatkan kualiti pengurusan dan penyenggaraan kawasan berstrata, COB akan memberikan pemahaman kepada penduduk bangunan berstrata, JMB dan MC melalui sesi taklimat, kursus dan seminar tentang tugas, kewajipan dan kuasa badan pengurusan dalam mentadbir dan mengurus kawasan berstrata.
Pemilik atau pemunya bangunan berstrata adalah tertakluk di bawah Seksyen 25, 52 dan 68 Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) dalam menjalankan kewajipan membayar caj, dan caruman kepada wang penjelas berkenaan petak atau unitnya. Badan pengurusan boleh menjalankan kuasa yang diperuntukkan dalam Akta 757 bagi mendapatkan tunggakan caj dan caruman daripada pemilik atau pemunya petak atau unit melalui pengeluaran notis, memfailkan saman atau tuntutan dalam suatu mahkamah atau di hadapan Tribunal. Selain dari itu, kutipan caj serta tunggakan boleh diambil dengan mengeluarkan waran penahanan oleh JMB/MC dengan pematuhan dan penggunaan Borang A Jadual Ketiga ( Akta 757).