Jawapan
YB. CHOW KON YEOW
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
15. Selain daripada menyediakan perkhidmatan bas percuma Central Area Transit (CAT) George Town dan perkhidmatan bas Bridge Express Shuttle Transit (BEST), perancangan lain Kerajaan Negeri untuk menggalakkan orang awam menggunakan pengangkutan awam di Pulau Pinang adalah seperti berikut:
(i) Meningkatkan mutu perkhidmatan dengan meningkatkan kekerapan dan laluan bas di laluan yang sedia ada.
(ii) Menaik taraf perhentian bas yang sedia ada secara berperingkat di seluruh negeri Pulau Pinang dengan kemudahan OKU.
(iii) Bekerjasama dengan pihak Rapid Penang bagi pemasangan jadual perjalanan bas untuk dipamerkan di perhentian bagi kemudahan orang awam.
(a) Melakukan perancangan Jangka Pendek dan Jangka Panjang oleh Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang ialah seperti berikut:-
(i) Menyediakan Kajian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang pada tahun 2013 yang telah menggariskan hala tuju, polisi, strategi dan pelan-pelan pelaksanaan dari segi pengangkutan untuk Pulau Pinang dari 2014 hingga 2030. Kajian ini memberi tumpuan kepada penambahbaikkan sistem pengangkutan awam termasuk kemudahan terbabit dan pada masa yang sama menekankan keperluan menaik taraf jalan dan mengurus lalu lintas dengan berkesan. Kerajaan Negeri telah memanggil Request for Proposal (RFP) secara terbuka dan melantik Project Delivery Partner (PDP) pada 14 Ogos 2015 untuk melaksanakan perakuan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang. Konsep PDP dipilih oleh Kerajaan Negeri untuk membantu dalam memudahkan penyampaian strategi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang secara keseluruhan termasuk sistem integrasi dan pelaksanaan berjalan lancar selain memastikan projek dapat disiapkan mengikut sasaran kos dan masa yang telah ditetapkan.
(ii) Perkhidmatan Bas Hop On Hop Off telah dilancarkan pada 16 November 2014 di bahagian pulau, Pulau Pinang. Perkhidmatan ini dapat bantu mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian atau kenderaan sewa, seterusnya mengurangkan kesesakan lalu lintas. Perkhidmatan ini juga dijalankan secara bersepadu dengan perkhidmatan bas berhenti-henti dan dapat menggalakkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam. Pelancong juga mempunyai satu lagi pilihan atau alternatif untuk memudahkan perjalanan mereka ke tempat-tempat tarikan pelacong. Ini juga dapat meningkatkan imej Pulau Pinang sebagai satu destinasi pelancong.
(iii) Kerajaan Negeri melalui MBPP juga telah merangkakan untuk mewujudkan sistem lorong bas di sebahagian jalan di pusat bandar. Objektif utama lorong bas ini adalah untuk memendekkan waktu perjalanan bas, seterusnya menarik lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam.
(iv) Projek perintis Car Free Day telah dilancarkan pada 11 Disember 2011 untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, bersenam serta mengurangkan pencemaran. Jalan yang ditutup adalah sebahagian Lebuh Pantai dari Lebuh Union hingga Gat Lebuh China dan jalan di antara Lebuh Bishop dan Lebuh Gereja telah dijadikan kawasan larangan penggunaan kenderaan bermotor pada setiap Hari Ahad dari jam 6.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Dalam tempoh itu, kawasan-kawasan ini ditutup untuk kenderaan lalulintas di mana hanya pejalan kaki, basikal dan beca sahaja yang dibenarkan masuk.
(v) Kerajaan Negeri melalui PBT dan Rapid Penang Sdn. Bhd juga berganding bahu untuk menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam dengan meningkatkan kecekapan, keselesaan dan menaik taraf kemudahan infrastruktur. Terminal, hub dan perhentian bas berbumbung baru telah diadakan serta yang sediada sedang dinaik taraf secara berperingkat. Terminal A Rapid Penang di Pengkalan Weld telah dinaik taraf dan terminal tambahan iaitu Terminal B telah siap dibina pada 16 Disember 2014 untuk menampung permintaan dan peningkatan bilangan bas yang beroperasi. Hub-hub bas baru telah dibina di Bayan Baru, Bandar Baru Air Hitam dan Teluk Bahang. Kerajaan Negeri juga telah membenarkan Rapid Penang menggunakan tanah yang lebih luas untuk depo dan tempat simpan bas (holding area) mereka di Sungai Nibong memandangkan bilangan bas yang menyediakan perkhidmatan telah bertambah lebih dua kali ganda. Perhentian-perhentian bas berbumbung baru dibina setiap tahun melalui peruntukan kerajaan dan penajaan daripada pihak swasta. MBPP juga telah menyediakan peruntukan setiap tahun untuk pembinaan dan penyelenggaraan kemudahan pengangkutan awam seperti pondok bas, papan tanda perhentian dan sebagainya yang melibatkan kos dalam lingkungan RM200,000.00 setiap tahun. Bagi tahun 2015, MBPP telah memperuntukkan RM 1.78 juta untuk pembinaan pondok bas baru di kawasan pulau, Pulau Pinang.
(vi) Sejak tahun 2008, banyak usaha telah diambil oleh Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk menggalakkan penggunaan basikal sebagai pengangkutan alternatif yang mesra alam dan baik untuk kesihatan. Hala tuju Kerajaan Negeri dalam usaha ini telah diperkukuhkan dengan polisi dan garis panduan penyediaan laluan dan kemudahan basikal. Sehubungan ini, Pelan Induk Laluan Basikal Pulau Pinang telah dirangka oleh Kerajaan Negeri dan PBT pada tahun 2010 serta polisi-polisi diadakan untuk menggalakkan pengunaan basikal di Pulau Pinang. Lorong-lorong basikal sama ada secara berasingan atau berkongsi dengan kenderaan bermotor juga telah disediakan di beberapa kawasan dan koridor di bahagian pulau, Pulau Pinang. Setakat ini, 180 km laluan basikal telah disediakan di bahagian pulau, Pulau Pinang. Pada masa sekarang tindakan sedang diambil untuk melengkapkan laluan basikal berdedikasi di sebelah pantai timur pulau sepanjang 12.5 km. Jambatan basikal dan laluan pejalan kaki merentangi Sungai Pinang berserta lorong basikal khas atau berdedikasi sepanjang 1.55 kilometer telah diadakan dan merupakan sebahagian daripada laluan basikal sejauh 12.5 km yang sedang giat disiapkan di persisiran pantai timur pulau dari Queensbay ke kawasan Komtar. Pada masa sekarang lebih kurang 10.8 km atau 85% daripada laluan basikal berdedikasi ini telah dibina. Bancian MBPP menunjukkan bahawa bilangan penunggang basikal pada 2015 telah meningkat 50% sejak tahun 2012.
(vii) Kajian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang juga telah memperakukan projek-projek pembinaan jalan dan lebuhraya berserta pelebaran jalan dan menaik taraf persimpangan untuk membantu mengurangkan kesesakan di rangkaian jalan-jalan sedia ada dan menyediakan ruang untuk pengangkutan awam berfungsi dengan lebih berkesan. Projek-projek ini telah dimulakan dan akan dijalankan secara berterusan. Sehubungan ini juga, Kerajaan Negeri telah memohon peruntukan kerajaan pusat untuk melaksanakan sebahagian daripada projek-projek terlibat dalam RMKe11. Ada di antara projek-projek ini telah dipohon dalam beberapa Rancangan Malaysia yang terdahulu tetapi tidak diluluskan.
(viii) Kerajaan Negeri juga mengambil tindakan untuk menjalankan projek-projek pembinaan jalan dan lebuhraya dengan sendiri untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan membolehkan pengangkutan awam berfungsi dengan berkesan. Lima projek yang telah dikenal pasti dan berada pada peringkat panggilan tender, kajian kemungkinan dan reka bentuk terperinci adalah:-
(a) Projek Pembinaan Jalan Berkembar Persisiran Pantai dari Jalan Tanjong Bungah ke Teluk Bahang sepanjang 10.5 km. Projek ini dijangka bermula pada tahun 2016 dan disiapkan dalam tempoh 3 tahun.
(b) Projek Pembinaan Jalan Pintas (by-pass) dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam sepanjang 5.7 km. Projek ini dijangka bermula pada tahun 2016 dan disiapkan dalam tempoh 4 tahun.
(c) Projek Pembinaan Jalan Pintas (by-pass) dari Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu sepanjang 4.1 km. Projek ini dijangka bermula pada tahun 2020 dan disiapkan dalam tempoh 3 tahun.
(d) Projek Pembinaan Link Ketiga Pulau Pinang dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam sepanjang 7.2 km. Projek ini dijangka bermula pada tahun 2020 dan disiapkan dalam tempoh 5 tahun.
(e) MBPP dan pemaju swasta juga sedang berusaha untuk melengkapkan Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong dari Lebuhraya Thean Tek ke Relau sepanjang 4.87 km. Adalah disasarkan bahawa jalan berkembar ini dapat disiapkan pada tahun 2018.
Rancangan-rancangan masa depan MBPP untuk meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam selaras dengan perakuan Pelan Induk Pengangkutan Awam adalah:
(i) Menyediakan sistem transit aliran deras berkapasiti tinggi seperti Bas Rapid Transit, Sistem Tram dan Light Rail Transit (LRT) yang disokong oleh perkhidmatan bas awam yang efisien;
(ii) Membina dan menaik taraf kemudahan pengangkutan awam seperti terminal, hub, stesen dan perhentian pengangkutan awam;
(iii) Mengadakan sistem tiket dan informasi yang mudah dan bersepadu;
(iv) Membina dan menaik taraf laluan pejalan kaki; dan
(v) Meningkatkan keselamatan seperti pemasangan rel adang, menambah baik pencahayaan, pemasangan CCTV dan sebagainya.
Di samping itu, pihak-pihak berkuasa tempatan juga melaksanakan sistem jalan sehala, menyelaras sistem lampu isyarat dan mengadakan larangan-larangan untuk mengurus lalu lintas dengan berkesan. Kerajaan Negeri telah menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa khas untuk memastikan projek-projek dilaksanakan serta sasaran-sasaran yang telah ditetapkan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang tercapai sejauh mana yang boleh. Sasaran Kerajaan Negeri dan MBPP adalah untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang bersepadu, mampan dan holistik yang boleh memberi manfaat kepada semua rakyat Pulau Pinang serta meningkatkan peralihan daripada penggunaan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam.